Gambar : Norhafizah Abd Hadi
Tika ini saya sedang mengemaskini fanpage bisnes saya, memang menjadi satu rutin harian, adat orang berbisnes kan, kedai harus dibuka setiap hari. Namun dalam seminggu dua ini jadual harian agak terganggu kerana komitmen dan tugasan lain yang lebih memerlukan saya. InsyaAllah tidak lama lagi rintangan ini akan berakhir dan saya akan fokus semula seperti biasa.
Menyingkap kembali pembabitan saya dalam bisnes ialah sebagai ejen dropship sahaja dan berterusan sehingga kini. Jika dahulu saya bermula dengan baju muslimah, kini kian bertambah dengan busana muslimah yang lain seperti tudung, shawl, jubah dan baju kurung moden. Alhamdulillah hampir lengkap lah koleksi muslimah di Butik Al-Izzah, memberi lebih pilihan bagi pelanggan yang singgah.
Kenapa saya pilih dropship?
Suka untuk saya nyatakan bahawa saya sudah jatuh cinta dengan cara bisnes ini. Tanpa perlu mengeluarkan modal, tanpa mengurus stok dan boleh dikatakan kurang lelah berbanding membangunkan bisnes yang baru. Hanya perlu kuasai pemasaran dan promosi menggunakan medium yang ada. Berbekalkan ilmu yang dikutip dan kerjasama kumpulan sokongan pembekal, saya belajar sedikit demi sedikit tentang dunia bisnes.
Ada beberapa kriteria yang saya pertimbangkan sebelum menjadi ejen dropship, antaranya memilih pembekal yang menawarkan komisyen agak tinggi, pembekal yang aktif dan produktif serta menyenangkan hati untuk saling bekerjasama dalam banyak keadaan. Alhamdulillah Allah mudahkan laluan untuk itu, tinggal hanya saya untuk fokus dan konsisten dengan bisnes yang ada.
Dalam indahnya menguruskan bisnes dropship di Butik Al-Izzah, terselit juga pengalaman duka, namun saya terima sebagai rencah dunia bisnes. Saya pernah dilemparkan kata-kata tidak enak oleh pelanggan kerana barang yang diterima tidak sempurna di matanya. Benar, sebagai ejen dropship saya tiada kuasa untuk memilih bagi pihak pelanggan saya, namun saya masih boleh suarakan permintaannya kepada pembekal. Tetapi cabaran tetap ada kerana tahap kecerewetan manusia terlalu subjektif, di sini lah masalah utamanya. Jika elok di mata pembekal, di mata pelanggan belum tentu lagi. Sedaya upaya saya tangani meskipun mengalami kerugian sedikit asalkan hati pelanggan dapat dibeli.
Adakalanya, barang yang ditempah oleh pelanggan sudah dibayar, tetapi pembekal lewat memberitahu bahawa barang tersebut tiada dalam stok. Masalah ini adalah disebabkan dari sistem yang kadangkala agak terganggu terutama ketika membeli belah di waktu kemuncak. Masalah ini juga boleh terjadi jika pihak pembekal tersilap mengira kuantiti sebenar sesuatu produk, faham sahaja lah kuantiti bagi satu produk sahaja beratus-beratus, mungkin ada khilaf di situ. Bagi saya tentu memahami keadaan tersebut, tetapi sukar untuk memahamkannya kepada pelanggan. Sedikit demi sedikit saya belajar menangani situasi di luar jangkaan seperti ini.
Setia saya masih di sini, bisnes tanpa modal. Esok-esok belum tahu lagi. Saya bersyukur dengan cara ini saya dapat memulakan langkah pertama dalam bisnes. Yang penting niat, minat dan ilmu harus seiring. Bukan namanya hidup jika tidak dilanda ujian, apa pun harus bersabar. Pada pendapat saya tetapi mungkin berbeza dengan orang lain, tidak perlu mengejar gah dengan kedai fizikal dan produk yang pelik-pelik, bermula dengan apa yang ada sahaja. InsyaAllah mampu lebih melangkah lebih jauh.
No comments:
Post a Comment