Tuesday, 1 October 2013

MATI ITU PASTI




Assalamualaikum, 

Salam ukhwah harum mewangi buat pembaca semua,

Dalam dua tiga hari ini mood saya agak terganggu dengan berita sedih yang diterima. Kemalangan, kematian, kehilangan. Khabar ini melibatkan insan yang saya kenali sejak di sekolah menengah hingga ke universiti. Jasa baktinya selaku senior, kawan, pembimbing tidak dapat saya hitung lagi, amat banyak. Lantaran itu, khabar pilu tersebut benar-benar menyentuh hati saya. 

                           Keratan akhbar sinar 30 September 2013

Episod kemalangan itu telah meragut nyawa isteri sahabat saya pada hari kejadian, kemudian dituruti sahabat saya 3 hari kemudian. Sementara anaknya terselamat dan bermula hidupnya sebagai seorang yatim piatu. Saya diizinkan Allah menghantar sahabat saya ke perjalanan terakhirnya di mana dia disemadikan bersebelahan kubur isterinya. Sungguh sayu dan pilu tak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Benarlah janji Allah itu pasti, mati itu pasti. Sampai masanya kita akan dipanggil, dalam apa jua keadaan sekali pun, apa jua waktu sekali pun, tidak kurang sesaat dan tidak pula lebih sesaat. Hidup yang fana ini sering kita terleka dan tersasar. Allahu Akbar. Sementara sisa usia yang masih ada ini, saya tanamkan dalam hati untuk menjadi insan yang lebih baik dari hari-hari yang berlalu, sebolehnya tidak mahu saya ulangi dosa-dosa silam dan akan terus memburu cinta Ilahi.

اللهم أصلح لي ديني الذي هو عصمة أمري، وأصلح لي دنياي التي فيها معاشي، وأصلح لي آخرتي التي فيها معادي، واجعل الحياة زيادة لي في كل خير، واجعل الموت راحة لي من كل شر

“Ya Allah, tolonglah daku dalam menjalankan agama yang merupakan pelindung segala urusanku. Elokkanlah urusan duniaku yang merupakan tempat aku mencari kehidupan. Elokkanlah urusan akhiratku yang merupakan tempat aku kembali. Jadikanlah kehidupanku ini sebagai tambahan segala kebaikan bagiku dan jadikanlah kematianku sebagai ketenangan bagiku dari segala kejahatan.” (HR. Muslim)

Buat sahabat dan pasangannya, semoga tenang dan bahagia di alam sana, semoga kita bertemu lagi di syurga Ilahi. Amin.

Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.

No comments:

Post a Comment

DESIGN BY:UMIESUEstudio/2014