Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Google
Assalamualaikum semua,
Celoteh tentang penjagaan anak saya sambung lagi, kali ini tentang 'walker' pula. Saya percaya sesetengah ibu menggunakan 'walker' apabila bayi mereka mula melepasi beberapa tahap pembesaran. Harapan mereka, lebih mudah mengawal pergerakan bayi dan lebih mudah mereka membuat kerja. Sesetengahnya juga berpendapat bayi akan lebih cepat berjalan dengan bantuan 'walker'.
Pada pandangan kasarnya memang nampak sebagai penyelesai masalah tetapi ia tidak menjamin keselamatan bayi. Bayi terdedah kepada kemalangan dan kecederaan dan lebih malang lagi membawa kepada kematian. Kajian demi kajian menunjukkan 'walker' menyumbang kepada kecederaan malah Kanada telah mengharamkan penggunaan alat tersebut.
Menurut satu kajian yang dijalankan di Singapura, juga antara sebab ibu-ibu perlu mengelak dari menggunakan 'walker' ialah kecederaan. Kecederaan tersebut termasuklah jatuh dari tangga, kecederaan di kepala, patah tulang, terkehel pada jari tangan dan kaki, keracunan dan lemas.
Selain terdedah kecederaan, penggunaan 'walker' tidak membantu bayi untuk berjalan, malah melambatkan bayi itu belajar berjalan akibat perkembangan otot dan mental yang tidak dirangsang. Sebaiknya bayi perlu meniarap, merangkak dan berjalan sendiri bagi membantu perkembangan
fizikal dan mental yang sihat, secara tidak langsung bayi akan mencapai perkembangan kemahiran dengan cara normal.
Saya bukanlah pakar kanak-kanak yang mahir tentang segalanya untuk bayi, tetapi saya ingin berkongsi dari mereka yang pakar. Mencegah itu lebih baik dari merawat. Biarkan anak kecil kita berguling dan bermain di hamparan mahu pun di katil bayi, biarkan mereka berkembang secara semulajadi. Sekalipun terpaksa menggunakan 'walker', sebaiknya gunakan dalam jangka masa yang pendek dan lebihkan perhatian terhadap bayi.
Koreksi
diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.
No comments:
Post a Comment