Tuesday, 8 October 2013

HATI SEORANG IBU



Assalamualaikum semua, 

Bertemu lagi kita di entry kali ini, hari ini saya nak berceloteh tentang anak-anak, tidaklah banyak, sedikit cuma untuk renungan bersama.

Sejak kebelakangan ini saya dan suami sudah beberapa kali ternampak puteri sulung kami ‘mengerjakan’ adiknya. Pukul, sepak dan macam-macam lagi. Pelik juga sebab sebelum ini dia tidak pernah begitu. Saya tertanya-tanya dalam diri apa puncanya.

Suatu hari saya berborak kosong dengan anak tersebut yang mesra dipanggil ‘kakak’, kami berbual tentang hal sekolahnya. Makan apa, belajar apa, main apa. Tiba-tiba anak saya bercerita tentang kawannya yang sering memukul, menyepak, mencubitnya dan macam-macam lagi sepanjang di sekolah. Saya agak terkejut dan kasihan pada puteri saya ini. Barulah saya tahu punca sikap peliknya sejak akhir-akhir ini. Walaupun jauh di sudut hati saya marah dengan perbuatan kawannya itu, tetapi saya harus mengajar sesuatu yang positif kepada anak saya. Saya faham, umur kanak-kanak dalam lingkungan sekolah tadika memang begitu. Lasak, sukar dikawal dan aktif. 

Dengan santainya saya menerapkan beberapa perkara agar anak saya belajar sesuatu dari pengalaman tersebut :
  •   Memberitahu guru sebarang kejadian yang tidak diingini
  •  Tidak melawan tetapi memberitahu kawan keburukan perbuatannya itu
  •  Tanamkan dalam diri anak bahawa dia harus menjadi contoh baik pada orang lain
  •  Tahu membela diri, bukan bermakna melawan tetapi boleh dengan cara memek muka tidak menyukai perbuatan kawannya atau pun menghindari kawannya ketika ‘anginnya’ datang.
  •  Memaafkan orang lain

Anak saya baru berumur 6 tahun, berbagai situasi dan keadaan dia akan lalui sepanjang proses pembesarannya. Saya doakan dia kuat dan cekal untuk melaluinya berlandaskan iman, begitu juga adik-adiknya. Saya dan suami selaku ibu bapanya tidak selalu bersamanya, tetapi doa kami sentiasa mengiringi langkahnya, semoga dia boleh bawa diri dalam apa jua keadaan.

Doa seorang ibu tiada hijab, ayuh doakan anak-anak kita!

Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam

No comments:

Post a Comment

DESIGN BY:UMIESUEstudio/2014