Saturday, 7 February 2015

BIAR SEDIKIT TETAPI KONSISTEN

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Google




Beberapa minggu yang lalu ketika saya duduk santai bersama si kecil Hariz, saya mengalunkan surah An-nas, secara spontan anak saya menyambungnya sehingga habis. Allahu Akbar, terkejutnya saya. Pantas saya teringat kisah-kisah para ibu yang berkongsi pengalaman mengajar anak menghafaz sedari usia kecil. Memang benar apa yang mereka kongsikan. Berdasarkan pengalaman mereka lah saya cuba praktikkan kepada Hariz yang berusia 2 tahun.

Saya pernah menyesali waktu yang telah berlalu kepada 2 anak yang awal, saya hanya memulakan usaha untuk mengajar mereka menghafaz ayat quran ketika umur 4 tahun. Mengajar Iqra', mengajar ABC sudah dimulakan agak awal, tetapi menghafaz ayat-ayat quran terlambat sedikit. Tatkala anak-anak rakan sudah mampu menghafaz surah-surah panjang saya bertambah terkilan. Tetapi pesanan dari teman, kita belum terlambat!

Penghujung tahun 2014 saya sering membaca Surah An-nas ketika bersama Hariz. Meskipun saya berada di rumah sepanjang masa, tetapi saya juga bekerja, masa agak terhad untuk sentiasa mengajarnya, apatahlagi masa yang ada harus mengajar 2 orang kakaknya. Jadi waktu memakaikan pampers dan pakaian, waktu sebelum tidur dan jika ada waktu terluang saya gunakan untuk membaca surah tersebut. Memandangkan Hariz sudah hafaz Surah Al-Fatihah, jadi saya cuba dahulu dengan An-nas. Memang tiada sebarang reaksi darinya dan dia langsung tidak berminat dengan apa yang saya baca. Tetapi saya tetap melakukan rutin itu setiap hari. Akhirnya, beberapa minggu lalu saya merasai hasilnya, alhamdulillah. Kini saya bertukar ke surah baru dan Hariz yang berumur 2 tahun lebih sudah boleh menyambung ayat-ayat yang saya baca.

Otak kanak-kanak umpama span, sangat cepat menyerap dan semakin awal dirangsang semakin bagus untuk perkembangannya. Ketika usia kecil jugalah mudah kita mendidiknya kerana dia belum pandai membantah dan menolak, jika kena teknik dan cara yang sesuai proses belajar dan menghafaz akan berjalan dengan baik.

Antara tips yang saya gunakan mengajar Hariz menghafaz ialah:

1- Membaca dan terus membaca bila ada masa berdua dengannya
2- Biar sedikit tetapi konsisten
3- Memasang surah-surah pilihan di rumah
4- Merakam bacaannya dan menunjukkan video bacaan agar dia lebih seronok
5- Mengajak suami turut serta dalam usaha ini
6- Mengajak kakak-kakak Hariz membaca bersama, jadi aktiviti adik-beradik yang menarik (sebelum ini Hariz sudah boleh membaca Surah At-Takwir bersama kakak-kakaknya, penangan video Kaisa Ulya dari Indonesia)

Semoga usaha kecil ini sentiasa mendapat redha dan keberkatan dari Allah.

No comments:

Post a Comment

DESIGN BY:UMIESUEstudio/2014