Gambar : Google
Suatu pagi sedang saya menyapu ruang tamu, mata dan telinga menangkap mutiara-mutiara yang jatuh dari bibir seorang ustazah di televisyen. Sangat menarik topik itu, santapan lazat rohani untuk hari itu, tentang harta pusaka. Teringat dulu sewaktu menetap di Sabah, pernah juga mendengar seorang ustaz mengupas topik ini. Sangat terkesan di hati mendengarnya, terutama bahagian harta bagi seorang isteri yang kematian suami.
Baru-baru ini suami ada menceritakan kisah seorang wanita yang kematian suami dan nasib malangnya bersama anak-anak selepas ditinggal pergi. Sungguh sayu. Wanita tersebut menjadi mangsa kejahilan ipar-iparnya. Harta yang sepatutnya dia dan anak-anak dapat, hanya tinggal angin sahaja. Walaupun beliau ada kelebihan bekerja tetap, namun gajinya masih dikira kecil untuk menampung segala perbelanjaan seorang diri.
Kisah penuh tragis ini tidak harus berhenti di sini, semua pihak harus mengambil pengajaran dan dilanjutkan dengan tindakan. Nasib seperti wanita ini boleh menjadi lebih baik dan lebih beruntung jika semasa suami masih hidup sudah merancang pembahagian harta untuk insan-insan tersayang selepas ketiadaannya. Dengan konsep hibah, insyaAllah kehidupan lebih harmoni dan ikatan kekeluargaan juga erat terjalin. Tidak ada istilah merampas hak orang lain kerana pemberian (hibah) sudah dibuat awal dan dengan kerelaan hati yang memberi.
Para suri tentu maklum,
---> bahagian harta seorang isteri yang ditinggalkan bersama anak-anak (anak lelaki/ anak perempuan/ anak lelaki dan anak perempuan)
---> bahagian harta seorang isteri yang ditinggalkan dalam keadaan bermadu
---> bahagian harta seorang isteri yang ditinggalkan sedangkan adik beradik suami dan ibu bapa mertua masih hidup
Banyak lagi keadaan yang timbul atas nama pembahagian harta pusaka, namun beberapa keadaan di atas cukuplah menjadi contoh menggambarkan urusan yang rumit tanpa wasiat semasa hidup. Sungguh rumit. Tambahan pula jika pasangan ada mengambil anak angkat atau mempunyai kerabat yang duduk serumah yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri.
Apa yang boleh kita lakukan ialah dengan wasiat dan merancang pembahagian harta dengan berkesan, bukan hanya para suami, malah setiap yang masih berpeluang melakukannya. Menyingkap bonus hibah (pemberian harta semasa hidup tetapi hanya berkuatkuasa apabila pemiliknya meninggal dunia), bukan sahaja harta tersebut dapat diberi kepada anak, isteri dan ahli keluarga, malah sesiapa sahaja atau menyumbang kepada badan kebajikan. Dari satu sudut tanggungjawab sudah dilunaskan dan dalam masa yang sama menjadi sedeqah jariah bagi pemilik harta tersebut.
Sungguh benarlah kehidupan di alam sana berkait rapat dengan kehidupan di dunia, bukan sahaja amal dan bekalan bahkan apa yang ditinggalkan. Harapan kita, siapa yang akan kita tinggalkan dan apa yang bakal ditinggalkan akan menjadi saham di akhirat sana. Jika kita mampu senyum pada hari ini, kita juga berdoa dan berharap agar kelak lebih bahagia abadi. Peringatan buat diri dan yang sudi menerima peringatan, BUAT SEBELUM TERLAMBAT.
Selamat tahun baru 1436H.
Suri di rumah.
No comments:
Post a Comment