Anakanda yang kecil sudah terlena, keletihan yang amat nampaknya. Siang hari tadi kami ke Taman Botani Negara, Shah Alam membawa anak-anak mengenal flora dan fauna. Memang banyak berjalan, ditambah pula cuaca yang panas, terasa juga lelahnya. Lebih dua dekad yang lalu saya pernah ke situ, ketika itu namanya Bukit Cherakah. Tidak banyak yang berubah, namun ada juga beberapa perubahan yang saya lihat.
Perancangan untuk ke situ baru sahaja timbul beberapa hari lalu, setelah rakan saya memberitahu dia baru berkunjung ke sana. Setelah mengumpul maklumat, kami tekad untuk pergi, tambahan pula Disember hingga Februari adalah musim sejuk di Rumah Iklim Sederhana 4 Musim. Anak-anak memang sudah lama teringin merasai musim sejuk dan salji.
Sesampainya di sana, terpampang kain rentang mengatakan musim sejuk di Rumah Iklim akan bermula pada 20 Disember 2014. Allahu Akbar, rasa hampa sekali. Tiada maklumat begitu yang kami perolehi sebelum bertolak, rasa kecewa sangat, anak-anak tentulah tidak dapat terima, budak-budak katakan. Sampai di kaunter, ada notis pula mengatakan Rumah Iklim ditutup untuk persediaan Musim Sejuk, saya rasa tidak puas hati lantas mempersoalkan mengapa tidak ditulis di laman rasminya. Mereka gagal memberikan jawapan.
Kami menghabiskan masa bersiar-siar di taman yang ada di situ, antaranya taman haiwan, taman konservasi herba dan tumbuhan ubatan dan taman hiasan. Kawasan Taman Botani Negara itu sangat luas, meskipun kami menggunakan perkhidmatan bas yang disediakan, namun tetap perlu banyak berjalan di satu-satu taman. Anak-anak sudah keletihan, namun apabila sampai di taman haiwan, mereka teruja melihat binatang yang ada di situ. Mereka memberi rusa makan, bercakap-cakap dengan burung kakak tua dan asyik melihat gelagat binatang yang lain.
Alhamdulillah kami ada membawa bekalan makanan dan minuman, kala keletihan berjalan menyelusuri taman-taman di situ, kami berhenti makan dan berehat sebentar. Ada banyak tempat duduk dan pondok rehat disediakan, bonus untuk pengunjung ke situ. Sambil duduk-duduk berehat, terdengar bunyi burung dan cengkerik, menghayati alam semulajadi ciptaan Ilahi, indah sekali. Ditambah pula desiran air sungai yang mengalir, sangat jernih airnya, merawat hati yang sedang berkocak.
Matahari mula meninggi, kami mengambil keputusan untuk pulang sahaja tanpa menghabiskan jelajah ke semua taman dan kolam mandi. Letih. Usai makan, kami solat di Masjid Negeri Shah Alam dan terus pulang.

No comments:
Post a Comment