Thursday 2 October 2014

PENGALAMAN SEBAGAI USAHAWAN ONLINE

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Google



Assalamualaikum,

Alhamdulillah pagi ini memulakan hari di SOHO ditemani deruman enjin kenderaan yang tidak putus-putus. Masakan tidak, ini kerana rumah saya adalah kuarters sekolah yang berada di tepi jalan utama. Pagi-pagi begini masing-masing menuju ke tempat kerja atau pun menghantar anak-anak ke sekolah. Menjelang jam 8 hingga 9 pagi nanti trafik akan sedikit reda.

Saya masih setia di rumah, bekerja di rumah menterjemah dan bisnes online. Saya dikira agak baru dalam bisnes online dan masih setahun jagung. Sebelum ini saya dan suami terlibat dalam bisnes juga tetapi mengamalkan cara tradisional, berurusan dengan pembeli secara nyata. Memulakan Butik Al Izzah dengan menjual tudung saiz L hingga XXL, shawl, inner magic dan seterusnya menambah produk baju muslimah dan baju kurung moden bonus untuk ibu-ibu menyusu. 

Alhamdulillah pelanggan datang silih berganti dan ada juga pelanggan tetap setia membeli dengan Butik Al Izzah. Mereka datang dengan cara, etika dan karenah yang berbeza, namun saya sedaya upaya melayan dengan sebaiknya. Nama pun manusia, sinonim dengan bermacam ragam dan karenahnya kan.

Bermuamalah dengan pelanggan akan terasa pahit manisnya dunia bisnes. Manisnya ketika mendapat respon yang positif  dari pelanggan, mereka sangat gembira dengan barang yang menepati citarasa, menghargai penjual dengan kata-kata yang baik dan memuji servis yang diberikan. Tidak semua orang faham dengan risiko pembelian online, namun ada juga golongan pelanggan yang faham dengan pembelian online dan redha dengan barang yang tidak 100% sama dengan yang dilihat di skrin misalnya perbezaan dari segi warna.

Saya juga senang hati jika pelanggan memudahkan urusan jual beli, contohnya memesan barang dengan lengkap dan jelas seterusnya membuat pembayaran dalam tempoh yang dibenarkan beserta transaksi. Dengan kata lain, memberi kerjasama terhadap permintaan saya sebagai penjual. Alhamdulillah.

Namun untuk berjaya dalam sesuatu bidang tidaklah semudah yang disangka. Ujian yang datang adalah pelajaran dan pengajaran untuk diri sendiri agar lebih berdaya maju. Saya juga tidak terkecuali diuji dengan bermacam karenah pelanggan, itulah resam berbisnes kan. Antara karenah yang biasa saya hadapi ialah:

- Pembayaran
Ini termasuklah pelanggan yang tidak tahu membuat pembayaran melalui kaedah transaksi yang saya sebutkan. Alhamdulillah dia berjaya membuat pembayaran dengan bantuan orang lain. Ada juga beberapa kes di mana pelanggan meminta saya menghantar barang dahulu dan akan membuat bayaran kemudian.

Sesetengah pelanggan ada juga yang menggenapkan bayaran atas alasan 'cash deposit' tidak menerima jumlah wang tertentu, secara tidak langsung dia telah mengurangkan bayaran tanpa kerelaan saya. Nampak seperti dia ingin mudah dalam urusan tetapi telah menganiaya peniaga seperti saya.

Wujud juga pelanggan yang tidak mahu dimasukkan kos penghantaran, dia enggan membayar lebih dengan bermacam alasan dan akhirnya ada juga yang membatalkan pembelian dengan alasan tidak mahu ada cas tambahan.

- Barang 
Saya pernah menghadapi pelanggan yang ingin menukar barang kerana 'design' tudung yang dibeli tidak menepati citarasanya. Pelanggan tersebut membeli setelah melihat gambar yang saya hantar, dia membeli tanpa saya memaksanya dan berdalih ingin tudung begitu dan begini mengikut citarasanya. Sungguh memeningkan.

Setiap barang yang keluar haruslah selepas bayaran dijelaskan, tiada istilah hutang, namun sesetengah pelanggan ada yang bertanya bila barang akan sampai sedangkan bayaran belum dibuat. Jika sudah membayar pula, mereka mahu barang tersebut boleh sampai pada hari itu juga.

- Sikap
Apabila berurusan dengan pelanggan dapat menyingkap sedikit sebanyak sikap manusia sama ada positif atau sebaliknya. Jika pelanggan tersebut dari kalangan orang terdekat dengan saya, agak susah untuk saya tangani kerana wujudnya hubungan hati atau hubungan darah antara kami. Saya lebih mudah berurusan dengan orang yang tidak saya kenali.

Biasa juga berlaku pelanggan yang meminta harga diskaun yang amat rendah. Bagi pelanggan tetap saya akan berikan harga istimewa namun harga tersebut masih dikira munasabah. Untuk memberi harga lebih rendah adalah satu kesukaran bagi saya namun saya akan beri alternatif terbaik untuk pelanggan tersebut.

Produk di butik online saya sentiasa  mengikut peredaran masa, saya juga akan menukar fesyen tudung dan pakaian lain sesuai dengan selera pelanggan. Adakalanya pelanggan teruja menempah barang yang baru keluar agar tidak terlepas peluang memilikinya namun kemudian senyap begitu sahaja tanpa dilanjutkan dengan pembayaran. Sesetengahnya akan menunggu waktu gaji untuk membuat bayaran. 

Jika sebilangan orang hari ini gemar membeli barang secara online namun ada juga yang tidak biasa dengan cara itu. Sebagai usahawan online, saya dapat membaca jenis pelanggan tersebut sama ada biasa atau tidak dengan pembelian online. Ada juga yang tidak biasa ditambah pula dengan ragam cerewetnya, menguji kesabaran si penjual, he he. Itulah untungnya jual beli online, tidak nampak riak wajah saya si penjual, walaupun sukar untuk berurusan namun saya boleh menyorokkan suasana sebenar.

Antara tips yang saya dapat dan cuba praktikkan ketika menghadapi saat diuji ragam pelanggan, saya cuba tenangkan diri dahulu. Jika perlu, saya tinggalkan sebentar dan memeluk anak-anak atau membuat perkara yang saya sukai. Saya akan kembali memberi respon kepada pelanggan dengan sebaiknya dengan memohon maaf atau dengan memberi penjelasan dengan terperinci. Sentiasa ceria dan kepilkan gambar senyuman agar pelanggan senang hati berurusan dengan saya. Apa pun pekerjaan yang kita lakukan semuanya menuntut minat, ilmu dan kesabaran. Sentiasalah kita menambah nilai dalam diri agar sentiasa sukses dan diberkati.




No comments:

Post a Comment

DESIGN BY:UMIESUEstudio/2014