Gambar : Norhafizah Abd Hadi
Alhamdulillah terjaga dari tidur rasa segar sedikit walaupun melelapkan mata buat seketika. Menidurkan si kecil, ibu turut sama belayar. Susah nak elakkan tertidur tu, asalkan tidurkan anak ibu pun tumpang mata sekali, jika menidurkan sambil menyusukan lagi lah sampai ke bulan jawabnya.
Bangkit dari katil terus menuju ke dapur, mencari idea apa nak dimasak untuk juadah petang. Teringin pula nak makan lempeng, rasanya sudah beberapa tahun tidak buat lempeng. Lempeng memang kesukaan kami sekeluarga, namun proses membuatnya yang agak lama, saya kalah dengan keadaan. Tidak larat mahu membuat satu persatu, menikmatinya memang laju cepat sahaja habis. Alhamdulillah kebetulan bahan semua ada ditambah kerajinan datang bertandang, saya masak lempeng cicah sambal ikan bilis petang ini. Oleh kerana sambal agak pedas, anak-anak lebih suka cicah susu pekat.
Terpancar wajah girang gembira anak-anak ketika menikmati lempeng, memang sudah lama ibunya tidak buat, masing-masing melepas gian. Saya terpaksa menghadkan makan lempeng petang ini kerana anak-anak makan dengan penuh selera. Tidak mengapalah ibu utamakan perut anak-anak dahulu.
Alhamdulillah anak-anak suka, ibu turut gembira. Bahagia dapat menggembirakan anak-anak dan suami hari ini. Kami tidak mengambil nasi hari ini untuk hidangan malam, cukup kenyang makan lempeng air tangan ibu. Selesai bersilat, berlari, kami siap-siap bersihkan diri dan bersedia untuk solat maghrib bersama. Usai solat, anak-anak dan suami terus ke surau sekolah untuk kelas mengaji pula bersama anak didik di kawasan sini. Saya menghela nafas lega sambil menyudahkan tugas-tugas si SOHO tanpa gangguan 3 budak kenit.
Alhamdulillah, hidup ini bahagia bila membahagiakan orang lain.
No comments:
Post a Comment