Monday, 8 December 2014

USAH TERLEPAS PANDANG

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Google



Hari ini kami pulang ke rumah, setelah beberapa hari di kampung belah suami. Banyak senarai kerja yang menanti untuk dilangsaikan. Pakaian kotor juga boleh tahan banyaknya kerana saya tidak mencuci pakaian selama menetap di kampung. Bukan tidak sempat, tetapi faktor cuaca dan tempat penyidai yang penuh kerana ramai ahli keluarga yang pulang. Ada lagi satu alasan kenapa saya tidak mencuci pakaian di kampung, kerana agak sukar untuk saya membuat pengasingan cucian pakaian bersih dan pakaian yang dicemari dengan najis seperti kebiasaan yang saya lakukan di rumah sendiri.

Anak-anak saya boleh dikira sudah besar, tiada bayi lagi tetapi mengapa saya mengatakan ada pakaian bernajis? Mereka suka bermain najis kah? Oh tidak lah. Sebenarnya najis tersebut ada pada pakaian anak-anak perempuan saya iaitu pada seluar mereka termasuklah milik ibu mereka, he he. Kebiasaannya saya akan asingkan pakaian bersih dan pakaian bernajis untuk cucian mesin dan juga cucian tangan. Pakaian bersih tidak akan saya campurkan bersama pakaian bernajis ketika cucian mesin dan jika pakaian bernajis tersebut sedikit jumlahnya, saya akan cuci dengan tangan sahaja. 

Apa yang saya maksudkan najis itu? Mungkin kalian sudah biasa dengan bab keputihan di kalangan anak perempuan, tetapi bagi saya yang mempunyai anak perempuan yang sedang membesar, ini adalah perkara baru. Pakaian yang bernajis itu harus ditangani dengan baik dan disulam dengan ilmu. Sebelum ini mengurus pakaian sendiri sahaja tidak menjadi masalah dan sudah menjadi kebiasaan. Tahun inilah bermula tanggungjawab baru ini.

Menerusi beberapa perbincangan dengan ahli keluarga yang mempunyai anak perempuan, kami berbincang tentang topik tersebut. Untuk menambah keyakinan, saya ajukan pertanyaan kepada sahabat, Shadiya Abbas yang sering juga membincangkan topik hal kesucian wanita. Menurutnya kekotoran yang ada pada seluar anak-anak perempuan saya itu dikira najis dan harus ditangani seperti najis yang lain. Alhamdulillah bertambah kukuh keyakinan saya dan saya teruskan cara cucian yang saya amalkan.

Saya kira hal najis keputihan ini antara yang penting bagi setiap muslimah, perlu tahu dan tangani dengan betul. Itu belum lagi air mazi dan wadhi. Sedari anak saya masih kecil, saya dedahkan sedikit demi sedikit ilmu ini. Saya ajarkan juga cara mencuci pakaiannya yang bernajis terutama anak yang sulung. Mengajar ia tanggungjawab juga sebenarnya, tanggungjawab pada diri sendiri dan membantu meringankan beban ibunya. Bila dia semakin membesar nanti, insya Allah saya mahu ajarkan pula cara membersihkan diri sebelum solat, agar tidak terbawa najis dalam solat.

Betulkan yang biasa dan biasakan yang betul. Koreksi diri, hiasi peribadi. Berjumpa lagi di entri seterusnya.



No comments:

Post a Comment

DESIGN BY:UMIESUEstudio/2014