Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar :Google
Assalamualaikum,
Alhamdulillah petang yang damai dan sejuk sekali, sedapnya jika dapat tidur bersama anak-anak ditambah dingin selepas hujan. Tetapi inilah peluang untuk saya siapkan tugas-tugas saya sementelahan anak-anak tidur. Dapat juga saya bereskan urusan pembelian secara online yang tertangguh tanpa gangguan.
Bila diingat kembali pengalaman membeli online saya bermula ketika tinggal di Sabah. Memandangkan tidak banyak pilihan tudung berawning di depan mata ketika itu, saya mencuba untuk membeli belah secara online. Rentetan dari itu, barang-barang lain turut saya beli secara online antaranya baju menyusu, baju kurung moden, barang kelengkapan ibu dan bayi, hanger tudung berklip dan lain-lain. Saya bukanlah sangat gemar membeli secara online kerana saya agak cerewet, tetapi jika barang tersebut menepati citarasa dan diyakini saya lebih senang begitu berbanding bersusah payah untuk mencarinya di kedai fizikal.
Memandangkan lambakan kedai online hari ini, saya lebih berhati-hati untuk membeli bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan yang sudah berleluasa. Sebelum berurusan dengan penjual, saya pastikan kedai online tersebut adalah kedai yang diyakini dan dipercayai. Ini dapat dilihat melalui maklumat peribadi seperti nombor lesen perniagaan, nombor telefon dan alamat. Pengalaman rakan-rakan atau orang terdekat juga membantu memberi keyakinan untuk memilih kedai online tersebut.
Selain itu, saya akan melihat maklumbalas daripada pelanggan yang sudah membeli dan yang sedang 'mencuci mata' di kedai online. Ini termasuklah interaksi antara pelawat dan penjual di facebook, testimoni dari pelanggan dan juga maklumbalas positif dari penjual sendiri. Maklumat tersebut bukan sahaja memberi informasi tentang kedai online malah menggambarkan kualiti barang yang dijual dan servis perniagaan tersebut. Biasanya untuk membeli sesuatu produk, saya akan singgah di beberapa kedai online dan membandingkan produk, harga dan pakej yang ditawarkan.
Selepas membuat pemilihan produk dan memahami segala maklumat dan syarat, barulah saya berurusan dengan penjual. Penjual yang mesra pelanggan amat saya gemari, dari penerangannya yang jelas, menggunakan bahasa yang sopan dan memudahkan urusan jual beli mampu membeli hati pelanggan untuk membeli. Apabila barang yang dipesan sudah saya terima, pasti saya akan memberi maklumbalas kepada penjual dan berterima kasih kepadanya.
Pembelian secara online amat memudahkan urusan kehidupan seharian saya. Selain menjimatkan masa dan wang, saya juga berpeluang membeli barang dengan harga yang lebih murah dan kadangkala barang tersebut tidak dijual di pasaran Malaysia. Tentu suka kan! Saya bebas membeli belah tanpa mengira waktu siang atau malam dan bebas memilih tanpa paksaan dari penjual. Tiada stress dan tidak memeningkan kepala.
Namun dalam kemudahan dan kesenangan pembelian secara online, saya harus akur risiko dan kekurangan yang ada. Nilai kepuasan terhadap barang yang dipilih tidak seperti kita membeli di kedai fizikal. Kebiasaannya keselesaan, jenis material tidak dapat kita jangka kerana tidak dapat menyentuh dan mencuba barang sebelum membeli. Warna barang juga kadangkala tidak sama seperti yang kita lihat di kedai online, ini adalah kerana faktor kamera atau faktor cahaya yang tidak dapat dielakkan. Sama sahaja bukan, membeli secara online atau membeli di kedai fizikal masing-masing ada kelebihan dan kekurangan sendiri. Kita sahajalah yang harus membuat pilihan yang bijak.
Berhenti dahulu untuk menyiapkan makan malam. Hingga bertemu lagi di entri akan datang. Wassalam.
No comments:
Post a Comment