Saturday, 6 September 2014

MINYAK ZAITUN DAN KULIT BAYI

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Google


Assalamualaikum,

Alhamdulillah tahun ini saya bakal menerima kelahiran beberapa orang anak saudara, adik-adik dan kakak sedang dalam fasa kehamilan. Bertambah besar dan meriah la nanti. Kami saling berbincang dan berkongsi dari A-Z tentang penjagaan ibu, bayi dan persediaan untuk kehidupan baru selepas kelahiran bayi.

Antara yang kami kongsikan penggunaan minyak zaitun sebagai pengganti losyen bayi. Saya sendiri berpengalaman menggunakan losyen untuk anak pertama, tetapi untuk anak kedua dan ketiga lebih banyak menggunakan minyak zaitun. Saya perhatikan ada perbezaan penggunaan kedua-duanya itu. Sebenarnya banyak kebaikan minyak zaitun untuk kulit bayi, bukan setakat pengganti losyen, lebih banyak cara kita guna, lebih banyak manfaat yang akan dapat.

Kulit bayi sangat halus dan sensitif, amat memerlukan penjagaan yang rapi. Dengan sifatnya yang asli (tanpa bahan kimia) dan khasiatnya yang hebat, minyak zaitun mampu memberikan yang terbaik untuk kulit si manja dengan penggunaan yang optimum. 

Antara kelebihan minyak zaitun ialah:

* Sebagai minyak urut
Sangat bagus mengurut bayi sejak awal kelahirannya untuk merangsang tumbesarannya. Bayi akan terasa nyaman, tidak mudah kembung, aktif malah cepat membesar.

* Campuran mandian
Titiskan minyak zaitun dalam air mandian bayi, untuk melembabkan kulit bayi. Kadangkala kulit bayi akan menjadi kering kerana menggunakan sabun yang kurang sesuai, penggunaan minyak zaitun dalam mandiannya sedikit sebanyak dapat mengelakkan iritasi atau kekeringan.

Bayi yang baru dilahirkan tidak elok mandi dengan kerap, apa yang penting adalah menitikberatkan kebersihannya. Bagi 1-2 bulan pertama, boleh diselang selikan dengan hanya mengelap bayi menggunakan tuala lembab. Untuk membersihkan kawasan yang berlipat, boleh gunakan kapas lembab dan titiskan sedikit minyak zaitun, selain kotoran dapat disingkirkan kulit juga akan menjadi sihat dan cantik.

* Untuk penjagaan kulit kepala
Minyak zaitun digunakan untuk menyapu kepala bayi yang sudah dibotakkan untuk memberi kelembapan dan menyuburkan kulit kepala. Ia juga digunakan sebagai agen untuk melembabkan kerak di kepala agar mudah disingkirkan.

* Pelembab semulajadi
Minyak zaitun boleh digunakan sebagai pelembab kulit bayi menggantikan losyen. Kulit tidak mudah naik ruam dan lebih lembab terutama bahagian-bahagian yang berlipat. Minyak tersebut membentuk lapisan pada kulit, yang mengekalkan kelembaban kulit sekaligus melindungi dari iritasi.

Selain digunakan untuk luaran, bayi juga mendapat khasiat luaran dan dalaman jika ibunya mengambil minyak zaitun setiap hari. Dia mendapat khasiat tersebut menerusi susu ibunya. Jika ada yang belum pernah mengamalkannya, mulakanlah sekarang, sejak bayi masih kecil. Tidak akan rugi mengamalkannya bahkan lebih sihat dan bertambah berkat.

Dari Abu Hurairah, Nabi S.A.W. bersabda, “Makanlah MINYAK ZAITUN dan berminyaklah dengannya, kerana ada PENAWAR untuk tujuh puluh (70) penyakit dan salah satu daripadanya adalah kusta”.



No comments:

Post a Comment

DESIGN BY:UMIESUEstudio/2014