Dingin sungguh pagi ini, kedinginan hujan semalam masih tersisa. Menjelang akhir tahun begini hujan turun hampir setiap hari, menandakan musim tengkujuh bakal menjelma lagi. Anakanda Hariz setia menemani mama di SOHO, awal pagi dia sudah mencelikkan mata, menyambung kerjanya yang tidak sudah-sudah.
Alhamdulillah masih diberi peluang mendidik dan membesarkan anak-anak sendiri. Bukan sikit-sikit sabar yang diperlukan, malah segunung kesabaran perlu ada untuk memikul amanah ini. Kasih ibu itu unik, walaupun seorang ibu itu marah, tetapi itu marah-marah sayang. Ada masa anak dimanja, dipuja, ada masa juga anak ditegur dan dimarah tetapi masih dalam sempadan kasih seorang ibu. Proses membesarkan anak memberi pelajaran baru buat ibu setiap hari.
Namun kata-kata anak di dua situasi membuat mamanya tersenyum simpul. Ternyata si anak mahukan ibu baru menggantikan ibunya sedia ada.
*SITUASI 1
Ketika duduk-duduk bersama baba, si anak berkata, "Kawan kakak kat sekolah nak dapat mak baru, ayah dia kawin lagi, kakak pun nak mak baru la baba".
*SITUASI 2
Saya sungguh letih dengan pelbagai ragam anak hingga akhirnya saya buat-buat ayat, "Biarlah mama pergi ye, best tak kalau dah takde mama?". Si anak menggelengkan kepala, kemudian menyambung lagi, "Boleh dapat mak baru!".
Aduhai anak, tidak kau mengerti luasnya kasih ibumu melebihi apa yang kau fikirkan, dalamnya kasih buatmu melebihi lautan. Manakan sama kasih ibu baru dengan kasih ibu yang telah mengandungkan, melahirkan, menyusukan dan membesarkan dan mengajar erti kehidupan.
Ibumu tidak mengambil hati atas kata-katamu itu lantaran kau masih belum upaya membezakan kaca dan permata. Namun ibumu mengambil pengajaran agar perkemaskan lagi ilmu keibubapaan seiring dengan pertambahan usia cahaya-cahaya hati dan perubahan cabaran masakini. Semuanya cabaran buat seorang ibu. Doa dari nurani mama, semoga semua anak-anak sentiasa dalam lembayung rahmat Allah dan bahagia dunia akhirat. Ya, mama terus berdoa kerana mama tahu doa ibu lah antara doa mustajab.
No comments:
Post a Comment