Thursday, 3 October 2013

AYUH BESARKAN JIWA KITA....



Assalamualaikum semua, 


Semalam adalah hari kelam kabut bagi kami, apa taknya kami suami isteri terlewat bangun dari kebiasaan. Maka tiadalah kesempatan untuk sediakan juadah sarapan seperti yang dirancang sebelum tidur. Makan apa yang boleh dicapai sahaja! Pilihlah nak biskut cicah air milo atau roti sapu coklat Nutella. He he.


Setelah suami dan anak ke destinasi masing-masing, saya mula bersilat buat itu dan ini, dua anak kecil pun dah bangun, bertambah ligatlah silat saya. Anak kedua mula merengek minta sajian yang dirancang malam tadi, saya katakan padanya saya rasa macam tak sempat nak buat memandangkan adik kecil dah bangun juga. Tak cukup dua tangan mama ni sayang. Tapi dia terus merengek meminta, saya pun dengan pantas menyiapkan permintaannya. Nah! Siap pun roti gulung sosej berkeju, saya mengajak dia makan bersama. Wah, pujinya melangit bila mula makan. Anak kecil memang jujur, boleh jadi hakim kan.


Menjelang tengahari satu persatu tugas dah pun selesai, saya melihat jam sudah 11.15 tengahari. Owh, melompat terus saya dari katil seusai menidurkan anak yang kecil. Kedengaran suara si kecil menangis ketika saya baru mulakan tugas memasak. Keadaan bertambah kalut, dengan anak kedua yang meminta macam-macam, saya seperti perlu tambah dua tangan lagi. Dalam kekalutan itu, saya terus memasak dan Alhamdulillah akhirnya selesai juga. Suami dan anak yang pulang tak sabar menikmati hidangan tengahari ini, nasi tomato! Semua makan dengan berselera sekali sambil memuji air tangan tukang masak. Alhamdulillah syukur dapat gembirakan hati mereka.


Begitulah kita dalam hidup ini, kadangkala kita rasa tak mampu nak lakukan, tak cukup kekuatan dan macam-macam lagi. Bila sudah sampai ke penghujungnya barulah kita rasa ajaib, puas sangat dan sudah terlupa saat-saat sukar untuk melaluinya. Dengan semangat luar biasa dan jiwa yang besar, insya Allah kita pasti dapat menggapai bintang di langit. 


Jom semua para suri, kita memang boleh!


Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.

No comments:

Post a Comment

DESIGN BY:UMIESUEstudio/2014