Wednesday, 9 October 2013

DALAM UJIAN ADA RAHMAT






Assalamualaikum semua, 

Alhamdulillah, syukur kepada Allah masih dapat menikmati rezekiMu hari ini. Pagi yang indah dengan senyuman sang suria, terasa segar bangkit dari tidur, ceria memulakan rutin hidup dengan penuh semangat. 

Sejak akhir-akhir ini terpampang berita orang keracunan makanan dan lebih teruk lagi hingga membawa maut. Kasihan sungguh, semoga Allah merahmati mereka. Berita ini mengingatkan saya peristiwa beberapa minggu yang lalu, berlalu pada keluarga saya. Dalam kegembiraan kami menerima ahli baru dalam keluarga, kami sekeluarga keracunan makanan. 

Waktu itu dua orang adik saya baru saja melangsungkan perkahwinan, kami seluruh ahli keluarga beramai-ramai akan ke Jempol untuk majlis bertandang. Sehari sebelum bertolak, anak sulung saya muntah-muntah, diikuti oleh anak kedua, sementara saya mengalami mual-mual dan cirit-birit dan suami pula pening-pening. Si kecil pula cirit birit. Keadaan agak rumit ketika itu memandangkan anak-anak belum pandai mengurus diri dan ibu bapanya juga turut tidak sihat. 

Dengan saranan yang diterima, kami ‘berubat’ dengan air isotonik 100 Plus, air minuman kultur dan yogurt. Tidak sempat mahu cari air kelapa di waktu kecemasan itu. Alhamdulillah keadaan semakin baik. Kami semakin sihat. Jempol pula? Bukan rezeki kami untuk kali ini, ada lah hikmah disebaliknya. 

Saya tidak pasti punca kami keracunan makanan, tetapi peristiwa itu membuatkan saya lebih berhati-hati dan meningkatkan kebersihan. Setiap ujian yang Allah turunkan itu pasti ada peringatan yang Allah ingin sampaikan. Walaupun kami sekeluarga tidak dapat ke Jempol, tetapi masa yang ada kami manfaatkan dengan aktiviti keluarga yang sudah beberapa kali tertangguh. Alhamdulillah di sebalik ujian itu terselit sejuta rahmat. 


Positifkan minda, tangani ujian sebaiknya, insya Allah hati sentiasa bahagia. 

Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.

No comments:

Post a Comment

DESIGN BY:UMIESUEstudio/2014