Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi
Assalamualaikum,
Pagi ini saya masuk ke SOHO dahulu, mencuri masa sebelum anak-anak bangun. Hannan dan Nuhaa tidak ke sekolah hari ini kerana ada peperiksaan ulangan UPSR. Mata dan tangan bekerja dengan pantas, otak juga ligat berfikir. Namun sesekali termenung memikirkan padanan terjemahan yang sesuai. Rumit juga, tambahan pula kali ini banyak benda baru yang saya belum biasa. Alhamdulillah, pelajaran baru. Alah bisa tegal biasa.
Masa untuk bekerja saya hentikan dahulu memberi laluan untuk anak-anak pula apabila seorang demi seorang bangkit dari tidur. Mengajak mereka membersihkan diri, sarapan dan bersiap untuk satu sessi yang agak istimewa hari ini. Saya asyik mengerling jam, seakan laju jarum bergerak. Selaju itu juga saya uruskan diri dan anak-anak. Sejurus kepulangan suami nanti, kami harus keluar untuk pelbagai urusan. Peperiksaan UPSR hari ini berakhir agak awal, suami juga akan pulang lebih awal dari biasa.
Sessi yang saya maksudkan ialah urusan dokumentasi untuk menunaikan umrah bagi kami sekeluarga. Selepas selesai urusan di Imigresen dan JPN, kami pulang makan dan solat di rumah mertua. Alhamdulillah makan dengan ceria di restoran mertua. Selepas Zohor bergegas pula ke klinik untuk suntikan vaksin yang wajib bagi semua tetamu Allah. Syukur anak-anak tenang semasa diberi suntikan, tersasar dari sangkaan awal kami.
Kami pulang tatkala hari semakin gelap, syukur Allah mudahkan urusan hari ini. Sebenarnya kami sudah tidak punya banyak masa untuk urusan dokumentasi, lantaran pihak berwajib terlepas pandang dokumen kami. Jadi bila urusan lancar hari ini, lega dan syukur bersatu.
Tugas terjemahan sentiasa berlegar di fikiran saya, esok pagi harus dihantar, sempat siap kah? Seluruh badan terasa letih, tak mungkin dapat berjaga malam ini. Saya perlu tidur awal dan bangkit lebih awal untuk menyiapkan tugas. Adik-beradik saya sudah dikhabarkan menerusi mesej mohon hantar tanda sebagai tanda kejutkan saya jam 3 pagi.
Terjemahan bersambung esok.
No comments:
Post a Comment