Tuesday, 18 November 2014

JUALAN AKHIR TAHUN

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Google




Assalamualaikum,

Pagi ini matahari seperti segan-segan untuk memancarkan sinarnya, membuatkan saya teragak-agak untuk menjemur pakaian. Nantilah tunggu sekejap lagi, bisik hati saya. Memandangkan pakaian untuk dijemur pada hari ini banyak, mudah-mudahan cuaca baik saja lah.

Semalam anak kedua membawa pulang fail, buku dan alatulisnya dari sekolah, menandakan sessi persekolahan tahun ini hampir tamat. Berkali-kali dia bertanya, "Nuhaa dah habis sekolah ke?". Dia belum faham, fikirnya selepas ini dah tak boleh sekolah lagi. Baginya mahu belajar dan belajar lagi, tidak mahu habis belajar.

Oh ya, berceloteh tentang akhir tahun, kebanyakan peniaga akan mengadakan jualan akhir tahun. Saya suka dengar jualan begini, he he. Selain boleh menikmati penjimatan, pilihan juga boleh tahan banyak jika kita antara pembeli terawal. Memang boleh buat stok atau persiapan untuk masa depan. Saya masih ingat akhir tahun lepas, saya dan anak-anak ada membeli baju kurung di Jakel. Ketika itu baju kurung kanak-kanak berharga RM10 sahaja sepasang. Murah kan! Memang teruja. Kami beli dan simpan untuk dipakai pada hari raya tahun ini.

Begitu juga peniaga-peniaga online, tidak ketinggalan turut serta mengadakan jualan harga istimewa. Saya agak gemar juga jika ada pembelian kombo, biasanya saya akan bergabung dengan ahli keluarga untuk satu pembelian. Jika waktu biasa harganya jauh lebih tinggi dan kami berfikir banyak kali untuk membeli, waktu inilah yang sesuai untuk memilikinya, memang jimat dari segi harganya dan juga kos penghantaran.

Bila kita nampak di sana sini ada jualan murah, memang suka lagi-lagi orang macam saya, he he. Namun sebagai pembeli bijak, kita harus berbelanja dengan berhemah, apabila harga barang boleh dibeli dengan murah tidak bermakna semuanya harus kita beli ketika jualan berlangsung. Apa pun mengikut kadar keperluan dan kemampuan. Kualiti juga harus dititikberatkan, begitu juga barang yang ada tarikh luput, berawas ya. 

SELAMAT MEMBELI BELAH, JOM JADI PENGGUNA BIJAK!



* Insya Allah Butik Al-Izzah akan mengadakan jualan istimewa tidak lama lagi. Nantikan ya.

No comments:

Post a Comment

DESIGN BY:UMIESUEstudio/2014