Gambar : Norhafizah Binti Abd Hadi
Assalamualaikum semua,
Alhamdulillah angin petang Jumaat yang sungguh mendamaikan. Teman-teman pembaca di Perlis hinggalah ke Sabah pasti menikmati juga angin ini. Berkongsi nikmat Allah yang tak dapat dilihat tapi dapat dirasa.
Tika ini terkenang ketenangan hidup di Borneo dulu. Tenang, jauh dari kesibukan dan hiruk pikuk kota. Waktu yang terluang diisi dengan pelbagai aktiviti bersama teman-teman yang dianggap seperti saudara sedarah. Menikmati makanan laut dengan harga yang murah dan segar. Mula mengenali lauk seperti kijang, rusa, kancil dan landak. Sangat indah untuk dikenang.
Udang pelbagai saiz |
Udang kara |
Ikan tembaring |
Ikan jenahak |
Namun suatu masa dulu saya beria-ia mahu segera berpindah ke daerah sendiri. Siksa rasanya melalui kehidupan yang tidak biasa saya lalui sebelum itu. Masalah bekalan air dan elektrik yang sering tergendala, bekalan air kotor dan bertanah, bandar yang jauh. Diibaratkan waktu itu seperti zaman datuk nenek kita dahulu.
Tadah air hujan |
Aktiviti yang disukai anak-anak, mandi di sekolah ketika terputus bekalan air |
Ketika itu, air hujan amat berharga bagi saya. Saya tadah hujan untuk kehidupan seharian, ketika ada gangguan air. Kadangkala saya menumpang bekalan air di rumah orang atau suami mengangkut air sedikit demi sedikit dari tangki sekolahnya dan paling jauh kami mencari air hingga ke bandar sambil membeli keperluan harian.
Bekalan elektrik di tempat saya dahulu kerap kali terputus. Tidak kira siang atau malam. Memang tidak tahan duduk di rumah kepanasan. Pasti kami dengan teman-teman lain berkumpul di sekolah kerana hanya di situ sahaja ada simpanan tenaga solar. Beberapa tahun kemudian, suami membeli kipas yang boleh dicaj, alhamdulillah lega sedikit kerana waktu itu anak sudah berderet.
Kipas caj kami |
Jarak tempat tinggal saya dengan bandar lebih kurang 60km. Itulah bandar yang terdekat. Agak sukar juga jika ingin mencari keperluan, terpaksa mengharungi perjalanan yang jauh. Kedai-kedai kecil ada di sekitar tempat tinggal saya namun kurang lengkap dan harga juga agak tinggi. Keunikan gaya hidup di waktu itu ialah sekiranya ada di antara kami dan teman-teman yang ingin ke bandar, sudah terbiasa adat berkirim. Tetapi hanya kiriman yang tidak menyusahkan tuan diri lah. Hospital dan pejabat-pejabat kerajaan juga jauh di bandar. Sekiranya ada hal mustahak, bermusafirlah kami ke bandar. Menjadi kebiasaan juga sekiranya banyak urusan di bandar, maka terpaksa menginap di hotel. Saat sebelum saya ke hospital untuk melahirkan anak juga saya sempat menginap di hotel. He he.
Jalan untuk ke bandar Tawau |
Begitulah kita sebagai insan, mengikut aturan yang diaturkan oleh Allah. Belajar bersyukur dalam segala keadaan. Hidup ini umpama roda, adakala kita susah dan adakala kita senang. Lumrah lah hidup ini, di mana pun ada susah senangnya. Yang pasti kemuncak segala kebahagiaan dan kesenangan itu hanya di syurga yang abadi. Dunia hanyalah persinggahan dan ladang untuk kehidupan di akhirat. Kadangkala kita perlu merenung masa lampau agar menjadi pedoman di masa depan dan adakala kita perlu melupakan masa lampau untuk lebih maju ke hadapan.
Tempat tinggal sekarang, 5 minit dari pantai |
Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.
No comments:
Post a Comment