Thursday, 11 December 2014

HAJAT YANG TERTANGGUH

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Google







Alhamdulillah memulakan hari ini dengan penuh semangat, bergandingan dengan suami membersihkan bekas-bekas peninggalan serangan angkatan semut semalam. Entah mengapa tiba-tiba rumah kami diserang semut hitam yang sakit lagi gatal bila menggigit itu, beratur panjang anak cucu hingga ke semut bersaiz besar. Mahu pindah rumah barangkali kerana kerap hujan sekarang ini.

Dengan usaha keras, alhamdulillah semut-semut tiada lagi, bekas peninggalannya memang mencomotkan rumah saya. Ada juga plastik minyak masak yang digigit menyebabkan isinya tumpah mengotori dapur. Allahu Akbar.

Kala sibuk menyudahkan kerja rumah, saya mengingatkan suami tarikh hari ini, hajat untuk menunaikan umrah tidak kesampaian. 11 Disember 2014, tarikh yang kami tunggu untuk ke sana, tetapi nama kami sekeluarga antara yang ditangguhkan pemergiannya ke tahun 2015. Tipulah jika tidak sedih, luluh hati namun selalu mengingatkan diri bahawa perancangan Allah lah yang terbaik. Pasti terkandung sejuta hikmah yang tidak terjangkau dek akal saya untuk mengetahuinya. 

Setiap hari saya terus berdoa dan meminta kepada Yang Maha Mendengar agar mengizinkan kami sekeluarga untuk ke tanah suci. Anak-anak juga turut menitipkan doa yang sama. Berbagai lakaran indah di minda anak-anak terucap di bibir mereka tentang 'Kota Mekah', menyerlahkan harapan nan satu itu masih menjadi impian keemasan. Impian kami untuk ke sana terus subur. Ya Allah perkenankanlah doa kami.

No comments:

Post a Comment

DESIGN BY:UMIESUEstudio/2014