Tuesday 31 March 2015

ALLAH SUMBER KEKUATAN - ZIKIR AMALAN PARA SURI

Teks : Norhafizah Abd Hadi 

Hari ini masih dapat melakukan aktiviti seperti biasa, dapat mengurus tugas dan rumahtangga, syukur Ya Allah atas pinjaman nikmat ini. Kami sekeluarga juga sudah beransur pulih dari masalah kesihatan, cuma Nuhaa sahaja yang masih batuk. 

Saya teruskan kayuhan tugas terjemahan yang ada di tangan. Tugas kali ini berkisar tentang peribadi Nabi Muhammad SAW, saya dapati banyak hadis, ayat Al-quran, syair serta rujukan lain untuk menyokong hujah-hujah dalam kitab yang harus diterjemahkan. Kerja seumpama ini membuatkan saya banyak membuat rujukan dan banyak membaca dari banyak sumber. Alhamdulillah, saya memang suka bidang terjemahan kerana setiap tugasan yang diterima adalah berbeza dan sentiasa memberi ilmu baru kepada saya. Nak harapkan saya membaca sendiri atau merujuk itu ini tanpa panduan mungkin tidak seberapa.

Antara yang menarik dalam tugasan kali ini satu hadis ketika Fatimah puteri Rasulullah SAW meminta pembantu dari ayahnya untuk membantunya menguruskan rumahtangga. Fatimah sangat penat melakukan kerja seorang diri malahan tangannya luka-luka kerana memproses gandum untuk seisi keluarga. Namun Baginda SAW tidak memenuhi hasrat puterinya malah diajarkan satu amalan yang lebih memberi kebaikan kepada Fatimah di dunia dan akhirat. Kata Baginda kepada Fatimah dan Ali “Maukah kutunjukkan kalian kepada sesuatu yang lebih baik dari apa yang kalian minta?” tanya beliau. “Jika kalian berbaring di atas tempat tidur, maka ucapkanlah takbir (Allahu akbar) 34 kali, tahmid (alhamdulillah) 33 kali, dan tasbih (subhanallah) 33 kali. Itulah yang lebih baik bagi kalian daripada pembantu yang kalian minta.”  (HR. Bukhari dan Muslim).

Kupasan dari hadis ini melahirkan beberapa pandangan dari beberapa sarjana Islam, antara pandangan tersebut ialah: 
Menurut al-Hafizh Badruddien al-‘Aini, alasannya ialah wirid berkaitan dengan akhirat, sedangkan pembantu berkaitan dengan dunia. Dan tentunya, akhirat lebih kekal dan lebih afdhal dari dunia. Atau, boleh jadi maksudnya ialah bahawa dengan merutinkan bacaan wirid tadi, keduanya akan mendapat kekuatan lebih besar untuk melakukan berbagai pekerjaan, melebihi kekuatan seorang pembantu.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah juga berpendapat sama seperti di atas. Menurut beliau, siapa yang rajin membaca wirid tadi di waktu malam, niscaya tidak akan kelelahan. Alasannya kerana Fatimah mengeluh kepenatan kepada Rasulullah, lalu Rasulullah mengarahkannya agar membaca wirid tadi.

Akan tetapi, menurut al-Hafizh Ibnu Hajar, penafsirannya tidak harus seperti itu. Hadis ini tidak bermaksud bahawa rasa lelah pasti hilang bila seseorang mengamalkannya. Namun boleh jadi maksudnya ialah bila seseorang sering mengamalkannya, maka ia tidak akan terkena mudharat walaupun banyak bekerja. Pekerjaan itu juga takkan terasa berat walaupun ia merasa lelah kerana mengerjakannya.

Bila membaca beberapa sumber membicarakan hadis ini, saya rasa diri ini juga seperti Saidatina Fatimah, sangat memerlukan pembantu. Sering rasa tidak cukup tangan dan masa menguruskan rumahtangga dan kerja dari rumah sebagai WAHM. Sungguh, hadis ini membuka pintu hati saya untuk lebih konsisten mengamalkan zikir tersebut setiap hari. Ayuh para ibu, suri sekalian jom kita amalkan. Sesungguhnya kekuatan itu akan datang dari Allah insyaAllah.



No comments:

Post a Comment

DESIGN BY:UMIESUEstudio/2014