Gambar : Norhafizah Abd Hadi dan Google
Saya bersama anak-anak dan suami tercinta yang banyak membantu menjayakan penyusuan susu ibu |
Assalamualaikum semua,
Pantasnya masa berlalu, masuk bulan Ogos dah, akhir Julai lalu genaplah anak bujang saya berumur 2 tahun dan genaplah penyusuan 2 tahun sepenuhnya dengan susu ibu. Alhamdulillah Allah murahkan rezeki dapat melengkapkan penyusuan anak ketiga seperti kakak-kakaknya dahulu.
Saya tidak nafikan saya adalah penyokong tegar penyusuan susu ibu. Kerana mementingkan itu juga, anak saya tidak berderet laju seperti sesetengah orang lain. Jika orang lain marathon untuk ramai anak dan berbangga dengannya, saya pula berusaha keras untuk menjayakan misi yang satu itu.
Tidak semudah ABC melengkapkan penyusuan 2 tahun, oleh kerana itu ramai yang kecundang di tengah jalan dan ada juga yang tidak meletakkannya sebagai keutamaan dek kerana kurang ilmu. Bagi saya, kejayaan ini bukanlah atas faktor saya seorang, bahkan yang utama sokongan dan bantuan suami tersayang. Oleh kerana saya memberikan anak susu ibu sahaja, banyak masa saya diperuntukkan untuk menyusu, perkara-perkara lain suami akan sedaya upaya membantu.
Seawal pagi suami akan bangun dan menyiapkan sarapan, menyiapkan anak-anak untuk ke sekolah, berganti memegang anak jika saya mahu solat atau hal lain dan pendek kata suami harus banyak masa di rumah membantu isteri. Tidak dinafikan tidak banyak aktiviti luar suami yang dapat disertai oleh suami walaupun untuk solat berjemaah atau kenduri dan tahlil di masjid. Ini kerana di samping perlu membantu saya semasa penyusuan, suami juga turut membantu menjaga dan memenuhi keperluan anak-anak yang lain.
Nampak kan, besarnya nilai bantuan seorang suami ketika penyusuan. Kejayaan penyusuan tidak terletak pada mahalnya pam susu sahaja, bukan juga pada set penambah pengeluaran susu sahaja, malahan merangkumi semua aspek fizikal dan mental. Jika seorang ibu berada dalam suasana tertekan, pengeluaran susu akan terganggu dan merudum. Kata-kata dari mulut sekeliling untuk menggagalkan penyusuan juga harus ditangani dengan baik oleh suami isteri, kerana itu turut memberi kesan kepada emosi si ibu seterusnya mengganggu penyusuan.
Bagi saya, sangat besar ertinya dapat memberi susu ibu kepada anak-anak saya seperti yang ditekankan dalam Al-Quran. Tentu besar hikmahnya sehingga Allah meletakkan itu antara keutamaan dalam hak anak. Saya menyeru bakal-bakal ibu carilah ilmu penyusuan dan mintalah kepada Allah agar dimudahkan segalanya, dari Allah saranan tersebut maka kepadaNya lah kita sandarkan harapan. Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga berjumpa lagi di entri seterusnya. Wassalam
No comments:
Post a Comment