Tuesday, 23 December 2014

BISNES ONLINE? MULAKAN APA YANG ADA

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Arkib ABDR


Saban hari kita dapat lihat kemunculan kedai-kedai online seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Masing-masing gigih dan rajin berusaha melalui perniagaan, sedikit sebanyak dapat juga menambah nilai dalam kehidupan mereka. Rata-rata sebahagian yang lain belum memiliki perniagaan dan teringin ingin memulakannya tetapi tidak tahu bagaimana nak mulakan. Singgah juga di telinga saya niat mereka ingin memiliki kedai online seperti fanpage dan blog, tetapi tidak tahu cara.

Untuk suri yang mula mencari peluang dan ruang, kami akan latih dan bantu kalian bermula, walaupun kalian zero basic. Sudah ada ramai protege ABDR yang mendaftar zero basic, tapi mereka rajin dan semangat mahu belajar dan buat. Akhirnya mereka berjaya untuk hasilkan blog sendiri. Juga sekarang sangat konsisten menulis di blog. Mudah untuk bakal pembaca mereka jejak di google. Tidak perlu keluarkan modal besar-besar dahulu, maksimakan periklanan percuma, termasuklah media, blog dan facebook. Memulakan dengan tanpa modal. Jika ada, mulakan dengan modal minima.

Kami di Akademi Bekerja Di Rumah dapat membantu para usahawan memulakan perniagaan dengan 3 cara, 

1- Kelas online/offline ABDR

Boleh sertai mana-mana kelas online dan offline.
1. Kelas asas blog dan penulisan.
-Matlamatnya adalah menulis secara konsisten.
-Membina pembaca dan bina pelanggan.


2. Kelas asas mula bisnes online.
-Kelas ini sesuai untuk kalian zero bisnes online.

2- Tempahan membuat kedai online

Boleh upah sahaja, kami tolong siapkan dalam tempoh 3-5 hari. Hanya perlu berikan keterangan lengkap untuk kami siapkan tapak kedai kalian. Yang best dapat bonus beriklan di soho.

3- Mendapatkan tips-tips hebat hanya melalui ebook

- Tips urus masa, urus kerja, urus emosi
- Idea bisnes bagi yang masih mencari produk untuk dijual
- Tips usahawan dan peniaga online
- Belajar buat kedai online sendiri
- Panduan suri bekerja dan sambil berniaga









Untuk pertanyaan dan pendaftaran, boleh hubungi saya melalui:

Facebook:
Norhafizah Abd Hadi
SMS/WhatsApp: 019-3991809
Email: pn.norhafizahabdhadi@gmail.com     


Sunday, 21 December 2014

UKHUWAH DARI BISNES

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Google dan koleksi peribadi




Berhari minggu di rumah mertua, suasana seperti biasa, sibuk sepanjang hari. Ini kerana mertua dan adik ipar menguruskan kedai makan yang terletak di hadapan rumah. Sepanjang cuti sekolah sambutan memang menggalakkan, alhamdulillah. Dengan kedudukan kedai yang berada di tepi jalan utama, memudahkan pelanggan singgah terutama yang sedang musafir. Hari minggu begini keadaan lebih sibuk, walaupun dengan bantuan beberapa tenaga pekerja kadangkala seperti tidak cukup tangan. Suami saya turun padang hari ini kebetulan ada kelapangan.

Saya dan anak-anak di dalam rumah dengan aktiviti masing-masing. Saya juga perlu memantau anak-anak agar tidak keluar masuk ke kedai dikhuatiri mengganggu perjalanan operasi kedai. Sambil itu saya uruskan kerja-kerja online saya seperti biasa. 

Menjelang tengahari hujan turun dengan lebatnya, saya menyambung kerja menerusi telefon pintar sahaja. Tiba-tiba ada mesej di aplikasi WhatsApp bertanya tentang Baju Kurung Moden Raisya yang sedang berlangsung harga istimewa. Saya layan sebaiknya. Semakin panjang perbincangan dengannya, saya dapat agak pelanggan tersebut mungkin dari Sabah kerana dari loghatnya, tetapi saya diamkan sahaja, sehinggalah beliau memberi nama dan alamat, sah lah tekaan saya. 

Apabila tiba waktu sesuai, saya cuba mencungkil latar belakang pelanggan tersebut, dengan respon baik darinya alhamdulillah kami semakin mesra. Apabila saya menyebut makanan tradisi bangsanya, beliau sangat teruja kerana tahu banyak perkara berkaitan Sabah dan bangsanya. Masakan saya boleh lupa, lama juga saya dan keluarga menetap di Tawau, Sabah sebelum bermastautin di tempat sekarang.

Ini bukanlah kali pertama saya mendapat sahabat baru di kalangan pelanggan. Mungkin ada keserasian antara diri saya dan mereka yang terus membuahkan ukhuwah. Tidak rugi memanjangkan hubungan dengan pelanggan kerana mereka jugalah tonggak bisnes kita. Tanpa pelanggan siapalah kita.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Jualan Baju Kurung Moden Raisya masih berlangsung, jemput singgah di page Butik Al-Izzah dan blog Butik Al-Izzah untuk melihat pilihan yang ada. Bertindak sekarang kerana stok adalah terhad. Rebut peluang harga runtuh ini sementara stok masih ada.



Thursday, 11 December 2014

HAJAT YANG TERTANGGUH

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Google







Alhamdulillah memulakan hari ini dengan penuh semangat, bergandingan dengan suami membersihkan bekas-bekas peninggalan serangan angkatan semut semalam. Entah mengapa tiba-tiba rumah kami diserang semut hitam yang sakit lagi gatal bila menggigit itu, beratur panjang anak cucu hingga ke semut bersaiz besar. Mahu pindah rumah barangkali kerana kerap hujan sekarang ini.

Dengan usaha keras, alhamdulillah semut-semut tiada lagi, bekas peninggalannya memang mencomotkan rumah saya. Ada juga plastik minyak masak yang digigit menyebabkan isinya tumpah mengotori dapur. Allahu Akbar.

Kala sibuk menyudahkan kerja rumah, saya mengingatkan suami tarikh hari ini, hajat untuk menunaikan umrah tidak kesampaian. 11 Disember 2014, tarikh yang kami tunggu untuk ke sana, tetapi nama kami sekeluarga antara yang ditangguhkan pemergiannya ke tahun 2015. Tipulah jika tidak sedih, luluh hati namun selalu mengingatkan diri bahawa perancangan Allah lah yang terbaik. Pasti terkandung sejuta hikmah yang tidak terjangkau dek akal saya untuk mengetahuinya. 

Setiap hari saya terus berdoa dan meminta kepada Yang Maha Mendengar agar mengizinkan kami sekeluarga untuk ke tanah suci. Anak-anak juga turut menitipkan doa yang sama. Berbagai lakaran indah di minda anak-anak terucap di bibir mereka tentang 'Kota Mekah', menyerlahkan harapan nan satu itu masih menjadi impian keemasan. Impian kami untuk ke sana terus subur. Ya Allah perkenankanlah doa kami.

Wednesday, 10 December 2014

HATI-HATI BERDOA

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Galeri WhatsApp

Baru-baru ini saya dan rakan-rakan saling bertukar cerita perkembangan terkini menerusi aplikasi WhatsApp. Salah seorang dari kalangan kami sedang hamil 8 bulan dan memberitahu kepala bayinya masih belum di bawah, bahkan kedudukannya melintang. Terserlah keresahan dan kerisauan dalam setiap bait katanya.

Saya ada pengalaman sepertinya ketika hamil anak kedua dan ketiga. Lantas saya kongsikan amalan yang dahulunya pernah saya praktikkan. Antaranya yang paling saya ingat ialah memanjangkan tempoh bersujud selain banyakkan berdoa dan bersolat. Kerapkali bercakap-cakap dengan bayi dalam kandungan agar dia mendengar pesanan saya dengan harapan mudah-mudahan segalanya dimudahkan.

Beberapa hari berlalu, hari ini saya terima lampiran doa bagi yang menghadapi masalah kandungan songsang atau seumpamanya. Saya membacanya berulang kali, seperti ada yang tidak kena. Ada kesilapan pada barisnya menyebabkan perkataan tersebut berubah maksudnya. Begitulah kalimah Bahasa Arab, walaupun sama huruf dan perkataan tetapi berbeza maksudnya hanya kerana barisnya.

Dalam perkembangan teknologi masa kini, budaya memanjang-manjangkan pesanan kepada lebih ramai orang agak membimbangkan. Niatnya betul untuk berkongsi maklumat, namun mesej yang disampaikan boleh jadi satu maklumat yang tidak betul dan tidak sahih. Ada baiknya kaji dahulu kesahihan sesuatu maklumat dengan merujuk kepada pakar atau mengambil pendekatan untuk tidak memanjangkannya kepada orang lain.



Dalam doa yang saya dapat ini, apa yang dapat disimpulkan, doa dalam teks bahasa arab tidak selari maksudnya dengan terjemahan bahasa melayu. Dalam lafaz bahasa arabnya, seperti mengatakan Allah yang telah diterbalikkan dan pada satu sisi maksud yang lain seolah-olah bukan berdoa kepada Allah yang Maha Membalikkan tetapi memohon kepada yang telah dibalikkan. Jadi kepada siapakah doa itu dipohon? Seperti meminta kepada selain yang Maha Kuasa. Nauzubillah. Bentuk lafaz meminta dalam doa ini juga kurang tepat kerana menggunakan kata kerja sudah berlaku (fiil madhi). Biasanya kita gunakan kata suruh/ perintah (fiil 'amr) dalam doa yang kita panjatkan. 

Ejaan dan susunan huruf adalah sama, berbeza hanyalah baris. Apabila berubah baris maka berubahlah makna. Cadangan saya sebaiknya dibaca,
 

اللهم يا محوِّلَ الأحوالِ حوِّلْ، اللهم يا مقلِّبَ القلوبِ قلِّبْ


Namun, jika doa dalam teks ini dibaca dalam terjemahan bahasa melayu, hajat dan permintaan orang yang berdoa lebih sampai maksudnya berbanding teks dalam bahasa arab yang agak kacau maksudnya.

Berhati-hati dengan doa yang dibaca, berhati-hati juga apa yang kita war-warkan, maklumat akan menjadi ilmu bermanfaat jika ianya betul dan sahih. Sama-sama kita amalkan, biasakan yang betulkan, betulkan yang biasa.

*Saya buka ruang kepada yang ingin melontarkan sebarang komen kerana pandangan saya ini hanyalah ulasan dari sekilas pandang terhadap doa yang saya terima. Apa jua pandangan dan komen menjadikan ianya lebih menarik dan ilmiah. Wallahua'lam.

Tuesday, 9 December 2014

KAMI DAN FLORA FAUNA

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi






Anakanda yang kecil sudah terlena, keletihan yang amat nampaknya. Siang hari tadi kami ke Taman Botani Negara, Shah Alam membawa anak-anak mengenal flora dan fauna. Memang banyak berjalan, ditambah pula cuaca yang panas, terasa juga lelahnya. Lebih dua dekad yang lalu saya pernah ke situ, ketika itu namanya Bukit Cherakah. Tidak banyak yang berubah, namun ada juga beberapa perubahan yang saya lihat.

Perancangan untuk ke situ baru sahaja timbul beberapa hari lalu, setelah rakan saya memberitahu dia baru berkunjung ke sana. Setelah mengumpul maklumat, kami tekad untuk pergi, tambahan pula Disember hingga Februari adalah musim sejuk di Rumah Iklim Sederhana 4 Musim. Anak-anak memang sudah lama teringin merasai musim sejuk dan salji. 

Sesampainya di sana, terpampang kain rentang mengatakan musim sejuk di Rumah Iklim akan bermula pada 20 Disember 2014. Allahu Akbar, rasa hampa sekali. Tiada maklumat begitu yang kami perolehi sebelum bertolak, rasa kecewa sangat, anak-anak tentulah tidak dapat terima, budak-budak katakan. Sampai di kaunter, ada notis pula mengatakan Rumah Iklim ditutup untuk persediaan Musim Sejuk, saya rasa tidak puas hati lantas mempersoalkan mengapa tidak ditulis di laman rasminya. Mereka gagal memberikan jawapan.

Kami menghabiskan masa bersiar-siar di taman yang ada di situ, antaranya taman haiwan, taman konservasi herba dan tumbuhan ubatan dan taman hiasan. Kawasan Taman Botani Negara itu sangat luas, meskipun kami menggunakan perkhidmatan bas yang disediakan, namun tetap perlu banyak berjalan di satu-satu taman. Anak-anak sudah keletihan, namun apabila sampai di taman haiwan, mereka teruja melihat binatang yang ada di situ. Mereka memberi rusa makan, bercakap-cakap dengan burung kakak tua dan asyik melihat gelagat binatang yang lain.

Alhamdulillah kami ada membawa bekalan makanan dan minuman, kala keletihan berjalan menyelusuri taman-taman di situ, kami berhenti makan dan berehat sebentar. Ada banyak tempat duduk dan pondok rehat disediakan, bonus untuk pengunjung ke situ. Sambil duduk-duduk berehat, terdengar bunyi burung dan cengkerik, menghayati alam semulajadi ciptaan Ilahi, indah sekali. Ditambah pula desiran air sungai yang mengalir, sangat jernih airnya, merawat hati yang sedang berkocak.

Matahari mula meninggi, kami mengambil keputusan untuk pulang sahaja tanpa menghabiskan jelajah ke semua taman dan kolam mandi. Letih. Usai makan, kami solat di Masjid Negeri Shah Alam dan terus pulang.

Monday, 8 December 2014

USAH TERLEPAS PANDANG

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Google



Hari ini kami pulang ke rumah, setelah beberapa hari di kampung belah suami. Banyak senarai kerja yang menanti untuk dilangsaikan. Pakaian kotor juga boleh tahan banyaknya kerana saya tidak mencuci pakaian selama menetap di kampung. Bukan tidak sempat, tetapi faktor cuaca dan tempat penyidai yang penuh kerana ramai ahli keluarga yang pulang. Ada lagi satu alasan kenapa saya tidak mencuci pakaian di kampung, kerana agak sukar untuk saya membuat pengasingan cucian pakaian bersih dan pakaian yang dicemari dengan najis seperti kebiasaan yang saya lakukan di rumah sendiri.

Anak-anak saya boleh dikira sudah besar, tiada bayi lagi tetapi mengapa saya mengatakan ada pakaian bernajis? Mereka suka bermain najis kah? Oh tidak lah. Sebenarnya najis tersebut ada pada pakaian anak-anak perempuan saya iaitu pada seluar mereka termasuklah milik ibu mereka, he he. Kebiasaannya saya akan asingkan pakaian bersih dan pakaian bernajis untuk cucian mesin dan juga cucian tangan. Pakaian bersih tidak akan saya campurkan bersama pakaian bernajis ketika cucian mesin dan jika pakaian bernajis tersebut sedikit jumlahnya, saya akan cuci dengan tangan sahaja. 

Apa yang saya maksudkan najis itu? Mungkin kalian sudah biasa dengan bab keputihan di kalangan anak perempuan, tetapi bagi saya yang mempunyai anak perempuan yang sedang membesar, ini adalah perkara baru. Pakaian yang bernajis itu harus ditangani dengan baik dan disulam dengan ilmu. Sebelum ini mengurus pakaian sendiri sahaja tidak menjadi masalah dan sudah menjadi kebiasaan. Tahun inilah bermula tanggungjawab baru ini.

Menerusi beberapa perbincangan dengan ahli keluarga yang mempunyai anak perempuan, kami berbincang tentang topik tersebut. Untuk menambah keyakinan, saya ajukan pertanyaan kepada sahabat, Shadiya Abbas yang sering juga membincangkan topik hal kesucian wanita. Menurutnya kekotoran yang ada pada seluar anak-anak perempuan saya itu dikira najis dan harus ditangani seperti najis yang lain. Alhamdulillah bertambah kukuh keyakinan saya dan saya teruskan cara cucian yang saya amalkan.

Saya kira hal najis keputihan ini antara yang penting bagi setiap muslimah, perlu tahu dan tangani dengan betul. Itu belum lagi air mazi dan wadhi. Sedari anak saya masih kecil, saya dedahkan sedikit demi sedikit ilmu ini. Saya ajarkan juga cara mencuci pakaiannya yang bernajis terutama anak yang sulung. Mengajar ia tanggungjawab juga sebenarnya, tanggungjawab pada diri sendiri dan membantu meringankan beban ibunya. Bila dia semakin membesar nanti, insya Allah saya mahu ajarkan pula cara membersihkan diri sebelum solat, agar tidak terbawa najis dalam solat.

Betulkan yang biasa dan biasakan yang betul. Koreksi diri, hiasi peribadi. Berjumpa lagi di entri seterusnya.



Wednesday, 3 December 2014

PELUANG KEEMASAN BAGI PENTERJEMAH

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Google




Assalamualaikum,

Lama sudah jari-jari ini tidak menari di keyboard, talian internet sungguh terganggu sepanjang awal minggu cuti sekolah. Laptop pula suami tidak berenggang dari encik suami kerana banyak tugasan yang perlu disiapkan. Memang jadi pekasam juga lah blog saya, terbiar tanpa entri baru.

Minggu lalu saya ada terbaca berita terkini tentang perancangan Kerajaan Negeri Selangor di bawah pentadbiran Yang Amat Berhormat Mohamed Azmin Ali. Antara perancangan tersebut ada satu berita yang menarik minat saya, iaitu berkenaan program penterjemahan karya antarabangsa. Sebagai seorang penterjemah sambilan, tentulah rasa sedikit teruja.

Berdasarkan makumat yang diberi, program tersebut akan dikawal selia oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), lantas saya menghubungi pihak berkenaan. Rasa bersemangat untuk mengetahui maklumat lanjut. Memandangkan perancangan tersebut baru sahaja diwarwarkan sehari sebelum itu, belum ada tindakan lanjut dari pihak PPAS sendiri. Saya diminta menghubungi semula pada bulan ini (Disember).

Bagi mereka yang mempunyai kebolehan dalam penterjemahan, jom sama-sama kita rebut peluang keemasan ini!

Tuesday, 2 December 2014

BELAJAR BISNES

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Arkib ABDR








Dropship memang sangat sesuai untuk yang baru mula nak belajar berbisnes. Tak perlu gah dengan lambakan stok, tapi belajar dulu cara dan kaedah yang betul berurus niaga, berinteraksi dengan pelanggan, cara ambil order, cara transaksi bayaran.

Saya mengalu-alukan mereka yang mahu mula belajar berbisnes, sertai dropship ABDR, kami tawarkan produk sambil belajar menggunakan salah satu medium pemasaran yang sangat efektif. Belajar menggunakan blog untuk mempromosi produk.

Mereka yang serius mahu mula bisnes, boleh sertai kumpulan dropship bersama akademi bekerja di rumah. Kami buka pendaftaran untuk dropship ABDR:

1.dropship makanan sunnah dan produk makanan
2. dropship makanan sunnah dan telekung solat
3.dropship makanan sunnah dan produk islamik

Kami terima pendaftaran setiap hari.
Mula daftar, belajar hasilkan kedai online dan berjualan.

 Untuk pertanyaan dan pendaftaran, boleh hubungi saya melalui:

Facebook:
Norhafizah Abd Hadi
SMS/WhatsApp: 019-3991809
Email: pn.norhafizahabdhadi@gmail.com     
DESIGN BY:UMIESUEstudio/2014