Showing posts with label Catatan Pengalaman. Show all posts
Showing posts with label Catatan Pengalaman. Show all posts

Wednesday, 14 January 2015

DUNIA BUSANA MUSLIMAH DAHULU DAN SEKARANG

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Koleksi peribadi

Suatu ketika dahulu agak sukar saya dapatkan tudung instant bersaiz labuh dan menepati citarasa. Lebih-lebih lagi ketika saya menetap di Sabah. Memang waktu itu rasanya kebanyakan kawan-kawan sudah mempunyai koleksi tudung instant mereka, saya masih setia dengan tudung bulat atau tudung 4 segi. Antara sebab saya tidak terbuka hati untuk memakai tudung instant ketika itu adalah kerana semuanya dari material lycra, boleh dikira dari material lain, dan agak susah untuk dapatkannya.

Masa terus berlalu, semakin banyak pilihan tudung instant labuh di depan mata, tetapi ketika itu harganya menjadi taruhan. Saya harus berkira-kira untuk membeli. Ketika itu saya masih belum pandai bezakan kelebihan dan kekurangan kualiti setiap material, faktor perbezaan harga dan sebagainya. Memandangkan saya harus berbelanja mengikut selera poket, saya memilih untuk membeli pada harga yang mampu milik sahaja. Tetapi warna yang ada semua kelam dan suram. Sangat tidak puas hati. 

Semakin hari tudung instant labuh semakin mendapat tempat di hati pembekal, ramai yang mengeluarkan tudung labuh dengan pelbagai rekaan dan fesyen. Secara tidak langsung membeli lebih pilihan kepada pecinta tudung labuh. Ketika ini saya mula belajar jenis-jenis material setiap tudung, jenis jahitan, faktor yang mempengaruhi harga tudung dan sebagainya. Tidak semestinya yang mahal itu sangat berkualiti dan begitulah sebaliknya. Namun perlu berhati-hati dan pandai memilih pada kedua-dua jurang harga tersebut kerana harga bukanlah segalanya. Banyak aspek lain yang harus diambil kira ketika memilih untuk membeli.

Setelah setahun jagung mengorak langkah dalam bisnes tudung, banyak perkara baru yang saya belajar setiap hari. Dari tudung saya tambah lagi produk lain seperti baju muslimah mesra menyusu, blouse, shawl, instant shawl, set baju kurung moden mesra menyusu dan busana muslimah yang lain. Berniaga sambil membantu muslimah yang lain mendapatkan pakaian pilihan mereka. 

Jemput ke Butik Al-Izzah, page rasmi saya, boleh juga layari blog Butik Al-Izzah untuk dapatkan tudung serta busana muslimah yang lain. Dalam tempoh sebulan, saya sentiasa menambah produk baru untuk memberi lebih banyak pilihan buat insan-insan di luar sana. Kepuasan pembeli memang menjadi keutamaan saya. Bagi yang belum berkunjung, ayuh dapatkan harga lebih rendah dan istimewa sempena sale yang sedang berlangsung. Julung kali diadakan seumpamanya. Jom borong!







Monday, 17 November 2014

CIPTA KEJAYAAN

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi




Pantasnya masa berlalu, kini anak-anak sudah berada di minggu akhir persekolahan, masing-masing sudah tidak sabar untuk bercuti panjang. Sebelum menutup tirai sessi persekolahan tahun ini, masing-masing sibuk mengingatkan saya dan suami tentang majlis penyampaian hadiahnya. Anak sulung akan mengambil hadiah di sekolah kebangsaan dan sekolah agama, manakala anak kedua akan menyertai persembahan di majlis graduasi PASTI, tidak pasti kedudukan Nuhaa di tempat ke berapa dalam kelasnya kerana tiada peperiksaan untuk 4 tahun, hanya ada penilaian sepanjang tahun. Tunggu dan lihat sahaja khabar di hari yang amat dinanti itu.

Seawal semalam saya sudah mula menyediakan pakaian untuk anak sulung di hari anugerahnya. Serba lengkap dari hujung rambut ke hujung kaki. Ketika itulah kenangan lama menerpa di fikiran, dulu-dulu saya juga sangat semangat untuk ambil hadiah. Seronok naik pentas! Pakaian akan digosok selicin boleh, kasut sekolah biarpun tidak baru tetapi yang penting bersih dan putih melepak. Hati kembang setaman, gembira tidak terkira, jiwa budak-budak lah katakan.

Paling tidak boleh lupa kenangan dalam perjalanan ke sekolah, tatkala mengayuh basikal tiba-tiba ada sebuah kereta melanggar lecak lalu terpercik ke kasut saya, sudah tidak melepak lagi rupanya. Sedih rasa di hati namun apa boleh buat, ambil hadiah dengan kasut comot lah hari itu.

Kini sudah bertahun-tahun kenangan itu berlalu, giliran anak-anak pula merai kejayaan. Bukan kejayaan sebenar itu diukur dengan naik pentas semata-mata, itu hanya juzuk kecil sahaja. Yang penting ilmu yang dimanfaatkan, baik akhlak, menghormati guru dan mengasihi orang lain. Namun mencipta kejayaan kecil akan mendorong untuk mencipta kejayaan besar di masa depan. Semoga anak-anak berjaya di dunia dan akhirat. Amin.

Saturday, 15 November 2014

RAHSIA OAT UNTUK KULIT

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Google




Sebelum masuk tidur biasanya saya akan membersihkan diri terlebih dahulu, namun sejak beberapa hari ini ada petua baru yang saya amalkan, saya akan mencuci muka menggunakan oat. Oat? Ya, memang oat yang saya makan setiap hari itulah saya tepek dan oles di wajah. Bukan sebelum tidur sahaja, malah saya juga melakukannya di siang hari.


Aktiviti baru ini bermula ketika saya dapati oat yang dalam simpanan sudah berkutu. Saya agak geli untuk memakannya kerana bukan setakat kutu, saya terasa seperti ada telur-telur kutu dalam bungkusan tersebut. Sayang juga untuk dibuang, dengan pantas saya mencari maklumat rahsia oat di internet. Baru saya tahu khasiat oat untuk kulit.

Seperti yang kita tahu, oat mengandungi serat larut yang mampu menyerap dan membantu menghapuskan kolesterol berlebihan. Rupanya kebaikan oat pada kulit ia mampu menyerap minyak di wajah dan melembabkan kulit secara semulajadi. Oat amat sesuai untuk kulit kering hinggalah berminyak. Wow, ilmu baru yang saya dapat. Bila saya amalkan beberapa hari ini, terasa juga kurang berminyak kulit muka saya berbanding biasa. Saya juga gunakan oat sebagai skrub untuk bahagian kulit yang lain. Caranya mudah sahaja, ambil satu sudu oat dan letak beberapa titisan air, bila oat sudah kembang dan basah sapukan pada wajah dan bahagian kulit yang dikehendaki. Jika ada madu atau yogurt, boleh tambahkan pada bahan sapuan tadi, itu lebih baik.

Seronok juga mencuba petua baru ini, kos tidak banyak, kulit pun terasa selesa. Mudah-mudahan saya konsisten, kalau hangat-hangat tahi ayam mana nak nampak hasil kan. Apa-apa pun jika kita konsisten insyaAllah ada kebaikannya.

Monday, 10 November 2014

DARI KERANA MINAT

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Google








Assalamualaikum,

Alhamdulillah, Isnin yang cerah dan ceria bersama sinar mentari. Syukur masih diberi peluang meneruskan kehidupan, mengumpul bekalan dan saham untuk ke sana. Saya selalu terkenangkan hari kiamat, hari kematian, menakutkan bukan. Namun itu benar-benar pasti, janji dari Allah. Semoga kita semua dikurniakan husnul khotimah. Amin.

Saya dahulunya pelajar Bahasa Arab UIAM, sangat sukakan subjek Bahasa Arab sejak di bangku sekolah, menyambung ke peringkat Master juga dalam jurusan yang sama, cuma pengkhususan Terjemahan. Saya juga sangat suka bidang terjemahan. Dalam sela waktu sakit mata ini, saya ada menolak tugas terjemahan kerana tidak dapat memberi komitmen dengan baik. Namun dari hari ke hari saya menyelak helaian kamus dan merujuk kamus di internet untuk rujukan sendiri. Seronok bermain dengan perkataan, dari satu patah perkataan boleh bercambah menjadi berbagai bentuk dan berbeza maksudnya. 

Sepanjang tempoh menjadi penterjemah sambilan, saya tertarik dengan nama-nama yang tertera dalam dokumen. Nama tersebut saya harus tulis ke tulisan jawi dan perlu merujuk beberapa kamus untuk kesahihan dari segi ejaan dan maksudnya. Pencarian yang unik kerana beberapa nama yang biasa diguna dan sedap didengar tidak saya temui maksudnya. Bertitik tolak dari itu, saya semakin rajin meneliti perkataan dan nama-nama untuk menambah pengetahuan saya di samping mendapatkan kesahihan maksud dan ejaan sebenar.

Hari ini saya masih dengan kamus-kamus saya, setiap hari ada penemuan baru. Alhamdulillah, memang benar semakin banyak kita belajar, semakin banyak rupanya yang kita tidak tahu. Suami memberi cadangan agar saya menulis buku panduan nama-nama yang betul ejaan dan maksudnya. Saya perhatikan sudah banyak buku nama di pasaran namun sejauh mana kesahihannya saya belum habis kaji. Insya Allah saya akan lawati kedai-kedai buku untuk berkenalan lebih lanjut tentang isi buku nama yang ada. Mana tahu ada kelompongan yang boleh saya isi dengan ilmu sekelumit ini, setidak-tidaknya boleh dimanfaatkan bersama orang lain. 

Saya masih mengkaji, mudah-mudahan Allah mudahkan kajian saya. 

Tuesday, 4 November 2014

PENGALAMAN BISNES TANPA MODAL

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi

Tika ini saya sedang mengemaskini fanpage bisnes saya, memang menjadi satu rutin harian, adat orang berbisnes kan, kedai harus dibuka setiap hari. Namun dalam seminggu dua ini jadual harian agak terganggu kerana komitmen dan tugasan lain yang lebih memerlukan saya. InsyaAllah tidak lama lagi rintangan ini akan berakhir dan saya akan fokus semula seperti biasa. 

Menyingkap kembali pembabitan saya dalam bisnes ialah sebagai ejen dropship sahaja dan berterusan sehingga kini. Jika dahulu saya bermula dengan baju muslimah, kini kian bertambah dengan busana muslimah yang lain seperti tudung, shawl, jubah dan baju kurung moden. Alhamdulillah hampir lengkap lah koleksi muslimah di Butik Al-Izzah, memberi lebih pilihan bagi pelanggan yang singgah. 

Kenapa saya pilih dropship?
Suka untuk saya nyatakan bahawa saya sudah jatuh cinta dengan cara bisnes ini. Tanpa perlu mengeluarkan modal, tanpa mengurus stok dan boleh dikatakan kurang lelah berbanding membangunkan bisnes yang baru. Hanya perlu kuasai pemasaran dan promosi menggunakan medium yang ada. Berbekalkan ilmu yang dikutip dan kerjasama kumpulan sokongan pembekal, saya belajar sedikit demi sedikit tentang dunia bisnes.

Ada beberapa kriteria yang saya pertimbangkan sebelum menjadi ejen dropship, antaranya memilih pembekal yang menawarkan komisyen agak tinggi, pembekal yang aktif dan produktif serta menyenangkan hati untuk saling bekerjasama dalam banyak keadaan. Alhamdulillah Allah mudahkan laluan untuk itu, tinggal hanya saya untuk fokus dan konsisten dengan bisnes yang ada. 

Dalam indahnya menguruskan bisnes dropship di Butik Al-Izzah, terselit juga pengalaman duka, namun saya terima sebagai rencah dunia bisnes. Saya pernah dilemparkan kata-kata tidak enak oleh pelanggan kerana barang yang diterima tidak sempurna di matanya. Benar, sebagai ejen dropship saya tiada kuasa untuk memilih bagi pihak pelanggan saya, namun saya masih boleh suarakan permintaannya kepada pembekal. Tetapi cabaran tetap ada kerana tahap kecerewetan manusia terlalu subjektif, di sini lah masalah utamanya. Jika elok di mata pembekal, di mata pelanggan belum tentu lagi. Sedaya upaya saya tangani meskipun mengalami kerugian sedikit asalkan hati pelanggan dapat dibeli. 

Adakalanya, barang yang ditempah oleh pelanggan sudah dibayar, tetapi pembekal lewat memberitahu bahawa barang tersebut tiada dalam stok. Masalah ini adalah disebabkan dari sistem yang kadangkala agak terganggu terutama ketika membeli belah di waktu kemuncak. Masalah ini juga boleh terjadi jika pihak pembekal tersilap mengira kuantiti sebenar sesuatu produk, faham sahaja lah kuantiti bagi satu produk sahaja beratus-beratus, mungkin ada khilaf di situ. Bagi saya tentu memahami keadaan tersebut, tetapi sukar untuk memahamkannya kepada pelanggan. Sedikit demi sedikit saya belajar menangani situasi di luar jangkaan seperti ini.

Setia saya masih di sini, bisnes tanpa modal. Esok-esok belum tahu lagi. Saya bersyukur dengan cara ini saya dapat memulakan langkah pertama dalam bisnes. Yang penting niat, minat dan ilmu harus seiring. Bukan namanya hidup jika tidak dilanda ujian, apa pun harus bersabar. Pada pendapat saya tetapi mungkin berbeza dengan orang lain, tidak perlu mengejar gah dengan kedai fizikal dan produk yang pelik-pelik, bermula dengan apa yang ada sahaja. InsyaAllah mampu lebih melangkah lebih jauh.











Thursday, 2 October 2014

PENGALAMAN SEBAGAI USAHAWAN ONLINE

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Google



Assalamualaikum,

Alhamdulillah pagi ini memulakan hari di SOHO ditemani deruman enjin kenderaan yang tidak putus-putus. Masakan tidak, ini kerana rumah saya adalah kuarters sekolah yang berada di tepi jalan utama. Pagi-pagi begini masing-masing menuju ke tempat kerja atau pun menghantar anak-anak ke sekolah. Menjelang jam 8 hingga 9 pagi nanti trafik akan sedikit reda.

Saya masih setia di rumah, bekerja di rumah menterjemah dan bisnes online. Saya dikira agak baru dalam bisnes online dan masih setahun jagung. Sebelum ini saya dan suami terlibat dalam bisnes juga tetapi mengamalkan cara tradisional, berurusan dengan pembeli secara nyata. Memulakan Butik Al Izzah dengan menjual tudung saiz L hingga XXL, shawl, inner magic dan seterusnya menambah produk baju muslimah dan baju kurung moden bonus untuk ibu-ibu menyusu. 

Alhamdulillah pelanggan datang silih berganti dan ada juga pelanggan tetap setia membeli dengan Butik Al Izzah. Mereka datang dengan cara, etika dan karenah yang berbeza, namun saya sedaya upaya melayan dengan sebaiknya. Nama pun manusia, sinonim dengan bermacam ragam dan karenahnya kan.

Bermuamalah dengan pelanggan akan terasa pahit manisnya dunia bisnes. Manisnya ketika mendapat respon yang positif  dari pelanggan, mereka sangat gembira dengan barang yang menepati citarasa, menghargai penjual dengan kata-kata yang baik dan memuji servis yang diberikan. Tidak semua orang faham dengan risiko pembelian online, namun ada juga golongan pelanggan yang faham dengan pembelian online dan redha dengan barang yang tidak 100% sama dengan yang dilihat di skrin misalnya perbezaan dari segi warna.

Saya juga senang hati jika pelanggan memudahkan urusan jual beli, contohnya memesan barang dengan lengkap dan jelas seterusnya membuat pembayaran dalam tempoh yang dibenarkan beserta transaksi. Dengan kata lain, memberi kerjasama terhadap permintaan saya sebagai penjual. Alhamdulillah.

Namun untuk berjaya dalam sesuatu bidang tidaklah semudah yang disangka. Ujian yang datang adalah pelajaran dan pengajaran untuk diri sendiri agar lebih berdaya maju. Saya juga tidak terkecuali diuji dengan bermacam karenah pelanggan, itulah resam berbisnes kan. Antara karenah yang biasa saya hadapi ialah:

- Pembayaran
Ini termasuklah pelanggan yang tidak tahu membuat pembayaran melalui kaedah transaksi yang saya sebutkan. Alhamdulillah dia berjaya membuat pembayaran dengan bantuan orang lain. Ada juga beberapa kes di mana pelanggan meminta saya menghantar barang dahulu dan akan membuat bayaran kemudian.

Sesetengah pelanggan ada juga yang menggenapkan bayaran atas alasan 'cash deposit' tidak menerima jumlah wang tertentu, secara tidak langsung dia telah mengurangkan bayaran tanpa kerelaan saya. Nampak seperti dia ingin mudah dalam urusan tetapi telah menganiaya peniaga seperti saya.

Wujud juga pelanggan yang tidak mahu dimasukkan kos penghantaran, dia enggan membayar lebih dengan bermacam alasan dan akhirnya ada juga yang membatalkan pembelian dengan alasan tidak mahu ada cas tambahan.

- Barang 
Saya pernah menghadapi pelanggan yang ingin menukar barang kerana 'design' tudung yang dibeli tidak menepati citarasanya. Pelanggan tersebut membeli setelah melihat gambar yang saya hantar, dia membeli tanpa saya memaksanya dan berdalih ingin tudung begitu dan begini mengikut citarasanya. Sungguh memeningkan.

Setiap barang yang keluar haruslah selepas bayaran dijelaskan, tiada istilah hutang, namun sesetengah pelanggan ada yang bertanya bila barang akan sampai sedangkan bayaran belum dibuat. Jika sudah membayar pula, mereka mahu barang tersebut boleh sampai pada hari itu juga.

- Sikap
Apabila berurusan dengan pelanggan dapat menyingkap sedikit sebanyak sikap manusia sama ada positif atau sebaliknya. Jika pelanggan tersebut dari kalangan orang terdekat dengan saya, agak susah untuk saya tangani kerana wujudnya hubungan hati atau hubungan darah antara kami. Saya lebih mudah berurusan dengan orang yang tidak saya kenali.

Biasa juga berlaku pelanggan yang meminta harga diskaun yang amat rendah. Bagi pelanggan tetap saya akan berikan harga istimewa namun harga tersebut masih dikira munasabah. Untuk memberi harga lebih rendah adalah satu kesukaran bagi saya namun saya akan beri alternatif terbaik untuk pelanggan tersebut.

Produk di butik online saya sentiasa  mengikut peredaran masa, saya juga akan menukar fesyen tudung dan pakaian lain sesuai dengan selera pelanggan. Adakalanya pelanggan teruja menempah barang yang baru keluar agar tidak terlepas peluang memilikinya namun kemudian senyap begitu sahaja tanpa dilanjutkan dengan pembayaran. Sesetengahnya akan menunggu waktu gaji untuk membuat bayaran. 

Jika sebilangan orang hari ini gemar membeli barang secara online namun ada juga yang tidak biasa dengan cara itu. Sebagai usahawan online, saya dapat membaca jenis pelanggan tersebut sama ada biasa atau tidak dengan pembelian online. Ada juga yang tidak biasa ditambah pula dengan ragam cerewetnya, menguji kesabaran si penjual, he he. Itulah untungnya jual beli online, tidak nampak riak wajah saya si penjual, walaupun sukar untuk berurusan namun saya boleh menyorokkan suasana sebenar.

Antara tips yang saya dapat dan cuba praktikkan ketika menghadapi saat diuji ragam pelanggan, saya cuba tenangkan diri dahulu. Jika perlu, saya tinggalkan sebentar dan memeluk anak-anak atau membuat perkara yang saya sukai. Saya akan kembali memberi respon kepada pelanggan dengan sebaiknya dengan memohon maaf atau dengan memberi penjelasan dengan terperinci. Sentiasa ceria dan kepilkan gambar senyuman agar pelanggan senang hati berurusan dengan saya. Apa pun pekerjaan yang kita lakukan semuanya menuntut minat, ilmu dan kesabaran. Sentiasalah kita menambah nilai dalam diri agar sentiasa sukses dan diberkati.




Tuesday, 30 September 2014

PENGALAMAN MEMBELI SECARA ONLINE

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar :Google


Assalamualaikum,

Alhamdulillah petang yang damai dan sejuk sekali, sedapnya jika dapat tidur bersama anak-anak ditambah dingin selepas hujan. Tetapi inilah peluang untuk saya siapkan tugas-tugas saya sementelahan anak-anak tidur. Dapat juga saya bereskan urusan pembelian secara online yang tertangguh tanpa gangguan.

Bila diingat kembali pengalaman membeli online saya bermula ketika tinggal di Sabah. Memandangkan tidak banyak pilihan tudung berawning di depan mata ketika itu, saya mencuba untuk membeli belah secara online. Rentetan dari itu, barang-barang lain turut saya beli secara online antaranya baju menyusu, baju kurung moden, barang kelengkapan ibu dan bayi, hanger tudung berklip dan lain-lain. Saya bukanlah sangat gemar membeli secara online kerana saya agak cerewet, tetapi jika barang tersebut menepati citarasa dan diyakini saya lebih senang begitu berbanding bersusah payah untuk mencarinya di kedai fizikal.

Memandangkan lambakan kedai online hari ini, saya lebih berhati-hati untuk membeli bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan yang sudah berleluasa. Sebelum berurusan dengan penjual, saya pastikan kedai online tersebut adalah kedai yang diyakini dan dipercayai. Ini dapat dilihat melalui maklumat peribadi seperti nombor lesen perniagaan, nombor telefon dan alamat. Pengalaman rakan-rakan atau orang terdekat juga membantu memberi keyakinan untuk memilih kedai online tersebut.

Selain itu, saya akan melihat maklumbalas daripada pelanggan yang sudah membeli dan yang sedang 'mencuci mata' di kedai online. Ini termasuklah interaksi antara pelawat dan penjual di facebook, testimoni dari pelanggan dan juga maklumbalas positif dari penjual sendiri. Maklumat tersebut bukan sahaja memberi informasi tentang kedai online malah menggambarkan kualiti barang yang dijual dan servis perniagaan tersebut. Biasanya untuk membeli sesuatu produk, saya akan singgah di beberapa kedai online dan membandingkan produk, harga dan pakej yang ditawarkan.

Selepas membuat pemilihan produk dan memahami segala maklumat dan syarat, barulah saya berurusan dengan penjual. Penjual yang mesra pelanggan amat saya gemari, dari penerangannya yang jelas, menggunakan bahasa yang sopan dan memudahkan urusan jual beli mampu membeli hati pelanggan untuk membeli. Apabila barang yang dipesan sudah saya terima, pasti saya akan memberi maklumbalas kepada penjual dan berterima kasih kepadanya.

Pembelian secara online amat memudahkan urusan kehidupan seharian saya. Selain menjimatkan masa dan wang, saya juga berpeluang membeli barang dengan harga yang lebih murah dan kadangkala barang tersebut tidak dijual di pasaran Malaysia. Tentu suka kan! Saya bebas membeli belah tanpa mengira waktu siang atau malam dan bebas memilih tanpa paksaan dari penjual. Tiada stress dan tidak memeningkan kepala.

Namun dalam kemudahan dan kesenangan pembelian secara online, saya harus akur risiko dan kekurangan yang ada. Nilai kepuasan terhadap barang yang dipilih tidak seperti kita membeli di kedai fizikal. Kebiasaannya keselesaan, jenis material tidak dapat kita jangka kerana tidak dapat menyentuh dan mencuba barang sebelum membeli. Warna barang juga kadangkala tidak sama seperti yang kita lihat di kedai online, ini adalah kerana faktor kamera atau faktor cahaya yang tidak dapat dielakkan. Sama sahaja bukan, membeli secara online atau membeli di kedai fizikal masing-masing ada kelebihan dan kekurangan sendiri. Kita sahajalah yang harus membuat pilihan yang bijak.

Berhenti dahulu untuk menyiapkan makan malam. Hingga bertemu lagi di entri akan datang. Wassalam.




Saturday, 30 August 2014

WAHM/SURIRUMAH INSAN TAK SEMPURNA

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar :Google




Assalamualaikum semua,

Wahai suri di rumah dan WAHM sekelian, pernah kah singgah di telinga kalian ayat seperti ini,

"Jahitlah baju awak dan anak-anak sendiri, kan duduk rumah kan"
"Kenapa rumah bersepah? Kan duduk rumah, tak kemas ke?"
"Beranaklah banyak-banyak, awak duduk rumah, senang"
"Tak masak ke? Awak duduk rumah pun beli makanan luar ke?"
"Eh, duduk rumah pun guna khidmat pembantu ke?"

Banyak lagi contoh ayat yang lain, saya selitkan di sini hanya sebahagian ayat kurang best yang biasa WAHM atau surirumah hadapi. Walau apa pun tanggapan orang terhadap diri kita, hanya kita dan Allah sahaja yang mengetahui, kelebihan dan kekurangan yang kita ada. Namun kadangkala sebahagian orang meletakkan bahawa WAHM atau surirumah itu harus sempurna dalam segala hal rumahtangganya. Alasannya kerana golongan tersebut berada di rumah 24jam. Manakala golongan bekerjaya pula boleh menggunakan alasan banyak yang mereka tidak sempat lakukan kerana bekerja.

Apa pun tanggapan orang harus kita tangani dengan baik, sama ada belajar berlapang dada, memberi penjelasan dengan sebaiknya atau pun diam sahaja. Kadangkala cara kita menjawab tohmahan orang itu bukanlah melalui lisan sahaja, malah dengan tindakan positif yang akan membuka mata banyak pihak. Sememangnya kata-kata dari lidah yang tidak bertulang itu mampu mencederakan emosi, malah mencalar hati. Teruskan berbuat baik dan berdoa kepada Allah sebanyaknya mudah-mudahan menjadi insan lebih sabar dan tabah.

WAHM dan surirumah bukanlah robot, malah bukanlah hamba abdi, golongan ini insan biasa seperti yang lain juga. Bukanlah segalanya harus sempurna tetapi tetap mencari kesempurnaan dalam kesederhanaan. Menjadi sempurna juga tidak memakan sehari dua.

Bagi yang bergelar WAHM tugasnya lebih berat kerana menguruskan suami, anak-anak dan rumahtangga serta kerja yang dilakukan di rumah. Pembahagian masa, tenaga, tugas dan sebagainya harus diurus dengan bijaksana agar keadaan tidak menjadi kelam kabut. Tidak salah menggunakan khidmat luar seperti dobi, pembantu harian, membeli makanan kedai, mengguna khidmat pengangkutan untuk menghantar dan menjemput anak dan sebagainya. Tidak perlu menjadi supermom tetapi segalanya lintang pukang, berusahalah menjadi super hebat yang lebih efisyen.









Sunday, 24 August 2014

ALHAMDULILLAH GRAD

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi dan Google

Saya bersama anak-anak dan suami tercinta yang banyak membantu menjayakan penyusuan susu ibu









Assalamualaikum semua,

Pantasnya masa berlalu, masuk bulan Ogos dah, akhir Julai lalu genaplah anak bujang saya berumur 2 tahun dan genaplah penyusuan 2 tahun sepenuhnya dengan susu ibu. Alhamdulillah Allah murahkan rezeki dapat melengkapkan penyusuan anak ketiga seperti kakak-kakaknya dahulu.

Saya tidak nafikan saya adalah penyokong tegar penyusuan susu ibu. Kerana mementingkan itu juga, anak saya tidak berderet laju seperti sesetengah orang lain. Jika orang lain marathon untuk ramai anak dan berbangga dengannya, saya pula berusaha keras untuk menjayakan misi yang satu itu.

Tidak semudah ABC melengkapkan penyusuan 2 tahun, oleh kerana itu ramai yang kecundang di tengah jalan dan ada juga yang tidak meletakkannya sebagai keutamaan dek kerana kurang ilmu. Bagi saya, kejayaan ini bukanlah atas faktor saya seorang, bahkan yang utama sokongan dan bantuan suami tersayang. Oleh kerana saya memberikan anak susu ibu sahaja, banyak masa saya diperuntukkan untuk menyusu, perkara-perkara lain suami akan sedaya upaya membantu.

Seawal pagi suami akan bangun dan menyiapkan sarapan, menyiapkan anak-anak untuk ke sekolah, berganti memegang anak jika saya mahu solat atau hal lain dan pendek kata suami harus banyak masa di rumah membantu isteri. Tidak dinafikan tidak banyak aktiviti luar suami yang dapat disertai oleh suami walaupun untuk solat berjemaah atau kenduri dan tahlil di masjid. Ini kerana di samping perlu membantu saya semasa penyusuan, suami juga turut membantu menjaga dan memenuhi keperluan anak-anak yang lain.

Nampak kan, besarnya nilai bantuan seorang suami ketika penyusuan. Kejayaan penyusuan tidak terletak pada mahalnya pam susu sahaja, bukan juga pada set penambah pengeluaran susu sahaja, malahan merangkumi semua aspek fizikal dan mental. Jika seorang ibu berada dalam suasana tertekan, pengeluaran susu akan terganggu dan merudum. Kata-kata dari mulut sekeliling untuk menggagalkan penyusuan juga harus ditangani dengan baik  oleh suami isteri, kerana itu turut memberi kesan kepada emosi si ibu seterusnya mengganggu penyusuan.

Bagi saya, sangat besar ertinya dapat memberi susu ibu kepada anak-anak saya seperti yang ditekankan dalam Al-Quran. Tentu besar hikmahnya sehingga Allah meletakkan itu antara keutamaan dalam hak anak. Saya menyeru bakal-bakal ibu carilah ilmu penyusuan dan mintalah kepada Allah agar dimudahkan segalanya, dari Allah saranan tersebut maka kepadaNya lah kita sandarkan harapan. Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga berjumpa lagi di entri seterusnya. Wassalam


Monday, 31 March 2014

CUTI-CUTI MALAYSIA

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi




Assalamualaikum semua,


Cuti sekolah sudah berakhir, rutin harian berjalan seperti biasa. Anak-anak juga sudah ke sekolah. Hati dan fikiran saya terbang jauh terkenang percutian ke langkawi baru-baru ini. Alhamdulillah Allah murahkan rezeki kami sekeluarga untuk ke sana. Niat di hati sudah lama ingin ke langkawi tetapi tertangguh beberapa kali. Kali ini berbekalkan tiket kapal terbang percuma, angan-angan menjadi kenyataan. Hadiah tiket yang bermakna bagi saya dan keluarga.

Percutian kami 3 hari 2 malam di Langkawi, perancangan awal sudah pun dibuat, namun perancangan Allah lebih hebat. Sewaktu di sana, cuaca teramat panas, jadual percutian terpaksa diubah memandangkan anak sulung tidak sihat. Alhamdulillah di hari terakhir dia kembali aktif seperti biasa. Kami sempat mengunjungi beberapa tempat sebelum pulang.

Seakan tidak cukup 3 hari 2 malam berada di Langkawi. Sungguh saya katakan tidak puas, sangat mengujakan bercuti ke sana. Kami berdoa semoga dimurahkan rezeki untuk datang lagi.

Friday, 7 March 2014

RAGAM TAHUN BARU



Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi



Sebahagian barang yang dibeli di koperasi sekolah


Assalamualaikum semua, 


Anak sulung saya baru memasuki tahun 1, banyak perkara baru yang dilaluinya selepas melepasi fasa tadika sebelum ini. Antara perkara yang memeningkan kepala saya dan suami setiap hari ialah, anak saya sering meminta wang lebih untuk membeli itu dan ini di koperasi sekolah. Dia cemburu melihat rakan-rakan lain membeli barang yang memang amat menarik di mata kanak-kanak. Saya dan suami bertukar-tukar nasihat agar dia tidak terikut-ikut dengan kawan.

Hari demi hari ada saja cerita dari bibir anak sulung saya, barang itu ini. Sekali sekala kami layankan juga tetapi tidak selalu. Lebih banyak nasihat daripada melayan permintaan anak ini. Mengajar anak mementingkan keperluan daripada kehendak. Mudahan-mudahan dia faham juga nanti.

Tidak mudah mengajar kehidupan kepada anak, kami juga sebagai ibu bapa sentiasa belajar, masih belum sempurna. Kasih dan sayang kepada anak perlu dizahirkan melalui layanan, memenuhi permintaan dan sebagainya, namun kami juga perlu berhati-hati agar tidak tersilap langkah. Tidak ingin melihat lahir generasi seperti 'Anakku Sazali', Ya Allah berilah hidayah kepada kami dalam mendidik anak-anak kami.

Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.



Thursday, 20 February 2014

AKU HANYA PENTERJEMAH CABUK

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Google








Assalamualaikum semua,

Hari ini saya mendapat panggilan masuk satu kerja terjemahan. Teks syarahan Bahasa Melayu yang perlu diterjemah ke Bahasa Arab. Mulanya saya  agak berat kerana masa yang diberi agak singkat, memandangkan saya bekerja bersama kanak-kanak riang di rumah, saya rasa tidak sempat untuk menyiapkannya. Tetapi pihak di sana amat memerlukan khidmat saya, akhirnya saya mengalah.

Apabila teks sampai ke tangan saya, saya baca sekali imbas. Sukarnya, ujar saya di dalam hati. Ini kerana penulis teks tersebut menyiapkan tugasnya dalam keadaan pening dan serabut, saya yang membaca turut merasainya. Ada kecacatan di beberapa tempat dan harus diperbaiki kerana ia menjejaskan kerja terjemahan saya. Saya benar-benar pening.

Akhirnya saya bantu baiki sedikit teks syarahan tersebut sekadarnya dan menterjemahkannya. Tidak banyak yang dapat dibaiki kerana masa sangat suntuk. Saya dikhabarkan teks tersebut untuk pertandingan antara sekolah yang sudah sangat hampir tarikhnya. Alhamdulillah akhirnya siap juga. 

Sangat berterima kasih kepada suami yang banyak berkorban bila saya ada job 'kecemasan' begini. Fokus amat penting, memandangkan anak-anak sedang lasak dan sangat 'rajin', pertolongan suami amat bermakna. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah yang memberi kekuatan dan kesihatan sepanjang menyiapkan tugasan.

Wednesday, 18 December 2013

MENEROKA ALAM BARU

Teks     : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Google



 




Assalamualaikum semua,

Hari ini tercatat satu peristiwa baru dalam hidup saya sebagai usahawan tudung yang baru. Sudah lama ingin ke Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) meninjau-ninjau lubuk tudung di sana, baru hari ini Allah izinkan. Alhamdulillah, satu pengalaman baru. Sebelum ini saya hanya berpeluang ke sebuah kedai yang menjual secara borong di tempat lain.

Hari ini suami menjaga anak-anak, saya ke KL bersama adik lelaki saya. Alhamdulillah saya mudah sikit berurusan di KL tanpa anak-anak kecil, jika mereka dibawa pun tentu akan kepenatan nanti. Masa untuk membeli dan meninjau tudung agak terhad kerana saya harus pulang sebelum malam, jadi masa yang ada saya amat hargai, niat untuk meninjau barang peribadi saya tutup 100%. Itu tidak penting buat masa ini. Alhamdulillah dengan sedikit info dari sahabat yang tidak asing dalam ABDR, Tuan Fadzilah Tuan Sulaiman amat membantu saya dengan urusan hari ini. Sahabat saya ini tidak lokek ilmu dan panduan, semoga Allah murahkan rezeki sahabat pemurah ini. Amin.

Jalan TAR yang saya kerap pergi suatu ketika dulu, tidak banyak berubah wajah. Namun oleh kerana lama tidak menjejakkan kaki ke situ, saya agak canggung untuk mencari tempat yang ingin saya tuju. Alhamdulillah, Allah membantu melalui insan-insan yang saya rujuk. 

Kebanyakan penjual-penjual di tempat yang saya tuju menjual barang yang sama sahaja. Kanan, kiri, depan, belakang menjual tudung, kain pasang dan kain batik. Positif sungguh mereka, sungguh lah rezeki itu di tangan Allah, tanpa perlu rasa khianat, dengki atau tidak yakin menjual barang yang sama. Kadangkala berlaku sesetengah peniaga berasa tidak senang apabila ada peniaga lain menjalankan perniagaan yang sama berdekatan mereka. Tidak kurang juga yang menggunakan ilmu tidak sepatutnya untuk menjatuhkan perniagaan orang lain. 

Selayaknya kita yang mengikuti sunnah Nabi dalam berniaga, haruslah turut mengikut etika dan sunnah baginda. Barulah rezeki yang datang bergolek lebih berkat, akan terasa keberkatan dalam segenap kehidupan. Usaha yang luar biasa insya Allah akan membuahkan hasil yang luar biasa.

Jemput ke page Butik Al-Izzah, bayi baru saya, usaha kecil saya dalam dakwah menutup aurat.


Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.



 

Monday, 16 December 2013

BUAT JAHAT JANGAN SEKALI

Teks     : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi


Longgokan sampah

Pokok kelapa sawit di sepanjang jalan


Assalamualaikum semua,

Sejak kebelakangan ini saya agak rajin juga turun padang melihat perkembangan tanah yang sedang dibersihkan. Selain mengambil tahu itu dan ini, dapat juga melihat ketulusan dan keikhlasan 'uncle-uncle' yang buat kerja di situ. Bukan seorang dua malah ramai berpesan agar sentiasa mengambil tahu sebarang perkembangan kerana sudah biasa berlaku 'main tipu'. Alhamdulillah setakat ni memuaskan hati dan mudah-mudahan berterusan begitu.
Ada beberapa perkara yang menarik minat saya di awal-awal kerja menambak tanah ini. Menarik di sini bukanlah bermaksud saya suka budaya itu, tetapi kurang gemar dan gusar. Pokoknya di sini adalah sikap manusia. Kerana sikap itu lah orang lain yang merana. Saya dan suami lah antara orang yang merana itu.
Kedudukan tanah kami ialah di tepi jalan, jalan tersebut laluan utama untuk ke pantai. Seorang hamba Allah telah menanam pokok kelapa sawit secara haram di sepanjang jalan utama ini. Masalah timbul apabila pokok kelapa sawit tersebut menghalang laluan untuk ke tanah kami dan seterusnya menghalang pandangan apabila rumah siap kelak. Mahu tidak mahu kami terpaksa tebang beberapa batang pokok tersebut. Menurut 'uncle' yang meratakan tanah tersebut, kami bernasib baik kerana tidak berlaku kejadian ngeri seperti orang mengamuk atau pun orang menghunus parang kerana marah. Kami fikir, akan datang bagaimana pula untuk menghadapinya, kerana tanah ini kami akan usahakan secara berperingkat sehingga cukup 1 ekar luasnya. 
Selain itu, saya perhatikan beberapa bungkusan sampah telah dilempar di tepi tanah kami. Lebih buruk lagi, sampah-sampah itu bertaburan terkeluar dari karungnya. Pernah juga saya ternampak beberapa pemuda sedang melonggokkan sampah di situ.
Di manakah sifat perikemanusiaan mereka? Apakah yang mereka akan rasa jika mereka di tempat kami? Ya, memang benarlah orang tidak akan faham jika mereka tidak merasainya. Ayuh mari kita menjadi orang yang lebih bertanggungjawab, bertimbang rasa dan impati. Tidak rugi kita menjaga hubungan baik sesama makhluk kerana hasil tuaiannya akan berterusan hingga akhirat.


Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.

 

Saturday, 16 November 2013

LELAH HARI INI UNTUK KEBAHAGIAAN ESOK

Teks      : Norhafizah Abd Hadi
                                   
"Anak tido tak guna buaian? Macamana nak buat kerja?"
"Bagus anak guna walker, cepat pandai jalan, kaki cepat kuat, kita pun senang nak buat kerja"
    

Biasa juga saya diajukan ayat begini, bukan sekali tapi berkali-kali. Saya faham maksud mereka, untuk memudahkan tugas ibu-ibu, sesetengahnya memilih buaian dan walker dalam penjagaan anak. Segalanya terpulang kepada ibu-ibu untuk memilih yang terbaik untuk mereka dan anak mereka.

Saya memilih untuk tidak menggunakan buaian dan walker sejak anak pertama lagi. Memang sangat penat dan sungguh teruji kerana anak-anak bukan jenis yang 'campak saja tidur'. Berbagai ragam anak sebelum tidur dengan menangis tak keruan, dodoi sambil duduk atau berdiri, tidur tak lena dan sebagainya. Alhamdulillah suami sangat membantu dengan bergilir-gilir menjaga anak. Buaian masih lagi bukan pilihan kami.

Apabila anak semakin membesar, tugas semakin berat. Pergerakannya perlu dipantau sentiasa. Anak-anak saya setakat ini semuanya jenis mengutip. Apa sahaja yang dilihatnya cepat sahaja masuk ke mulut. Perkembangan dari sehari ke sehari juga boleh tahan aktifnya. Saya tidak mengambil jalan mudah dengan menggunakan walker, tetapi mencari alternatif lain demi kebaikan anak.

Saya sedar tugas seorang ibu sangat berat kerana saya juga menyusukan anak sepenuhnya. Mana mungkin dapat uruskan semuanya sesempurna mungkin, bersyukur dikurniakan suami yang sangat memahami dan sangat membantu. Tanpanya tak mungkin kami berjaya dengan misi 'no buai no walker'.

Saya kongsikan sedikit pengalaman kecil saya mengurus anak dan rumahtangga tanpa buaian dan walker : 
1)Tidurkan anak di tilam sahaja. Jika tepuk sahaja tak jalan, angkat dan dodoi anak sambil duduk, jika tak jalan juga baru dodoi sambil berdiri. Tetapi usahakan untuk duduk juga kerana ibu akan keletihan.  
2)Tidurkan anak menggunakan katil bayi. Cukup sekadar gerak-gerakkan sedikit untuk keselesaan bayi. Selain itu saya juga gunakan 'car seat'. Inovasi terkini boleh juga gunakan 'rocker' bayi. 
3)Tugas mengurus anak dan rumahtangga digalas bersama suami.  
4) Katil bayi saya gunakan sebagai anak tempat bermain. Saya akan letakkan dia berada hampir dengan saya sewaktu membuat kerja rumah. Zaman kini saya dapati 'playpen' sangat membantu para ibu untuk meletak anak mereka. 
5) Saya menggunakan kereta sorong (stroller) semaksima mungkin untuk tidurkan anak, suap anak dan merehatkan anak.

Sungguh, menjadi ibu kita perlu berfikir kreatif, mencari yang terbaik. Tetapi saya bukanlah yang terbaik di kalangan para ibu. Saya hormati pilihan yang dipilih oleh ibu-ibu di luar sana pasti ada sebabnya tersendiri. Yang penting kita berusaha, bukan?
Entry akan datang saya akan kongsikan keburukan menggunakan buaian dan walker pada bayi. Insya Allah. 

Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.

Monday, 11 November 2013

RANGSANG ANAK BELAJAR

Teks      : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi

Assalamualaikum semua,

Nampaknya tak lama lagi cuti sekolah akan bermula, saya dan suami mula merancang aktiviti untuk anak-anak, agar mereka tidak berkawan dengan televisyen sahaja.

"Sudah anak-anak, dah lama tu tengok tv"
"Jom main, jom mewarna, jom tengok buku"
"Wah, bestnya, tengok ni apa ni"
"Eh nak rasa tak, sedap betul ni"

Itu antara ayat-ayat saya untuk tukar fokus anak dari menonton televisyen kepada aktiviti lain. Boleh menonton, tetapi ada hadnya. Takut anak ketagihan.

Lumrah bagi kanak-kanak amat meminati siaran kanak-kanak di televisyen, malah boleh berjam-jam lamanya menonton. Sebagai ibu bapa prihatin kita sangat risau dengan keadaan begitu. Tidak bagus untuk perkembangan kanak-kanak menghabiskan masa dengan menonton televisyen sahaja.

Enam tahun pertama dalam kehidupan adalah masa paling penting untuk perkembangan otak anak. Anak-anak saya masih dalam kategori ini. Sebolehnya saya tidak mahu masa itu berlalu begitu sahaja. Jika kita mengetahui tahap-tahap perkembangan anak, kita dapat memaksimakan kecerdasannya.

Apa yang saya buat? Sedikit aktiviti saya programkan untuk anak-anak mengikut keselesaan saya dan anak:
  • Melukis, mewarna, menulis
  • Membaca buku bersama-sama
  • Menghafaz doa, surah pilihan, ayat pilihan
  • Membuat pembentangan atau persembahan berdasarkan doa dan surah yang dihafaz
  • Bermain dalam rumah atau luar rumah
  • Makan makanan ringan seperti buah-buahan, kekacang, jeli, kerepek dan sebagainya 
  • Membuat kunjungan ke perpustakaan









Saya suka mengutip ilmu dari semasa ke semasa tentang keibubapaan. Saya sedar, dunia semakin mencabar, pendidikan awal kanak-kanak tidak harus dikesampingkan. Biasa kita mendengar "didiklah anakmu sesuai dengan zamannya", maka sebagai ibu bapa kita harus mengejar ilmu keibubapaan mengikut peredaran zaman.

Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.

Friday, 8 November 2013

MASAM-MASAM MANIS

Teks      : Norhafizah Binti Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Binti Abd Hadi

Assalamualaikum semua,

Alhamdulillah angin petang Jumaat yang sungguh mendamaikan. Teman-teman pembaca di Perlis hinggalah ke Sabah pasti menikmati juga angin ini. Berkongsi nikmat Allah yang tak dapat dilihat tapi dapat dirasa. 

Tika ini terkenang ketenangan hidup di Borneo dulu. Tenang, jauh dari  kesibukan dan hiruk pikuk kota. Waktu yang terluang diisi dengan pelbagai aktiviti bersama teman-teman yang dianggap seperti saudara sedarah. Menikmati makanan laut dengan harga yang murah dan segar. Mula mengenali lauk seperti kijang, rusa, kancil dan landak. Sangat indah untuk dikenang. 

Udang pelbagai saiz
 
Udang kara

Ikan tembaring

Ikan jenahak


Namun suatu masa dulu saya beria-ia mahu segera berpindah ke daerah sendiri. Siksa rasanya melalui kehidupan yang tidak biasa saya lalui sebelum itu. Masalah bekalan air dan elektrik yang sering tergendala, bekalan air kotor dan bertanah, bandar yang jauh. Diibaratkan waktu itu seperti zaman datuk nenek kita dahulu.

Tadah air hujan
 
Aktiviti yang disukai anak-anak, mandi di sekolah ketika terputus bekalan air


Ketika itu, air hujan amat berharga bagi saya. Saya tadah hujan untuk kehidupan seharian, ketika ada gangguan air. Kadangkala saya menumpang bekalan air di rumah orang atau suami mengangkut air sedikit demi sedikit dari tangki sekolahnya dan paling jauh kami mencari air hingga ke bandar sambil membeli keperluan harian. 

Bekalan elektrik di tempat saya dahulu kerap kali terputus. Tidak kira siang atau malam. Memang tidak tahan duduk di rumah kepanasan. Pasti kami dengan teman-teman lain berkumpul di sekolah kerana hanya di situ sahaja ada simpanan tenaga solar. Beberapa tahun kemudian, suami membeli kipas yang boleh dicaj, alhamdulillah lega sedikit kerana waktu itu anak sudah berderet.

Kipas caj kami

Jarak tempat tinggal saya dengan bandar lebih kurang 60km. Itulah bandar yang terdekat. Agak sukar juga jika ingin mencari keperluan, terpaksa mengharungi perjalanan yang jauh. Kedai-kedai kecil ada di sekitar tempat tinggal saya namun kurang lengkap dan harga juga agak tinggi. Keunikan gaya hidup di waktu itu ialah sekiranya ada di antara kami dan teman-teman yang ingin ke bandar, sudah terbiasa adat berkirim. Tetapi hanya kiriman yang tidak menyusahkan tuan diri lah. Hospital dan pejabat-pejabat kerajaan juga jauh di bandar. Sekiranya ada hal mustahak, bermusafirlah kami ke bandar. Menjadi kebiasaan juga sekiranya banyak urusan di bandar, maka terpaksa menginap di hotel. Saat sebelum saya ke hospital untuk melahirkan anak juga saya sempat menginap di hotel. He he.









Jalan untuk ke bandar Tawau

Kini semua itu tinggal kenangan. Jika suatu masa dulu dianggap pahit, perit, tak suka, tetapi itulah yang dikenang-kenang. Bersyukur diberi peluang mengecapi nikmat pengalaman di tempat orang. Hidup harus diteruskan dengan cabaran baru di tempat baru.

Begitulah kita sebagai insan, mengikut aturan yang diaturkan oleh Allah. Belajar bersyukur dalam segala keadaan. Hidup ini umpama roda, adakala kita susah dan adakala kita senang. Lumrah lah hidup ini, di mana pun ada susah senangnya. Yang pasti kemuncak segala kebahagiaan dan kesenangan itu hanya di syurga yang abadi. Dunia hanyalah persinggahan dan ladang untuk kehidupan di akhirat. Kadangkala kita perlu merenung masa lampau agar menjadi pedoman di masa depan dan adakala kita perlu melupakan masa lampau untuk lebih maju ke hadapan. 

Tempat tinggal sekarang, 5 minit dari pantai

Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.






DESIGN BY:UMIESUEstudio/2014