Gambar : Norhafizah Abd Hadi
Pantasnya masa berlalu, kini anak-anak sudah berada di minggu akhir persekolahan, masing-masing sudah tidak sabar untuk bercuti panjang. Sebelum menutup tirai sessi persekolahan tahun ini, masing-masing sibuk mengingatkan saya dan suami tentang majlis penyampaian hadiahnya. Anak sulung akan mengambil hadiah di sekolah kebangsaan dan sekolah agama, manakala anak kedua akan menyertai persembahan di majlis graduasi PASTI, tidak pasti kedudukan Nuhaa di tempat ke berapa dalam kelasnya kerana tiada peperiksaan untuk 4 tahun, hanya ada penilaian sepanjang tahun. Tunggu dan lihat sahaja khabar di hari yang amat dinanti itu.
Seawal semalam saya sudah mula menyediakan pakaian untuk anak sulung di hari anugerahnya. Serba lengkap dari hujung rambut ke hujung kaki. Ketika itulah kenangan lama menerpa di fikiran, dulu-dulu saya juga sangat semangat untuk ambil hadiah. Seronok naik pentas! Pakaian akan digosok selicin boleh, kasut sekolah biarpun tidak baru tetapi yang penting bersih dan putih melepak. Hati kembang setaman, gembira tidak terkira, jiwa budak-budak lah katakan.
Paling tidak boleh lupa kenangan dalam perjalanan ke sekolah, tatkala mengayuh basikal tiba-tiba ada sebuah kereta melanggar lecak lalu terpercik ke kasut saya, sudah tidak melepak lagi rupanya. Sedih rasa di hati namun apa boleh buat, ambil hadiah dengan kasut comot lah hari itu.
Kini sudah bertahun-tahun kenangan itu berlalu, giliran anak-anak pula merai kejayaan. Bukan kejayaan sebenar itu diukur dengan naik pentas semata-mata, itu hanya juzuk kecil sahaja. Yang penting ilmu yang dimanfaatkan, baik akhlak, menghormati guru dan mengasihi orang lain. Namun mencipta kejayaan kecil akan mendorong untuk mencipta kejayaan besar di masa depan. Semoga anak-anak berjaya di dunia dan akhirat. Amin.
No comments:
Post a Comment