Saturday, 28 September 2013

PENGENALAN




Assalamualaikum, 


Salam ukhwah harum mewangi buat pembaca semua,


Sebelum saya melangkah lebih jauh lagi, izinkan saya perkenalkan diri yang dhaif ini. Nama diberi Norhafizah Binti Abd Hadi. Dilahirkan dalam keluarga bahagia 9 adik beradik, berkampung di Tanjong Karang, Selangor. Mendapat pendidikan formal sehingga peringkat Ijazah Sarjana Linguistik Arab di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia selepas tamat Ijazah Sarjana Muda di universiti yang sama. 


Bertemu jodoh dengan seorang guru telah menjadi titik permulaan episod baru dalam hidup saya. Melayari kehidupan baru di tempat orang, jauh dari saudara-mara dan rencah kehidupan yang sedikit berbeza menjadi pengalaman yang penuh bermakna. Memulakan kerjaya sebagai surirumah bukanlah pilihan di hati saya tetapi atas pelbagai faktor ketika itu menjadikan saya akur dengan keadaan. Sepanjang tempoh berkelana, saya dan suami terlibat dalam perniagaan kecil-kecilan seperti menjual makanan, minuman, kitab, kain pasang, makanan sunnah dan lain-lain. Pengalaman kecil ini memberi saya sedikit ilmu dalam perniagaan.

Saya amat meminati bidang terjemahan dan kini bergelar penterjemah sambilan di samping meneroka bidang lain untuk mencuba sesuatu yang baru. Saya juga suka menjahit dan memasak, kedua-duanya memberi kepuasan dalam diri saya. Dalam apa jua yang saya lakukan, belum mencapai tahap pakar lagi, saya suka belajar, belajar dan terus belajar. Ada kalanya ilmu itu saya cungkil dari bahan bacaan pelbagai genre seperti buku motivasi, sains dan agama, kemasyarakatan, majalah, buku ilmiah, biografi dan keibubapaan.


Kini sudah beberapa tahun saya memegang jawatan surirumah dan jawatan ini semakin dekat di hati saya. Meskipun saya dan keluarga sudah kembali ke negeri kelahiran sendiri, saya masih selesa dengan jawatan tersebut. Benarlah kata orang, ‘belum cuba belum tahu’. Saya dapat menjaga, mendidik dan membesarkan anak-anak dengan acuan sendiri. Keperluan suami dan anak terjaga dan antara yang menarik, saya dapat mengikuti suami ke mana sahaja bahkan ke tempat kursus. 


Kadangkala saya seperti Mat Jenin, banyak angan-angannya tetapi kurang ilmu untuk menguruskan angan-angan itu. Saya bersyukur bertemu Puan Masayu Ahmad walaupun hanya di alam maya, tetapi ilmunya dapat diserap dan dirasa. Dengan bimbingan beliau dan rakan-rakan lain, saya lebih fokus dan nampak hala tuju. Saya berharap dan berdoa semoga saya dapat menjadi insan yang sentiasa memberi manfaat kepada orang lain dan dapat memberi yang terbaik kepada keluarga tercinta. Hidup hanya sekali, biarlah bererti.


Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.
DESIGN BY:UMIESUEstudio/2014