Sunday, 10 November 2013

IKEA, KAMI DATANG!

Teks      : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi

Assalamualaikum semua,

Pagi yang cerah, tiada mendung, tiada hujan seperti semalam. Alhamdulillah masih diberi peluang meneruskan kehidupan bersama keluarga tersayang.  Pagi ini ketika memasak untuk sarapan pagi, suami mengajak ke Ikea. Hati rasa teruja terus bersetuju dengan cadangan tersebut. Selepas bersarapan dan menyiapkan anak-anak, kami menuju ke Damansara.

Alhamdulillah perjalanan lancar cuma kami agak meraba-raba sedikit kerana ada laluan ditutup berdekatan Ikea. Setelah berpusing-pusing, kami sampai juga ke destinasi yang dituju. Memandangkan waktu sudah tengahari, kami ambil keputusan untuk makan dahulu,  nanti barulah ada tenaga untuk berjalan sakan.


Rasa seronok dan teruja melihat segala yang ada di Ikea. Bermacam-macam konsep susun atur rumah memberi idea baru kepada pengunjung seperti saya, idea yang segar! Tak kurang juga keunikan kelengkapan rumah di situ, sungguh menarik minat saya.

Membeli belah bersama anak-anak kecil adakalanya sungguh menceriakan, namun kadangkala sungguh menguji kesabaran. Antara kemudahan mesra kanak-kanak di Ikea ialah tempat penjagaan kanak-kanak, troli, di samping tandas dan tempat menukar lampin bayi. Kami manfaatkan sepenuhnya kemudahan yang ada, sedikit sebanyak dapat mengurangkan lelah kami.

Hari ini adalah kali pertama kaki kami ke situ bersama anak-anak. Niat di hati ingin kami ulangi kunjungan seterusnya, tetapi biarlah dengan persiapan yang cukup dan minda yang sedia memandangkan kunjungan hari ini perancangan tiba-tiba dari encik suami. 

Hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.

No comments:

Post a Comment

DESIGN BY:UMIESUEstudio/2014