Teks : Norhafizah Binti Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Binti Abd Hadi
Assalamualaikum
semua,
Alhamdulillah,
masa yang berlalu sangat pantas rasanya, tidak sedar kalendar 2013 dah
menghampiri helaian terakhir, bermakna hampir setahunlah saya dan keluarga
sudah menetap di Selangor setelah beberapa tahun berkelana. Hampir setahun jugalah
kelas pengajian suami saya di Masjid Negeri, Shah Alam.
Antara
harapan-harapan kami untuk berpindah ke tempat sekarang ialah ingin menimba
ilmu sebanyak mungkin. Suami telah pun memulakan pengajian tarannum, ilmu yang
sangat diidamkannya sekian lama dan jika ada kesempatan kami akan ke kuliah
agama yang sangat banyak di sekitar tempat saya.
Baru-baru
ini saya berpeluang mengikut suami ke Masjid Shah Alam, rutin biasanya ke kelas
tarannum, kebetulan pula hari tersebut diadakan kuliah Maghrib Ustaz Haron Din.
Kuliah ini diadakan setiap awal bulan. Permulaan kuliah ustaz, saya sibuk
melayan anak-anak mahu makan, mahu itu dan ini, agak terganggu fokus untuk
mendengar. Kemudian selepas suami mengambil alih melayan anak-anak, saya dengan
santai mendengar kuliah, Alhamdulillah.
Menghadirkan
diri ke masjid memberikan saya roh yang luar biasa, ditambah pula ada aktiviti
sampingan di situ, sungguh mendamaikan hati. Tetapi hadir bersama teman-teman
cilik seperti saya perlu ada tenaga lebih untuk mengepung dan mengejar anak. Walaupun
begitu sukar, sekali sekala saya akan bawa mereka ke masjid, mengajar anak
adab-adab di masjid, solat berjemaah, berkenalan dengan orang pelbagai latar
belakang dan usia dan mengajak anak mendekatkan diri kepada Allah. Mereka
sangat suka tetapi saya perlu membawa sesuatu untuk mengawal keadaan anak seperti
membawa buku mewarna, makanan ringan, air minuman dan permainan.
Saat-saat
indah ini adalah antara waktu kualiti dalam keluarga saya, ketika saya dan
suami menambah ilmu, anak-anak juga menggarap ilmu baru di luar rumah. Ruang dan
peluang yang ada kami cuba manfaatkan sebaiknya. Semoga kasih sayang keluarga
ini semakin erat dan semakin kuat cinta kepadaMu ya Allah.
Koreksi
diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.
No comments:
Post a Comment