Thursday, 15 January 2015

ANAK SOLEH DAMBAAN KITA

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Google
 



Sejak tersebarnya youtube Kaisa, hafizah cilik dari Indonesia, saya semakin giat mencari lagi bacaan-bacaannya dari surah lain. Sangat terinspirasi. Tatkala mendengar bacaan anak kecil itu air mata bergenang.  Lancarnya ayat-ayat suci meluncur laju di bibir mungilnya, penuh gaya menterjemahkan maksud melalui gerakan tubuh badannya. Masya Allah, kagum sungguh dengan kanak-kanak tersebut malah mengagumi ibunya yang mendidiknya menghafaz al-quran.

Anak-anak saya sering menonton video bacaan Kaisa, alhamdulillah mereka dapat menghafaz beserta gayanya sekali. Besarnya pengaruh Kaisa dalam kalangan kanak-kanak. Memang anak-anak teruja melihat videonya, mudah sahaja mereka meniru bacaan Kaisah. Kebanyakan tips yang saya kutip, para pakar mencadangkan agar anak-anak didedahkan dengan hafazan Al-Quran sedari kecil kerana otak mereka sangat pantas menyerap ketika umur tersebut. Apabila ayat Al-Quran sudah di dada mereka, insyaAllah kefahaman akan datang kemudian.

Namun dalam usaha mendidik anak menghafaz, saya dan suami cuba tekankan bacaan bertajwid kepada anak-anak. Ini kerana, anak-anak akan menghafaz sebiji seperti apa yang didengarnya contohnya  bacaan Kaisa. Kami akan betulkan bacaan yang kurang tepat di samping memperdengarkan rakaman yang saya ambil dari bacaan imam pilihan. Secara tidak langsung membantu membaiki bacaan anak-anak dari semasa ke semasa.

Pantasnya anak-anak membesar, rasanya tidak sempat saya dan suami memberi segala ilmu yang kami kutip untuk mereka. Dengan keterbatasan waktu dan faktor lain, kami curahkan apa yang kami mampu mengikut kelapangan masing-masing. Mudah-mudahan anak-anak membesar dengan acuan iman dan taqwa, tidak kisah apa jua cita-citanya asalkan dalam redhaNya.

No comments:

Post a Comment

DESIGN BY:UMIESUEstudio/2014