Wednesday, 6 August 2014

NIAT NAN SATU





Assalamualaikum,

Belum terlambat saya ucapkan selamat hari raya buat semua, kullu 'am wa antum bikhair. Semoga amalan kita diterima dan dosa-dosa diampunkan. Amin.

Hari ini ada sedikit debaran di hati saya dan suami kerana kami harus menghantar nama dan butiran yang diperlukan untuk menunaikan ibadah umrah yang dirancang pada cuti sekolah akhir tahun nanti. Kami merancang membawa bersama 3 orang anak yang masing-masing berumur 7, 4 dan 2 tahun. Niat untuk pergi bersama anak-anak sudah lama termaktub dalam doa kami anak beranak. Anak-anak juga sering berdoa kerana teruja melihat kaabah di televisyen.

Namun niat itu tidak disenangi beberapa pihak, berbagai kata dan sangkaan bukan-bukan menjengah pendengaran kami suami isteri, terus menusuk di hati. Saya dan suami terus berbincang dan banyak berdoa terutama di bulan Ramadhan. Saya banyak bertanya dan merujuk rakan-rakan yang berpengalaman membawa anak-anak semasa mengerjakan umrah, masing-masing tidak menghalang malah sangat menyokong. 

Tidak cukup dengan itu saya menjengah pula blog-blog yang memaparkan tulisan pengalaman tetamu Allah membawa 'haji/hajjah kecil' bersama. Apa yang saya dapat masih sama, mereka juga tidak menghalang, malah sangat seronok membawa anak masing-masing. Alhamdulillah, datang kekuatan dalam diri saya. Hanya tinggal mencari kekuatan untuk menghadapi mulut dan lidah yang 'tiada insurans' sahaja lagi. He he.

Dalam meniti waktu menuju niat nan satu, saya terus berdoa semoga Allah kabulkan hajat kami dan mudahkan segala urusan. Buat para pembaca budiman, doa kalian saya dambakan. 

Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.

No comments:

Post a Comment

DESIGN BY:UMIESUEstudio/2014