Friday, 24 January 2014

PERGI TAK KEMBALI

Teks      : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Google
 
 
 
 
 
 
Pagi ini aktiviti harian berjalan seperti biasa, namun agak lambat kerana empunya diri agak keletihan pulang lewat malam tadi dari Slim River, Perak. Mengantuk dan letih bersatu.
 
Namun perasaan itu hilang serta merta tatkala menerima khabar pakcik sudah pergi selama-lamanya di katil Hospital Slim River. Lantas kami bersiap untuk menziarahi jenazahnya di Hulu Selangor. Sepanjang perjalanan kami ajari anak-anak berdoa untuk jenazah. Kami berdoa bersama-sama. 

Alhamdulillah segala urusan Allah mudahkan, jenazah pakcik selamat disemadikan, semoga rohnya tergolong bersama para Solihin. Menjelang petang kami meminta izin untuk pulang, tidak dapat berlama di situ kerana ada temujanji di malam hari bersama pelajar-pelajar. 

Hati mencongak-congak usia diri ini, amalan masih belum banyak. Namun ajal terasa semakin mendekat. Ya Allah, bantulah kami dalam mengingatiMu, bersyukur kepadaMu dan memperbaiki ibadah kami  kepada-Mu, amin.

Thursday, 23 January 2014

PAKCIK OH PAKCIK

Teks     : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi






Hari ini kami adik-beradik berborak seperti biasa di aplikasi 'WhattsApp', tiba-tiba salah seorang kakak memberitahu pakcik kami berada di hospital kerana jatuh di tangga rumahnya. Keadaannya dikhabarkan agak membimbangkan. Pastinya saya risau selepas mendengar berita tersebut.

Kami semua mengikuti setiap perkembangan pakcik, hati meronta ingin melihat keadaannya tetapi keadaan belum mengizinkan. Dalam perancangan bersama beberapa adik-beradik, kami akan melawatnya pada hari Sabtu, insyaAllah. Namun berita yang diterima mengatakan pakcik semakin kritikal dan menurut doktor mungkin akan pergi bila-bila masa sahaja. 

Petang itu juga suami mengajak ke Hospital Slim River, agak jauh juga perjalanan, kami sampai di sana ketika waktu maghrib. Alhamdulillah dapat melihat keadaan pakcik dan mendoakan yang terbaik untuknya. Sempat juga saya bisikkan zikrullah dan mohon ampun darinya walaupun dia tidak sedarkan diri ketika itu. 

Usai melawat pakcik, kami pulang dalam keharuan. Sedih melihat keadaannya, namun doa tidak putus untuknya. Hari ini dia diuji, nasib kita belum tentu lagi. Astaghfirullah.

Wednesday, 22 January 2014

PENGEMIS DOA

Teks      : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Google





Assalamualaikum semua,

Sedar tak sedar Januari sudah menghampiri ke penghujungnya. Hampir sebulan jugalah saya dan suami menyusun hidup baru di tahun 2014 ini. Setiap hari sentiasa menambah baik kekurangan yang ada dan membaiki setiap cela. 

Jadual harian saya turut berubah pada tahun ini, sedaya upaya saya mengurus cabaran yang datang dengan rasa positif. Kadangkala lelah juga ditimpa pelbagai perasaan namun cuba agar tidak rebah. Perlahan-lahan mengumpul kekuatan. Memang tidak mudah, itulah tarbiah dari Allah.

Sesungguhnya kita hanyalah hambaNya, pasti diuji, bukan kerana benciNya tetapi kerana kasihNya. Maka kerana itulah Allah berfirman:

Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
(Al-Ankabut: 2-3)

Ya Allah, kuatkanlah semangatku.

Tuesday, 21 January 2014

MAKANAN KETURUNAN SAYA :-)

Teks     : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi dan Google

Assalamualaikum semua,

Sudah setahun saya dan keluarga berpindah ke selangor, dalam waktu yang berlalu itu dapur saya tidak seproduktif seperti ketika menetap di bumi Sabah. Anak-anak juga meluahkan rasa amat rindukan air tangan ibu mereka seperti dahulu. Bukan saya tidak masak atau menjamu mereka dengan air tangan saya, cuma tidak setanding dahulu. Jika dahulu, pantang teringin, tersebut, teringat dan macam-macam ter lagi memang akan jadilah hidangan tersebut depan mata. Tidak kira kuih, kek, cendol, makanan ringan hinggalah ke makanan berat. Maklumlah tinggal di perantauan, sering teringin makanan di tempat sendiri.

Hari ini saya rasa bersemangat sekali membuat sambal pecal. Pecal adalah sejenis makanan orang Jawa, dan semestinya makanan kegemaran saya sekeluarga. Sudah lama juga saya tidak membuat sendiri sambal ini. 

Sambal pecal dalam proses pembikinan  





 
Beginilah hasilnya


Bahan-bahan yang saya gunakan ialah :
Kacang tanah
Cili kering
Cekur
Bawang merah, bawang putih
Daun limau purut
Asam jawa
Garam 
Gula 

Selain digunakan dalam menu pecal, sambal ini juga boleh dibuat cicah bersama cekodok, lauk pauk dan sebagainya mengikut selera masing-masing. Sambal ini banyak dijual di kedai atau di pasar, mudah sahaja, hanya bancuh dengan air ketika mahu disajikan.


Pecal


Bila sudah ada sambalnya, tidak sabar pula hendak menyediakan menu pecal di rumah. Insya Allah jika berkesempatan, menu kami sekeluarga esok ialah pecal. Selamat mencuba ya semua.

Saturday, 11 January 2014

ANAK VS MAINAN

Teks      : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi

Khemah lama yang baru dikeluarkan dari simpanan
Bermain pasir ajaib dalam kolam mandi

Assalamualaikum semua,
Alhamdulillah, hari Jumaat yang berkat datang lagi. Rasa pantasnya masa berlalu, tidak sedar sudah masuk penghulu hari sekali lagi. Sejuk dan redup sahaja hari ini, tambahan pula hujan sekejap-sekejap membasahi bumi. Nyaman sungguh rasanya.

Anak sulung sudah ke sekolah, manakala dua orang lagi masih enak diulit mimpi, cuaca begini memang bahagia sangat tidur. Saya ambil peluang menyiapkan kerja sementara belum ada 'gangguan'. Antara tugas wajib ialah mengutip mainan di seluruh ruang. Hero kecil saya memang juara membawa mainan ke serata kawasan.

Saya perasan anak-anak saya biasa akan jemu dengan mainan mereka. Hendak belikan selalu bukanlah pilihan saya. Saya cuba amalkan beberapa cara agar mereka tetap tertarik dengan permainan mereka:

*   Menyimpan permainan dalam beberapa bekas berasingan. Keluarkan setiap bekas mengikut pusingan satu persatu. Selain memudahkan ibu untuk mengemas, anak juga akan lebih tertarik kerana terasa seperti sudah lama tidak bermain permainan tersebut.

*  Menukar persekitaran tempat permainan mereka. Misalnya menggunakan tikar evamatik, khemah atau pondok-pondok. Kanak-kanak akan berimaginasi dengan suasana baru walaupun dengan permainan lama mereka.

*  Mencuci atau membersihkan permainan. Anak rasa teruja apabila melihat permainan mereka dibersihkan dan akan lebih menghargai. 

*  Pelbagaikan cara bermain mengikut kesesuaian. Misalnya sejenis permainan boleh digunakan untuk bermain pasir pantai, adakalanya untuk bermain masak-masak, manakala permainan lain boleh digunakan untuk menambah keseronokan anak di kamar mandi. 

Banyak cara boleh digunakan namun ini hanya sebahagian sahaja sekadar perkongsian. Anak-anak kita sangat kreatif dalam segala hal, namun itu menjadikan kita lebih kreatif untuk menghadapi setiap situasi. Subhanallah indahnya aturan Allah.

Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.

Tuesday, 24 December 2013

BUTIK BERGERAK

Teks      : Norhafizah Abd Hadi
Gambar  : Norhafizah Abd Hadi


Berkumpul sambil menjamu mata tengok tudung


Keriangan di taman tema air


Keriangan bersukaneka

Assalamualaikum semua,

Minggu yang lalu terlakar kenangan indah bagi keluarga besar Abd Hadi. Berkumpul, bermain, bergurau senda dan membuat aktiviti bersama dalam hari keluarga yang sudah masuk kali keempat. Alhamdulillah, syukur atas nikmat ukhwah dan kasih sayang.

Bagi keluarga besar seperti ini agak susah untuk berkumpul memandangkan masing-masing tinggal di serata Malaysia bahkan ada yang sedang menuntut di luar negara. Biasanya hanya berjumpa di 'Facebook' atau 'WhattsApp' sahaja. Namun nikmat pertemuan 'secara langsung' lebih membuahkan aura yang sangat mengujakan.

Dalam pertemuan itu sempat saya membuka 'butik' untuk jualan di kalangan ahli keluarga sahaja. Alhamdulillah sambutan sangat baik. Anak saya turut menjadi pembantu jualan tidak rasmi, boleh tahan ada bakat rupanya, he he.

Saya teringat pesan guru, untuk menjadi yang lebih baik, harus bijak gunakan ruang dan peluang yang ada. Peluang tak selalu datang, sekali ia datang bergolek manfaatkanlah sebaiknya. Peluang bisnes ini hanya kisah beberapa peratus sahaja, pokoknya tidak rugi kita merebut peluang untuk kejayaan dunia dan akhirat. HAYYA 'ALAL FALAAH! Marilah menuju kejayaan.

Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.

Wednesday, 18 December 2013

MENEROKA ALAM BARU

Teks     : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Google



 




Assalamualaikum semua,

Hari ini tercatat satu peristiwa baru dalam hidup saya sebagai usahawan tudung yang baru. Sudah lama ingin ke Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) meninjau-ninjau lubuk tudung di sana, baru hari ini Allah izinkan. Alhamdulillah, satu pengalaman baru. Sebelum ini saya hanya berpeluang ke sebuah kedai yang menjual secara borong di tempat lain.

Hari ini suami menjaga anak-anak, saya ke KL bersama adik lelaki saya. Alhamdulillah saya mudah sikit berurusan di KL tanpa anak-anak kecil, jika mereka dibawa pun tentu akan kepenatan nanti. Masa untuk membeli dan meninjau tudung agak terhad kerana saya harus pulang sebelum malam, jadi masa yang ada saya amat hargai, niat untuk meninjau barang peribadi saya tutup 100%. Itu tidak penting buat masa ini. Alhamdulillah dengan sedikit info dari sahabat yang tidak asing dalam ABDR, Tuan Fadzilah Tuan Sulaiman amat membantu saya dengan urusan hari ini. Sahabat saya ini tidak lokek ilmu dan panduan, semoga Allah murahkan rezeki sahabat pemurah ini. Amin.

Jalan TAR yang saya kerap pergi suatu ketika dulu, tidak banyak berubah wajah. Namun oleh kerana lama tidak menjejakkan kaki ke situ, saya agak canggung untuk mencari tempat yang ingin saya tuju. Alhamdulillah, Allah membantu melalui insan-insan yang saya rujuk. 

Kebanyakan penjual-penjual di tempat yang saya tuju menjual barang yang sama sahaja. Kanan, kiri, depan, belakang menjual tudung, kain pasang dan kain batik. Positif sungguh mereka, sungguh lah rezeki itu di tangan Allah, tanpa perlu rasa khianat, dengki atau tidak yakin menjual barang yang sama. Kadangkala berlaku sesetengah peniaga berasa tidak senang apabila ada peniaga lain menjalankan perniagaan yang sama berdekatan mereka. Tidak kurang juga yang menggunakan ilmu tidak sepatutnya untuk menjatuhkan perniagaan orang lain. 

Selayaknya kita yang mengikuti sunnah Nabi dalam berniaga, haruslah turut mengikut etika dan sunnah baginda. Barulah rezeki yang datang bergolek lebih berkat, akan terasa keberkatan dalam segenap kehidupan. Usaha yang luar biasa insya Allah akan membuahkan hasil yang luar biasa.

Jemput ke page Butik Al-Izzah, bayi baru saya, usaha kecil saya dalam dakwah menutup aurat.


Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.



 

Monday, 16 December 2013

BUAT JAHAT JANGAN SEKALI

Teks     : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi


Longgokan sampah

Pokok kelapa sawit di sepanjang jalan


Assalamualaikum semua,

Sejak kebelakangan ini saya agak rajin juga turun padang melihat perkembangan tanah yang sedang dibersihkan. Selain mengambil tahu itu dan ini, dapat juga melihat ketulusan dan keikhlasan 'uncle-uncle' yang buat kerja di situ. Bukan seorang dua malah ramai berpesan agar sentiasa mengambil tahu sebarang perkembangan kerana sudah biasa berlaku 'main tipu'. Alhamdulillah setakat ni memuaskan hati dan mudah-mudahan berterusan begitu.
Ada beberapa perkara yang menarik minat saya di awal-awal kerja menambak tanah ini. Menarik di sini bukanlah bermaksud saya suka budaya itu, tetapi kurang gemar dan gusar. Pokoknya di sini adalah sikap manusia. Kerana sikap itu lah orang lain yang merana. Saya dan suami lah antara orang yang merana itu.
Kedudukan tanah kami ialah di tepi jalan, jalan tersebut laluan utama untuk ke pantai. Seorang hamba Allah telah menanam pokok kelapa sawit secara haram di sepanjang jalan utama ini. Masalah timbul apabila pokok kelapa sawit tersebut menghalang laluan untuk ke tanah kami dan seterusnya menghalang pandangan apabila rumah siap kelak. Mahu tidak mahu kami terpaksa tebang beberapa batang pokok tersebut. Menurut 'uncle' yang meratakan tanah tersebut, kami bernasib baik kerana tidak berlaku kejadian ngeri seperti orang mengamuk atau pun orang menghunus parang kerana marah. Kami fikir, akan datang bagaimana pula untuk menghadapinya, kerana tanah ini kami akan usahakan secara berperingkat sehingga cukup 1 ekar luasnya. 
Selain itu, saya perhatikan beberapa bungkusan sampah telah dilempar di tepi tanah kami. Lebih buruk lagi, sampah-sampah itu bertaburan terkeluar dari karungnya. Pernah juga saya ternampak beberapa pemuda sedang melonggokkan sampah di situ.
Di manakah sifat perikemanusiaan mereka? Apakah yang mereka akan rasa jika mereka di tempat kami? Ya, memang benarlah orang tidak akan faham jika mereka tidak merasainya. Ayuh mari kita menjadi orang yang lebih bertanggungjawab, bertimbang rasa dan impati. Tidak rugi kita menjaga hubungan baik sesama makhluk kerana hasil tuaiannya akan berterusan hingga akhirat.


Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.

 

BUTIK AL-IZZAH

Teks     : Norhafizah Abd Hadi

Gambar : Norhafizah Abd Hadi





Assalamualaikum semua,

Alhamdulillah puji dan syukur saya panjatkan kepada Allah, sumber pertolongan, sumber kekuatan, sumber rezeki dan Dia lah yang Maha Agung. Berkat doa semua, akhirnya lahirlah Butik Al-Izzah. 
Butik ini secara peribadinya adalah salah satu medan dakwah, mengajak dan memberi inspirasi muslimah dalam menutup aurat. Selain itu, butik online ini menyediakan ruang bagi muslimah untuk membeli belah dengan harga menarik dan pilihan terbaik.

Setakat ini Butik Al-Izzah menjual tudung, t-shirt Muslimah dan t-shirt menyusu. Insya Allah pada masa akan datang beberapa produk lain akan dijual. Para pembeli pasti berpuas hati dengan kualiti barangan yang saya jual di butik online ini. Selain itu ada tawaran menarik menanti pelanggan setia, jadi rajin-rajin lah singgah dan beli di butik saya. Tanpa pelanggan, siapalah saya.

Jom ramai-ramai meriahkan Butik Al-Izzah, https://www.facebook.com/butikalizzah

Terima kasih atas sokongan kalian. Hanya Allah yang dapat membalasnya.


Sunday, 15 December 2013

BERKAT LANGIT CERAH

Teks     : Norhafizah Abd Hadi

Gambar : Norhafizah Abd Hadi


Assalamualaikum semua,
Alhamdulillah berkat doa semua, kini kami sekeluarga sihat, cuma tinggal batuk dan selsema yang semakin pulih. Terima kasih atas doa kalian.
Syukur alhamdulillah cuaca sekarang cerah secerahnya, tidak seperti sebelum ini hujan berpanjangan. Rezeki dan peluang yang ada ini saya dan suami gunakan untuk memulakan projek di tanah kami. Niat dan hajat kami ingin membina sebuah rumah kecil untuk dijadikan homestay (inap desa). Mudah-mudahan Allah mudahkan segalanya.

Projek bermula dengan menebang pokok-pokok sawit yang ditanam di tanah tersebut, seterusnya urusan menambak dengan tanah merah. Cuaca baik sekarang ini sangat membantu, cuma beringat-ingat sedikit bekerja di bawah terik mentari, takut demam panas dan memudaratkan diri. 

Projek berfasa ini kami rancang akan berterusan hingga tahun hadapan. Banyak lagi yang perlu kami rancang dan usahakan untuk merealisasikan impian kami. Tidak ketinggalan, ilmu juga perlu ditambah dari semasa ke semasa. Semakin banyak ilmu dipelajari, semakin banyak yang kami tidak tahu. 

Mudah-mudahan Allah memberkati usaha kami ini. Kita merancang, Allah merancang, perancangan Allah jua yang terbaik.

Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.

Thursday, 12 December 2013

CUTI AKHIR TAHUN YANG HEBAT

Teks      : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi
 
 
Anakanda demam
 
 
Assalamualaikum semua,
 
Saya ada berniat untuk marathon menghabiskan 44 entri semasa cuti sekolah akhir tahun ini, namun saya juga harus akur Allah juga merancang sesuatu untuk saya. Saya masih tidak dapat mencapai impian saya yang satu itu dek ujian satu persatu. Namun, saya akan lakukannya walau lambat macam siput sekalipun. He he.

Bermula dengan episod saya demam sebelum ini, bertukar episod anak-anak pula demam. Mungkin kurang rehat kerana menjaga anak-anak, saya sekali lagi demam dan diikuti suami pula. Lahaula wala quwwata illa billah, memang teruji sungguh saat itu. Tiada daya dan kekuatan, hanya berdoa semoga diberi kekuatan oleh Allah. Alhamdulillah kini beransur sihat walaupun belum sepenuhnya.

Sebenarnya bukan keluarga saya sahaja yang demam, malah ibu saya, anak-anak saudara juga turut demam. Semua pada waktu yang sama, kebetulannya begitu. Semoga Allah memberi kesihatan dan maghfirah kepada kami dan anda semua.

Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.

Saturday, 7 December 2013

ASYIK DAN TERUJA

Teks      : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi



Assalamualaikum semua,

Semalam merupakan waktu yang ditunggu-tunggu oleh anak sulung saya. Hannan mula masuk kelas mewarna dan melukis di sebuah pusat pembelajaran berhampiran rumah kami. Dia sangat teruja!

Tenaga pengajar di situ berbangsa Cina dan majoriti pelajar di situ juga berbangsa Cina, anak saya merupakan pelajar tunggal Melayu dalam kelasnya. Keadaan tersebut sedikit pun tidak melunturkan semangat anak saya untuk belajar, malah lebih bersemangat melihat hasil tangannya sendiri dan pelajar lain.

Saya dan suami memilih kelas mewarna untuk Hannan sebagai pengisian cuti sekolah. Malah lebih kepada alternatif supaya anak tidak bergantung kepada televisyen dan gajet. Mewarna dan melukis mampu membuatkannya khayal dalam dunianya dan kami lebih senang begitu berbanding jika dia khayal bermain gajet dan menonton televisyen. Malah, pemikirannya  juga akan lebih fokus dan membina minda kreatif.

Kelas mewarna dan melukis berlangsung selama satu jam setengah dan sekali seminggu. Anak saya tidak dapat terima hakikat itu, dia mahu kelas itu berlangsung setiap hari! Oh anakku.



Monday, 2 December 2013

RUANG DAN PELUANG BISNES

Teks      : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi

 

 


 “Eh dah habis la rempeyek ni, pesan kat tuannya hantar rempeyek lagi ya”, ujar ibu mertua kepada suami.

“Belum sampai lagi lah stok baru, kita bungkus kerepek sendiri lah jom, kita jual”, kata ibu kepada suami beberapa hari kemudian.

Petang itu juga suami saya membeli beberapa jenis kerepek secara borong dan kami terus memulakan proses membungkus dan melabel dibantu oleh anak sulung kami yang sangat teruja ingin membantu. Hingga larut malam mereka bekerjasama. Esoknya bungkusan-bungkusan kerepek selamat disusun di restoran ibu mertua. Kerepek bergandingan dengan rempeyek yang sedia ada, memberi variasi dan tarikan pelanggan. Alhamdulillah sambutan agak menggalakkan.

Kadangkala kita hanya perlu bijak mengambil peluang atas ruang yang ada untuk menjana pendapatan. Peluang tidak selalu datang bergolek, ruang ada harus dimanfaatkan sebaiknya. Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit, kerepek ini meskipun nampak kecil dan sedikit tetapi mampu memberi keuntungan 100%. Usaha kecil-kecilan ini saya dan suami jalankan dari rumah sahaja.

ALAHAI



Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Google

Assalamualaikum semua,
                                                                


Sudah lama saya tidak kemaskini blog, bermula dari masalah internet berlarutan beberapa hari, demam dan akhirnya sibuk dengan urusan perkahwinan saudara terdekat. Alasan banyak ye Puan Norhafizah, nak kena rotan dengan Cikgu Masayu la tu, he he.

Hari ini rumah saya didatangi dua orang pekerja TNB untuk mengganti meter yang rosak. Pada waktu yang sama, suami pula tiada di rumah. Ketukan demi ketukan di pintu minta dijenguk.Usai menyarung jubah dan tudung, saya segera menunjukkan muka. Mereka menyatakan tujuan kedatangan mereka lantas memulakan kerja.

Saya kembali semula menyelesaikan tugasan rumah dan melayan karenah anak. Tidak lama kemudian, pintu kembali diketuk. Ada kecemasan barangkali orang ini getus saya di dalam hati. Semakin kuat ketukan, bagai mahu runtuh pintu rumah saya. Saya agak panas dengan kelakuan begitu lantas melaung “Sekejap ye, nak pakai tudung!”. Serta merta ketukan di pintu terhenti. Mana mungkin saya boleh menerpa membuka pintu, perlu sarung jubah dan tudung dahulu. 

Alahai kaum Adam, sungguh pun kau perlu bersegera, namun jangan kau lupa tanggungjawab kaum Hawa menjaga auratnya. Tidak semudahnya memberi peluang kepada yang bukan mahram untuk melihatnya. Semoga kau beroleh petunjuk dan hidayah Ilahi. Sama-sama mendapat pengajaran pada hari ini.

Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.

Saturday, 23 November 2013

MAJU ANAKKU MAJU

Teks      : Norhafizah Abd Hadi

Gambar : Google

                     

Assalamualaikum semua,

Celoteh tentang penjagaan anak saya sambung lagi, kali ini tentang 'walker' pula. Saya percaya sesetengah ibu menggunakan 'walker' apabila bayi mereka mula melepasi beberapa tahap pembesaran. Harapan mereka, lebih mudah mengawal pergerakan bayi dan lebih mudah mereka membuat kerja. Sesetengahnya juga berpendapat bayi akan lebih cepat berjalan dengan bantuan 'walker'.

Pada pandangan kasarnya memang nampak sebagai penyelesai masalah tetapi ia tidak menjamin keselamatan bayi. Bayi terdedah kepada kemalangan dan kecederaan dan lebih malang lagi membawa kepada kematian. Kajian demi kajian menunjukkan 'walker' menyumbang kepada kecederaan malah Kanada telah mengharamkan penggunaan alat tersebut.

Menurut satu kajian yang dijalankan di Singapura, juga antara sebab ibu-ibu perlu mengelak dari menggunakan 'walker' ialah kecederaan. Kecederaan tersebut termasuklah jatuh dari tangga, kecederaan di kepala, patah tulang, terkehel pada jari tangan dan kaki, keracunan dan lemas.

Selain terdedah kecederaan, penggunaan 'walker' tidak membantu bayi untuk berjalan, malah melambatkan bayi itu belajar berjalan akibat perkembangan otot dan mental yang tidak dirangsang. Sebaiknya bayi perlu meniarap, merangkak dan berjalan sendiri bagi membantu perkembangan fizikal dan mental yang sihat, secara tidak langsung bayi akan mencapai perkembangan kemahiran dengan cara normal.

Saya bukanlah pakar kanak-kanak yang mahir tentang segalanya untuk bayi, tetapi saya ingin berkongsi dari mereka yang pakar. Mencegah itu lebih baik dari merawat. Biarkan anak kecil kita berguling dan bermain di hamparan mahu pun di katil bayi, biarkan mereka berkembang secara semulajadi. Sekalipun terpaksa menggunakan 'walker', sebaiknya gunakan dalam jangka masa yang pendek dan lebihkan perhatian terhadap bayi.

Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.




Thursday, 21 November 2013

TIDURLAH ANAKKU

Teks      : Norhafizah Abd Hadi

Gambar : Google

                                       

Assalamualaikum semua,

Entry yang lepas saya ada berceloteh sedikit tentang penjagaan anak menggunakan buaian dan walker. Sedikit penambahan di entry ini tentang keburukan penggunaan buaian.

Sudah banyak bukti menunjukkan bahawa bahaya menidurkan anak menggunakan buaian. Pakar kesihatan dan pakar kanak-kanak juga tidak menyarankan cara yang demikian. Antara keburukan yang biasa diketengahkan ialah:

- Kanak-kanak berpotensi untuk jatuh dan terkeluar dari buaian, seterusnya menyebabkan kecederaan di kepala.

- Buaian tidak memberi sokongan yang mencukupi bagi tulang belakang bayi dan bahu bayi selalunya membongkok. Di samping itu, terdapat juga lain-lain aspek keselamatan: Risiko untuk jatuh adalah tinggi dan kadang-kala buaian dibuai dengan terlalu kuat. Ini akan meningkatkan risiko bayi jatuh keluar atau ditolak ke dinding.

- Buaian adalah satu alat yang boleh menjadi punca kecederaan dan kerosakan pada otak bayi. Penggunaan buaian untuk menidurkan bayi boleh mengakibatkan sindrome gegaran otak bayi dan sekaligus penyebab pendarahan pada otak bayi.

Kadangkala bayi akan menangis sekuatnya ketika mahu tidur, ini menyebabkan emosi seorang ibu agak terganggu. Jika bayi tersebut ditidurkan dengan buaian, hayunan tersebut akan menjadi semakin kuat mengikut kuatnya tangisan si bayi.Hayunan pun akan bertukar manjadi goncangan. Goncangan yang kuat memberi kesan yang lebih buruk kepada bayi.

Biasa kita dengar pengalaman ibu-ibu dahulu menggunakan buaian, tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan, tugas di rumah pun dapat dibereskan kerana bayi tidur lena. Namun aspek keselamatan perlu dititikberatkan. Saya juga suatu masa dulu ditidurkan dalam buaian. Namun saya pernah melihat beberapa kali kejadian kayu tempat menyangkut spring buaian terjatuh lalu bayi pun turut sama jatuh. Dalam kejadian lain, spring buaian putus. Sangat membahayakan, bukan.

Namun sesetengah ibu terpaksa menggunakan buaian atas sebab tersendiri. Beberapa tips berguna untuk dikongsi di sini: 

- Sentiasa memantau dan mengawasi anak terutama bayi yang sudah boleh berpusing dan meniarap.

- Letakkan tilam di bawah buaian supaya apabila bayi terjatuh dia tidak akan terhentak ke lantai.

- Pastikan kedudukan buaian tidak terlalu tinggi dari lantai.

- Tidak meletakkan bantal atau selimut di dalam buaian.

- Letakkan bayi dalam keadaan telentang dan bukan meniarap.

Sebaiknya latih anak perlahan-lahan agar tidak bergantung sepenuhnya kepada buaian. Kebaikannya bukan sahaja untuk dirinya, malah ibu turut merasa.

Hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.








Saturday, 16 November 2013

LELAH HARI INI UNTUK KEBAHAGIAAN ESOK

Teks      : Norhafizah Abd Hadi
                                   
"Anak tido tak guna buaian? Macamana nak buat kerja?"
"Bagus anak guna walker, cepat pandai jalan, kaki cepat kuat, kita pun senang nak buat kerja"
    

Biasa juga saya diajukan ayat begini, bukan sekali tapi berkali-kali. Saya faham maksud mereka, untuk memudahkan tugas ibu-ibu, sesetengahnya memilih buaian dan walker dalam penjagaan anak. Segalanya terpulang kepada ibu-ibu untuk memilih yang terbaik untuk mereka dan anak mereka.

Saya memilih untuk tidak menggunakan buaian dan walker sejak anak pertama lagi. Memang sangat penat dan sungguh teruji kerana anak-anak bukan jenis yang 'campak saja tidur'. Berbagai ragam anak sebelum tidur dengan menangis tak keruan, dodoi sambil duduk atau berdiri, tidur tak lena dan sebagainya. Alhamdulillah suami sangat membantu dengan bergilir-gilir menjaga anak. Buaian masih lagi bukan pilihan kami.

Apabila anak semakin membesar, tugas semakin berat. Pergerakannya perlu dipantau sentiasa. Anak-anak saya setakat ini semuanya jenis mengutip. Apa sahaja yang dilihatnya cepat sahaja masuk ke mulut. Perkembangan dari sehari ke sehari juga boleh tahan aktifnya. Saya tidak mengambil jalan mudah dengan menggunakan walker, tetapi mencari alternatif lain demi kebaikan anak.

Saya sedar tugas seorang ibu sangat berat kerana saya juga menyusukan anak sepenuhnya. Mana mungkin dapat uruskan semuanya sesempurna mungkin, bersyukur dikurniakan suami yang sangat memahami dan sangat membantu. Tanpanya tak mungkin kami berjaya dengan misi 'no buai no walker'.

Saya kongsikan sedikit pengalaman kecil saya mengurus anak dan rumahtangga tanpa buaian dan walker : 
1)Tidurkan anak di tilam sahaja. Jika tepuk sahaja tak jalan, angkat dan dodoi anak sambil duduk, jika tak jalan juga baru dodoi sambil berdiri. Tetapi usahakan untuk duduk juga kerana ibu akan keletihan.  
2)Tidurkan anak menggunakan katil bayi. Cukup sekadar gerak-gerakkan sedikit untuk keselesaan bayi. Selain itu saya juga gunakan 'car seat'. Inovasi terkini boleh juga gunakan 'rocker' bayi. 
3)Tugas mengurus anak dan rumahtangga digalas bersama suami.  
4) Katil bayi saya gunakan sebagai anak tempat bermain. Saya akan letakkan dia berada hampir dengan saya sewaktu membuat kerja rumah. Zaman kini saya dapati 'playpen' sangat membantu para ibu untuk meletak anak mereka. 
5) Saya menggunakan kereta sorong (stroller) semaksima mungkin untuk tidurkan anak, suap anak dan merehatkan anak.

Sungguh, menjadi ibu kita perlu berfikir kreatif, mencari yang terbaik. Tetapi saya bukanlah yang terbaik di kalangan para ibu. Saya hormati pilihan yang dipilih oleh ibu-ibu di luar sana pasti ada sebabnya tersendiri. Yang penting kita berusaha, bukan?
Entry akan datang saya akan kongsikan keburukan menggunakan buaian dan walker pada bayi. Insya Allah. 

Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.

Tuesday, 12 November 2013

SUARA EMAS

Teks      : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi








Assalamualaikum semua,

Alhamdulillah di malam ini kami sekeluarga dapat meluangkan masa bersama-sama, kerana encik suami sudah tamat kelas pengajian tarannumnya di Masjid Shah Alam. Biasanya, seawal jam 6 petang dia sudah bertolak dan pulang pada jam 12 malam.

Saya dan suami rancak berborak sambil memerhatikan si kecil dari jauh. Banyak yang kami bualkan lantaran jarang dapat bercerita dengan selesa. Tiba-tiba terdengar satu suara, alunan yang tidak pernah kami dengari sebelum ini. Rupa-rupanya anak sulung kami sedang mengaji sendirian sambil berlagu. Masya Allah. 

Hannan atau panggilannya kakak agak malu-malu tatkala kami cari suara itu. Kami memintanya perdengarkan lagi bacaan tadi, dia enggan. Tak mengapalah, mungkin esok-esok boleh dengar lagi dengan bacaan syok sendiri kakak.

Kami fikir tentu kakak rakam di mindanya ilmu-ilmu semasa mengikut ayahnya ke kelas tarannum. Seperasan kami, anak kedua pun begitu, boleh meniru apa yang ustaz ajarkan. Subhanallah, otak kanak-kanak memang seperti span, cepat sahaja menyerap. Hati pula masih bersih, senang lekat ilmu.

Kami bercadang untuk menambah aktiviti anak-anak semasa cuti sekolah nanti dengan belajar tarannum. Belajar ilmu asas dengan ayah mereka. Mudah-mudahan usaha ini dapat meningkatkan lagi mutu bacaan Al-Quran anak-anak dan menyemai rasa cinta dengan ilmu-ilmu Al-Quran. Amin.

Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.

Monday, 11 November 2013

RANGSANG ANAK BELAJAR

Teks      : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi

Assalamualaikum semua,

Nampaknya tak lama lagi cuti sekolah akan bermula, saya dan suami mula merancang aktiviti untuk anak-anak, agar mereka tidak berkawan dengan televisyen sahaja.

"Sudah anak-anak, dah lama tu tengok tv"
"Jom main, jom mewarna, jom tengok buku"
"Wah, bestnya, tengok ni apa ni"
"Eh nak rasa tak, sedap betul ni"

Itu antara ayat-ayat saya untuk tukar fokus anak dari menonton televisyen kepada aktiviti lain. Boleh menonton, tetapi ada hadnya. Takut anak ketagihan.

Lumrah bagi kanak-kanak amat meminati siaran kanak-kanak di televisyen, malah boleh berjam-jam lamanya menonton. Sebagai ibu bapa prihatin kita sangat risau dengan keadaan begitu. Tidak bagus untuk perkembangan kanak-kanak menghabiskan masa dengan menonton televisyen sahaja.

Enam tahun pertama dalam kehidupan adalah masa paling penting untuk perkembangan otak anak. Anak-anak saya masih dalam kategori ini. Sebolehnya saya tidak mahu masa itu berlalu begitu sahaja. Jika kita mengetahui tahap-tahap perkembangan anak, kita dapat memaksimakan kecerdasannya.

Apa yang saya buat? Sedikit aktiviti saya programkan untuk anak-anak mengikut keselesaan saya dan anak:
  • Melukis, mewarna, menulis
  • Membaca buku bersama-sama
  • Menghafaz doa, surah pilihan, ayat pilihan
  • Membuat pembentangan atau persembahan berdasarkan doa dan surah yang dihafaz
  • Bermain dalam rumah atau luar rumah
  • Makan makanan ringan seperti buah-buahan, kekacang, jeli, kerepek dan sebagainya 
  • Membuat kunjungan ke perpustakaan









Saya suka mengutip ilmu dari semasa ke semasa tentang keibubapaan. Saya sedar, dunia semakin mencabar, pendidikan awal kanak-kanak tidak harus dikesampingkan. Biasa kita mendengar "didiklah anakmu sesuai dengan zamannya", maka sebagai ibu bapa kita harus mengejar ilmu keibubapaan mengikut peredaran zaman.

Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.

DESIGN BY:UMIESUEstudio/2014