Saturday 15 November 2014

RAHSIA OAT UNTUK KULIT

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Google




Sebelum masuk tidur biasanya saya akan membersihkan diri terlebih dahulu, namun sejak beberapa hari ini ada petua baru yang saya amalkan, saya akan mencuci muka menggunakan oat. Oat? Ya, memang oat yang saya makan setiap hari itulah saya tepek dan oles di wajah. Bukan sebelum tidur sahaja, malah saya juga melakukannya di siang hari.


Aktiviti baru ini bermula ketika saya dapati oat yang dalam simpanan sudah berkutu. Saya agak geli untuk memakannya kerana bukan setakat kutu, saya terasa seperti ada telur-telur kutu dalam bungkusan tersebut. Sayang juga untuk dibuang, dengan pantas saya mencari maklumat rahsia oat di internet. Baru saya tahu khasiat oat untuk kulit.

Seperti yang kita tahu, oat mengandungi serat larut yang mampu menyerap dan membantu menghapuskan kolesterol berlebihan. Rupanya kebaikan oat pada kulit ia mampu menyerap minyak di wajah dan melembabkan kulit secara semulajadi. Oat amat sesuai untuk kulit kering hinggalah berminyak. Wow, ilmu baru yang saya dapat. Bila saya amalkan beberapa hari ini, terasa juga kurang berminyak kulit muka saya berbanding biasa. Saya juga gunakan oat sebagai skrub untuk bahagian kulit yang lain. Caranya mudah sahaja, ambil satu sudu oat dan letak beberapa titisan air, bila oat sudah kembang dan basah sapukan pada wajah dan bahagian kulit yang dikehendaki. Jika ada madu atau yogurt, boleh tambahkan pada bahan sapuan tadi, itu lebih baik.

Seronok juga mencuba petua baru ini, kos tidak banyak, kulit pun terasa selesa. Mudah-mudahan saya konsisten, kalau hangat-hangat tahi ayam mana nak nampak hasil kan. Apa-apa pun jika kita konsisten insyaAllah ada kebaikannya.

No comments:

Post a Comment

DESIGN BY:UMIESUEstudio/2014