Monday, 10 November 2014

DARI KERANA MINAT

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Google








Assalamualaikum,

Alhamdulillah, Isnin yang cerah dan ceria bersama sinar mentari. Syukur masih diberi peluang meneruskan kehidupan, mengumpul bekalan dan saham untuk ke sana. Saya selalu terkenangkan hari kiamat, hari kematian, menakutkan bukan. Namun itu benar-benar pasti, janji dari Allah. Semoga kita semua dikurniakan husnul khotimah. Amin.

Saya dahulunya pelajar Bahasa Arab UIAM, sangat sukakan subjek Bahasa Arab sejak di bangku sekolah, menyambung ke peringkat Master juga dalam jurusan yang sama, cuma pengkhususan Terjemahan. Saya juga sangat suka bidang terjemahan. Dalam sela waktu sakit mata ini, saya ada menolak tugas terjemahan kerana tidak dapat memberi komitmen dengan baik. Namun dari hari ke hari saya menyelak helaian kamus dan merujuk kamus di internet untuk rujukan sendiri. Seronok bermain dengan perkataan, dari satu patah perkataan boleh bercambah menjadi berbagai bentuk dan berbeza maksudnya. 

Sepanjang tempoh menjadi penterjemah sambilan, saya tertarik dengan nama-nama yang tertera dalam dokumen. Nama tersebut saya harus tulis ke tulisan jawi dan perlu merujuk beberapa kamus untuk kesahihan dari segi ejaan dan maksudnya. Pencarian yang unik kerana beberapa nama yang biasa diguna dan sedap didengar tidak saya temui maksudnya. Bertitik tolak dari itu, saya semakin rajin meneliti perkataan dan nama-nama untuk menambah pengetahuan saya di samping mendapatkan kesahihan maksud dan ejaan sebenar.

Hari ini saya masih dengan kamus-kamus saya, setiap hari ada penemuan baru. Alhamdulillah, memang benar semakin banyak kita belajar, semakin banyak rupanya yang kita tidak tahu. Suami memberi cadangan agar saya menulis buku panduan nama-nama yang betul ejaan dan maksudnya. Saya perhatikan sudah banyak buku nama di pasaran namun sejauh mana kesahihannya saya belum habis kaji. Insya Allah saya akan lawati kedai-kedai buku untuk berkenalan lebih lanjut tentang isi buku nama yang ada. Mana tahu ada kelompongan yang boleh saya isi dengan ilmu sekelumit ini, setidak-tidaknya boleh dimanfaatkan bersama orang lain. 

Saya masih mengkaji, mudah-mudahan Allah mudahkan kajian saya. 

No comments:

Post a Comment

DESIGN BY:UMIESUEstudio/2014