Monday 31 March 2014

CUTI-CUTI MALAYSIA

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi




Assalamualaikum semua,


Cuti sekolah sudah berakhir, rutin harian berjalan seperti biasa. Anak-anak juga sudah ke sekolah. Hati dan fikiran saya terbang jauh terkenang percutian ke langkawi baru-baru ini. Alhamdulillah Allah murahkan rezeki kami sekeluarga untuk ke sana. Niat di hati sudah lama ingin ke langkawi tetapi tertangguh beberapa kali. Kali ini berbekalkan tiket kapal terbang percuma, angan-angan menjadi kenyataan. Hadiah tiket yang bermakna bagi saya dan keluarga.

Percutian kami 3 hari 2 malam di Langkawi, perancangan awal sudah pun dibuat, namun perancangan Allah lebih hebat. Sewaktu di sana, cuaca teramat panas, jadual percutian terpaksa diubah memandangkan anak sulung tidak sihat. Alhamdulillah di hari terakhir dia kembali aktif seperti biasa. Kami sempat mengunjungi beberapa tempat sebelum pulang.

Seakan tidak cukup 3 hari 2 malam berada di Langkawi. Sungguh saya katakan tidak puas, sangat mengujakan bercuti ke sana. Kami berdoa semoga dimurahkan rezeki untuk datang lagi.

Friday 7 March 2014

RAGAM TAHUN BARU



Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi



Sebahagian barang yang dibeli di koperasi sekolah


Assalamualaikum semua, 


Anak sulung saya baru memasuki tahun 1, banyak perkara baru yang dilaluinya selepas melepasi fasa tadika sebelum ini. Antara perkara yang memeningkan kepala saya dan suami setiap hari ialah, anak saya sering meminta wang lebih untuk membeli itu dan ini di koperasi sekolah. Dia cemburu melihat rakan-rakan lain membeli barang yang memang amat menarik di mata kanak-kanak. Saya dan suami bertukar-tukar nasihat agar dia tidak terikut-ikut dengan kawan.

Hari demi hari ada saja cerita dari bibir anak sulung saya, barang itu ini. Sekali sekala kami layankan juga tetapi tidak selalu. Lebih banyak nasihat daripada melayan permintaan anak ini. Mengajar anak mementingkan keperluan daripada kehendak. Mudahan-mudahan dia faham juga nanti.

Tidak mudah mengajar kehidupan kepada anak, kami juga sebagai ibu bapa sentiasa belajar, masih belum sempurna. Kasih dan sayang kepada anak perlu dizahirkan melalui layanan, memenuhi permintaan dan sebagainya, namun kami juga perlu berhati-hati agar tidak tersilap langkah. Tidak ingin melihat lahir generasi seperti 'Anakku Sazali', Ya Allah berilah hidayah kepada kami dalam mendidik anak-anak kami.

Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.



Monday 3 March 2014

TERUJA!

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi








Assalamualaikum semua,

Hujung minggu yang baru sahaja berlalu, amat bererti buat saya. Alhamdulillah gembira tidak terkata. Saya dapat menjejaki sebuah kedai tudung yang baru beroperasi. Sebelum ini kedai tersebut menjual secara kecil-kecilan sahaja. Sudah bertambah maju perniagaannya, inspirsi buat saya.

Sudah lama saya membelek tudung-tudung yang dijual oleh kedai ini, rasa teruja walaupun hanya menerusi internet. Apabila berpeluang ke kedainya, memang wajib saya borong banyak-banyak. Tambahan pula ada saiz labuh dan potongan menarik yang saya cari selama ini. Memang satu bonus. Pelanggan saya sudah pun menempah tudung tersebut sebelum saya ambil stok ke kedai. Bukan saya sahaja yang teruja, bahkan pelanggan saya juga.

Alhamdulillah, syukur Allah membuka lorong dan jalan. Allah juga yang memudahkan. Semoga syukur saya sentiasa bertambah. Amal bertambah.

Bagi penggemar tudung labuh, boleh dapatkan tudung baru ini di  https://www.facebook.com/butikalizzah

Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.

Sunday 2 March 2014

PANGGILAN PULANG

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi





Assalamualaikum semua,

Malam ini keluarga besar saya berkumpul beramai-ramai dan pilihan aktiviti untuk kali ini ialah makan luar. Orang yang mahu belanja makan besar pada malam ini memilih Medan Ikar Bakar Jeram. Selepas maghrib kami semua sudah pun berada di sana. Memandangkan malam itu malam minggu, memang lokasi tersebut banjir dengan orang ramai.

Saya anak beranak duduk makan tidak jauh dari meja ibu dan ayah saya. Ketika makan, ibu ada bersuara kepada saya, "lama dah tak balik kampung". Terkedu juga saya mendengarnya, saya tersenyum dan menjawab ringkas. Dalam kepala saya puas mengingat bila kali terakhir saya pulang ke kampung. Bila saya bertanya kepada suami, rupanya baru sahaja kami pulang. Minggu lepas kami tidak dapat ke mana-mana kerana saya berhempas pulas menyiapkan terjemahan. Minggu sebelumnya memang kami ada pulang. Suami menyambung, "Biasalah orang tua. Lagi pun kita dekat, walaupun baru balik tapi rasa dah lama".

Benar apa yang diucap oleh suami. Jauh di sudut hati, saya mendoakan kesejahteraan ibu bapa saya, semoga Allah memelihara mereka kerana saya tidak dapat berada di sisi mereka setiap hari. Ya Allah ampunkan saya.  

Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.


DESIGN BY:UMIESUEstudio/2014