Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Google
Assalamualaikum,
Hari ini rasa agak tertekan dengan karenah anak yang kecil. Masakan tidak, semua tempat yang Hariz pergi ada saja 'kerja'nya. Bersambung-sambung tanpa henti. Sampai satu tahap saya membiarkan sahaja tanpa berkata apa-apa, budak seperti Hariz memang tidak mengerti apa-apa. Pengalaman membesarkan kakaknya, Hannan banyak mengajar. Hariz persis kakaknya itu. Bila kembali tenang baru saya kemas kembali hasil 'kerja' anak bujang tadi.
Semasa mengemas, dalam hati ada terdetik, 'nasiblah tiada kerja terjemahan hari ini, boleh sabar lagi dengan karenah seorang ini'. Tiba-tiba telefon berbunyi dan ada 'job' masuk. He he, Allah sebaik-baik perancang. Memang Allah sedang mendidik saya erti kuat dan sabar ke tahap lebih baik.
Sehingga ke malam sedikit sahaja kerja terjemahan berjaya disiapkan, sungguh tidak mudah bekerja di rumah, namun bekerja di mana-mana pun tidak mudah, saya sentiasa positifkan diri. Berhajat untuk tidur awal malam ini untuk bangun di tengah malam, boleh teruskan kerja tanpa gangguan anak-anak. Sebelum tidur sempat merebus lemang segera untuk sarapan esok pagi. Segalanya harus dirancang, untuk memudahkan saya juga, sementelahan esok pagi-pagi suami akan keluar awal ke tempat peperiksaan UPSR di Puncak Alam. Bermakna esok saya akan bersilat sendiri untuk urus segalanya.
Undur diri dahulu, semoga esok lebih bermakna dan produktif!
No comments:
Post a Comment