Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi
Hari ini akan berlangsung majlis raptai untuk kovokesyen sijil taranum suami bertempat di Masjid Negeri, Shah Alam. Awalnya saya masih berkira-kira untuk mengikutnya memandangkan majlis tersebut akan diadakan pada waktu malam dan juga pada hari bekerja. Saya perlu menimbang kerana harus membawa sekali anak-anak. Akhirnya nekad kami semua pergi.
Rindu sungguh untuk ke masjid itu, sudah lama tidak ke sana. Pada masa yang sama saya dan suami sedang bersungguh-sungguh menyiapkan diri untuk membawa anak-anak menunaikan umrah dalam masa terdekat jika diizinkan olehNya. Di samping mengajar anak-anak adab di tempat ibadah, kami juga membiasakan diri beribadah bersama ragam anak kecil yang aktif dan riang.
Alhamdulillah anak lelaki saya agak terkawal bersama suami sepanjang masa. Hati juga tidak gusar semasa solat kerana dia duduk diam sahaja. Dalam beberapa pemerhatian kami, alhamdulillah si bujang itu 'behave' dengan syarat tidak bersama 2 kakaknya.
Sementara 2 anak perempuan saya pula asyik bermain tanah liat yang dibawa dari rumah. Saya melayan mereka berdua dengan memberi idea merekabentuk itu dan ini menggunakan tanah liat. Sekali sekala jika bosan, mereka akan berjalan sekitar saya atau bergaul dengan kanak-kanak berdekatan mereka.
Kami pulang lebih awal sebelum majlis berakhir. Anak-anak gembira dengan aktiviti malam ini. Banyak yang kami kongsikan bersama semasa dalam kereta, berkisar adab, etika, ibadah umrah dan seumpamanya. Sedikit sebanyak anak-anak sudah faham apa yang saya dan suami sampaikan dan yang penting sebagai persediaan menunaikan umrah.
No comments:
Post a Comment