Wednesday, 14 May 2014

TUDUNG MASUK STUDIO


 








Assalamualaikum semua,

Alhamdulillah jualan tudung saya bulan lalu agak memberangsangkan. Rasa teruja dan bersemangat untuk teruskan jualan, namun keadaan itu tidak berulang di bulan ini. Perasaan sedikit kecewa, namun begitulah asam garam berniaga, ada masa turun naik.

Saya dan suami berbincang mencari punca dan penyelesaian hal tersebut. Kami sepakat untuk menggunakan model bagi tujuan promosi tudung kami. Alhamdulillah Allah mudahkan segala perancangan, maka tudung-tudung kami pun masuk studio. Satu pengalaman baru buat saya dan suami. Berniaga memang tidak mudah, ramai orang menyangka orang berniaga wang masuk setiap hari, tetapi wang tersebut bukan masuk dengan sendirinya. He he.

Tidak dinafikan promosi jualan dengan menampilkan gambar yang berkualiti dan menarik antara tips yang dititik beratkan dalam jualan dalam talian (online). Namun peniaga harus memperuntukkan sedikit modal untuk tujuan tersebut. Alhamdulillah saya dapat mengurangkan kos tersebut kerana suami jurugambarnya, model pula kami ambil saudara terdekat dan studio pula kami sewa dengan harga istimewa kerana studio tersebut milik rakan suami. Anak-anak kecil kami dijaga sementara oleh pembantu mingguan di rumah kami, syukur segala tugasan lancar tanpa gangguan.

Para pembaca budiman boleh layari page BUTIK AL-IZZAH https://www.facebook.com/butikalizzah?ref=hl untuk melihat pilihan tudung yang ada. Selain itu ada juga busana muslimah yang sesuai untuk ibu-ibu yang menyusukan anak. Jemput singgah!

Monday, 31 March 2014

CUTI-CUTI MALAYSIA

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi




Assalamualaikum semua,


Cuti sekolah sudah berakhir, rutin harian berjalan seperti biasa. Anak-anak juga sudah ke sekolah. Hati dan fikiran saya terbang jauh terkenang percutian ke langkawi baru-baru ini. Alhamdulillah Allah murahkan rezeki kami sekeluarga untuk ke sana. Niat di hati sudah lama ingin ke langkawi tetapi tertangguh beberapa kali. Kali ini berbekalkan tiket kapal terbang percuma, angan-angan menjadi kenyataan. Hadiah tiket yang bermakna bagi saya dan keluarga.

Percutian kami 3 hari 2 malam di Langkawi, perancangan awal sudah pun dibuat, namun perancangan Allah lebih hebat. Sewaktu di sana, cuaca teramat panas, jadual percutian terpaksa diubah memandangkan anak sulung tidak sihat. Alhamdulillah di hari terakhir dia kembali aktif seperti biasa. Kami sempat mengunjungi beberapa tempat sebelum pulang.

Seakan tidak cukup 3 hari 2 malam berada di Langkawi. Sungguh saya katakan tidak puas, sangat mengujakan bercuti ke sana. Kami berdoa semoga dimurahkan rezeki untuk datang lagi.

Friday, 7 March 2014

RAGAM TAHUN BARU



Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi



Sebahagian barang yang dibeli di koperasi sekolah


Assalamualaikum semua, 


Anak sulung saya baru memasuki tahun 1, banyak perkara baru yang dilaluinya selepas melepasi fasa tadika sebelum ini. Antara perkara yang memeningkan kepala saya dan suami setiap hari ialah, anak saya sering meminta wang lebih untuk membeli itu dan ini di koperasi sekolah. Dia cemburu melihat rakan-rakan lain membeli barang yang memang amat menarik di mata kanak-kanak. Saya dan suami bertukar-tukar nasihat agar dia tidak terikut-ikut dengan kawan.

Hari demi hari ada saja cerita dari bibir anak sulung saya, barang itu ini. Sekali sekala kami layankan juga tetapi tidak selalu. Lebih banyak nasihat daripada melayan permintaan anak ini. Mengajar anak mementingkan keperluan daripada kehendak. Mudahan-mudahan dia faham juga nanti.

Tidak mudah mengajar kehidupan kepada anak, kami juga sebagai ibu bapa sentiasa belajar, masih belum sempurna. Kasih dan sayang kepada anak perlu dizahirkan melalui layanan, memenuhi permintaan dan sebagainya, namun kami juga perlu berhati-hati agar tidak tersilap langkah. Tidak ingin melihat lahir generasi seperti 'Anakku Sazali', Ya Allah berilah hidayah kepada kami dalam mendidik anak-anak kami.

Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.



Monday, 3 March 2014

TERUJA!

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi








Assalamualaikum semua,

Hujung minggu yang baru sahaja berlalu, amat bererti buat saya. Alhamdulillah gembira tidak terkata. Saya dapat menjejaki sebuah kedai tudung yang baru beroperasi. Sebelum ini kedai tersebut menjual secara kecil-kecilan sahaja. Sudah bertambah maju perniagaannya, inspirsi buat saya.

Sudah lama saya membelek tudung-tudung yang dijual oleh kedai ini, rasa teruja walaupun hanya menerusi internet. Apabila berpeluang ke kedainya, memang wajib saya borong banyak-banyak. Tambahan pula ada saiz labuh dan potongan menarik yang saya cari selama ini. Memang satu bonus. Pelanggan saya sudah pun menempah tudung tersebut sebelum saya ambil stok ke kedai. Bukan saya sahaja yang teruja, bahkan pelanggan saya juga.

Alhamdulillah, syukur Allah membuka lorong dan jalan. Allah juga yang memudahkan. Semoga syukur saya sentiasa bertambah. Amal bertambah.

Bagi penggemar tudung labuh, boleh dapatkan tudung baru ini di  https://www.facebook.com/butikalizzah

Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.

Sunday, 2 March 2014

PANGGILAN PULANG

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi





Assalamualaikum semua,

Malam ini keluarga besar saya berkumpul beramai-ramai dan pilihan aktiviti untuk kali ini ialah makan luar. Orang yang mahu belanja makan besar pada malam ini memilih Medan Ikar Bakar Jeram. Selepas maghrib kami semua sudah pun berada di sana. Memandangkan malam itu malam minggu, memang lokasi tersebut banjir dengan orang ramai.

Saya anak beranak duduk makan tidak jauh dari meja ibu dan ayah saya. Ketika makan, ibu ada bersuara kepada saya, "lama dah tak balik kampung". Terkedu juga saya mendengarnya, saya tersenyum dan menjawab ringkas. Dalam kepala saya puas mengingat bila kali terakhir saya pulang ke kampung. Bila saya bertanya kepada suami, rupanya baru sahaja kami pulang. Minggu lepas kami tidak dapat ke mana-mana kerana saya berhempas pulas menyiapkan terjemahan. Minggu sebelumnya memang kami ada pulang. Suami menyambung, "Biasalah orang tua. Lagi pun kita dekat, walaupun baru balik tapi rasa dah lama".

Benar apa yang diucap oleh suami. Jauh di sudut hati, saya mendoakan kesejahteraan ibu bapa saya, semoga Allah memelihara mereka kerana saya tidak dapat berada di sisi mereka setiap hari. Ya Allah ampunkan saya.  

Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.


Thursday, 20 February 2014

AKU HANYA PENTERJEMAH CABUK

Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Google








Assalamualaikum semua,

Hari ini saya mendapat panggilan masuk satu kerja terjemahan. Teks syarahan Bahasa Melayu yang perlu diterjemah ke Bahasa Arab. Mulanya saya  agak berat kerana masa yang diberi agak singkat, memandangkan saya bekerja bersama kanak-kanak riang di rumah, saya rasa tidak sempat untuk menyiapkannya. Tetapi pihak di sana amat memerlukan khidmat saya, akhirnya saya mengalah.

Apabila teks sampai ke tangan saya, saya baca sekali imbas. Sukarnya, ujar saya di dalam hati. Ini kerana penulis teks tersebut menyiapkan tugasnya dalam keadaan pening dan serabut, saya yang membaca turut merasainya. Ada kecacatan di beberapa tempat dan harus diperbaiki kerana ia menjejaskan kerja terjemahan saya. Saya benar-benar pening.

Akhirnya saya bantu baiki sedikit teks syarahan tersebut sekadarnya dan menterjemahkannya. Tidak banyak yang dapat dibaiki kerana masa sangat suntuk. Saya dikhabarkan teks tersebut untuk pertandingan antara sekolah yang sudah sangat hampir tarikhnya. Alhamdulillah akhirnya siap juga. 

Sangat berterima kasih kepada suami yang banyak berkorban bila saya ada job 'kecemasan' begini. Fokus amat penting, memandangkan anak-anak sedang lasak dan sangat 'rajin', pertolongan suami amat bermakna. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah yang memberi kekuatan dan kesihatan sepanjang menyiapkan tugasan.

Saturday, 1 February 2014

OH JADUAL BARU

Teks     : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi dan Google

Assalamualaikum semua,

Alhamdulillah masih diberi peluang menikmati segalanya pinjaman dari Allah, semoga diri ini sentiasa ingat semua adalah pinjaman, sampai masa akan diambil oleh pemiliknya.

Sedar tak sedar sudah masuk bulan kedua dalam tahun 2014. Tahun yang agak huru hara di awalnya bagi saya kerana perubahan jadual rutin. Alhamdulillah sudah semakin serasi dengan jadual yang baru namun agak lelah mengejar masa. Suka duka perjalanan seorang 'work at home mother', sarat dengan pelbagai rasa.

Allah, ku mohon kekuatan untuk meneruskan kehidupan. Ilahi, ku mohon kesabaran untuk menghadapi segala ujian. TanpaMu siapalah diriku.


Tugas di rumah yang tidak pernah habis
 
Mengurus anak yang baru masuk darjah 1 dan baru tadika, pengalaman baru buat ibunya

Menguruskan bisnes online dan kerja terjemahan bersama si kecil, sangat mengharukan






































Friday, 24 January 2014

PERGI TAK KEMBALI

Teks      : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Google
 
 
 
 
 
 
Pagi ini aktiviti harian berjalan seperti biasa, namun agak lambat kerana empunya diri agak keletihan pulang lewat malam tadi dari Slim River, Perak. Mengantuk dan letih bersatu.
 
Namun perasaan itu hilang serta merta tatkala menerima khabar pakcik sudah pergi selama-lamanya di katil Hospital Slim River. Lantas kami bersiap untuk menziarahi jenazahnya di Hulu Selangor. Sepanjang perjalanan kami ajari anak-anak berdoa untuk jenazah. Kami berdoa bersama-sama. 

Alhamdulillah segala urusan Allah mudahkan, jenazah pakcik selamat disemadikan, semoga rohnya tergolong bersama para Solihin. Menjelang petang kami meminta izin untuk pulang, tidak dapat berlama di situ kerana ada temujanji di malam hari bersama pelajar-pelajar. 

Hati mencongak-congak usia diri ini, amalan masih belum banyak. Namun ajal terasa semakin mendekat. Ya Allah, bantulah kami dalam mengingatiMu, bersyukur kepadaMu dan memperbaiki ibadah kami  kepada-Mu, amin.

Thursday, 23 January 2014

PAKCIK OH PAKCIK

Teks     : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi






Hari ini kami adik-beradik berborak seperti biasa di aplikasi 'WhattsApp', tiba-tiba salah seorang kakak memberitahu pakcik kami berada di hospital kerana jatuh di tangga rumahnya. Keadaannya dikhabarkan agak membimbangkan. Pastinya saya risau selepas mendengar berita tersebut.

Kami semua mengikuti setiap perkembangan pakcik, hati meronta ingin melihat keadaannya tetapi keadaan belum mengizinkan. Dalam perancangan bersama beberapa adik-beradik, kami akan melawatnya pada hari Sabtu, insyaAllah. Namun berita yang diterima mengatakan pakcik semakin kritikal dan menurut doktor mungkin akan pergi bila-bila masa sahaja. 

Petang itu juga suami mengajak ke Hospital Slim River, agak jauh juga perjalanan, kami sampai di sana ketika waktu maghrib. Alhamdulillah dapat melihat keadaan pakcik dan mendoakan yang terbaik untuknya. Sempat juga saya bisikkan zikrullah dan mohon ampun darinya walaupun dia tidak sedarkan diri ketika itu. 

Usai melawat pakcik, kami pulang dalam keharuan. Sedih melihat keadaannya, namun doa tidak putus untuknya. Hari ini dia diuji, nasib kita belum tentu lagi. Astaghfirullah.

Wednesday, 22 January 2014

PENGEMIS DOA

Teks      : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Google





Assalamualaikum semua,

Sedar tak sedar Januari sudah menghampiri ke penghujungnya. Hampir sebulan jugalah saya dan suami menyusun hidup baru di tahun 2014 ini. Setiap hari sentiasa menambah baik kekurangan yang ada dan membaiki setiap cela. 

Jadual harian saya turut berubah pada tahun ini, sedaya upaya saya mengurus cabaran yang datang dengan rasa positif. Kadangkala lelah juga ditimpa pelbagai perasaan namun cuba agar tidak rebah. Perlahan-lahan mengumpul kekuatan. Memang tidak mudah, itulah tarbiah dari Allah.

Sesungguhnya kita hanyalah hambaNya, pasti diuji, bukan kerana benciNya tetapi kerana kasihNya. Maka kerana itulah Allah berfirman:

Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
(Al-Ankabut: 2-3)

Ya Allah, kuatkanlah semangatku.

Tuesday, 21 January 2014

MAKANAN KETURUNAN SAYA :-)

Teks     : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi dan Google

Assalamualaikum semua,

Sudah setahun saya dan keluarga berpindah ke selangor, dalam waktu yang berlalu itu dapur saya tidak seproduktif seperti ketika menetap di bumi Sabah. Anak-anak juga meluahkan rasa amat rindukan air tangan ibu mereka seperti dahulu. Bukan saya tidak masak atau menjamu mereka dengan air tangan saya, cuma tidak setanding dahulu. Jika dahulu, pantang teringin, tersebut, teringat dan macam-macam ter lagi memang akan jadilah hidangan tersebut depan mata. Tidak kira kuih, kek, cendol, makanan ringan hinggalah ke makanan berat. Maklumlah tinggal di perantauan, sering teringin makanan di tempat sendiri.

Hari ini saya rasa bersemangat sekali membuat sambal pecal. Pecal adalah sejenis makanan orang Jawa, dan semestinya makanan kegemaran saya sekeluarga. Sudah lama juga saya tidak membuat sendiri sambal ini. 

Sambal pecal dalam proses pembikinan  





 
Beginilah hasilnya


Bahan-bahan yang saya gunakan ialah :
Kacang tanah
Cili kering
Cekur
Bawang merah, bawang putih
Daun limau purut
Asam jawa
Garam 
Gula 

Selain digunakan dalam menu pecal, sambal ini juga boleh dibuat cicah bersama cekodok, lauk pauk dan sebagainya mengikut selera masing-masing. Sambal ini banyak dijual di kedai atau di pasar, mudah sahaja, hanya bancuh dengan air ketika mahu disajikan.


Pecal


Bila sudah ada sambalnya, tidak sabar pula hendak menyediakan menu pecal di rumah. Insya Allah jika berkesempatan, menu kami sekeluarga esok ialah pecal. Selamat mencuba ya semua.

Saturday, 11 January 2014

ANAK VS MAINAN

Teks      : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi

Khemah lama yang baru dikeluarkan dari simpanan
Bermain pasir ajaib dalam kolam mandi

Assalamualaikum semua,
Alhamdulillah, hari Jumaat yang berkat datang lagi. Rasa pantasnya masa berlalu, tidak sedar sudah masuk penghulu hari sekali lagi. Sejuk dan redup sahaja hari ini, tambahan pula hujan sekejap-sekejap membasahi bumi. Nyaman sungguh rasanya.

Anak sulung sudah ke sekolah, manakala dua orang lagi masih enak diulit mimpi, cuaca begini memang bahagia sangat tidur. Saya ambil peluang menyiapkan kerja sementara belum ada 'gangguan'. Antara tugas wajib ialah mengutip mainan di seluruh ruang. Hero kecil saya memang juara membawa mainan ke serata kawasan.

Saya perasan anak-anak saya biasa akan jemu dengan mainan mereka. Hendak belikan selalu bukanlah pilihan saya. Saya cuba amalkan beberapa cara agar mereka tetap tertarik dengan permainan mereka:

*   Menyimpan permainan dalam beberapa bekas berasingan. Keluarkan setiap bekas mengikut pusingan satu persatu. Selain memudahkan ibu untuk mengemas, anak juga akan lebih tertarik kerana terasa seperti sudah lama tidak bermain permainan tersebut.

*  Menukar persekitaran tempat permainan mereka. Misalnya menggunakan tikar evamatik, khemah atau pondok-pondok. Kanak-kanak akan berimaginasi dengan suasana baru walaupun dengan permainan lama mereka.

*  Mencuci atau membersihkan permainan. Anak rasa teruja apabila melihat permainan mereka dibersihkan dan akan lebih menghargai. 

*  Pelbagaikan cara bermain mengikut kesesuaian. Misalnya sejenis permainan boleh digunakan untuk bermain pasir pantai, adakalanya untuk bermain masak-masak, manakala permainan lain boleh digunakan untuk menambah keseronokan anak di kamar mandi. 

Banyak cara boleh digunakan namun ini hanya sebahagian sahaja sekadar perkongsian. Anak-anak kita sangat kreatif dalam segala hal, namun itu menjadikan kita lebih kreatif untuk menghadapi setiap situasi. Subhanallah indahnya aturan Allah.

Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.

Tuesday, 24 December 2013

BUTIK BERGERAK

Teks      : Norhafizah Abd Hadi
Gambar  : Norhafizah Abd Hadi


Berkumpul sambil menjamu mata tengok tudung


Keriangan di taman tema air


Keriangan bersukaneka

Assalamualaikum semua,

Minggu yang lalu terlakar kenangan indah bagi keluarga besar Abd Hadi. Berkumpul, bermain, bergurau senda dan membuat aktiviti bersama dalam hari keluarga yang sudah masuk kali keempat. Alhamdulillah, syukur atas nikmat ukhwah dan kasih sayang.

Bagi keluarga besar seperti ini agak susah untuk berkumpul memandangkan masing-masing tinggal di serata Malaysia bahkan ada yang sedang menuntut di luar negara. Biasanya hanya berjumpa di 'Facebook' atau 'WhattsApp' sahaja. Namun nikmat pertemuan 'secara langsung' lebih membuahkan aura yang sangat mengujakan.

Dalam pertemuan itu sempat saya membuka 'butik' untuk jualan di kalangan ahli keluarga sahaja. Alhamdulillah sambutan sangat baik. Anak saya turut menjadi pembantu jualan tidak rasmi, boleh tahan ada bakat rupanya, he he.

Saya teringat pesan guru, untuk menjadi yang lebih baik, harus bijak gunakan ruang dan peluang yang ada. Peluang tak selalu datang, sekali ia datang bergolek manfaatkanlah sebaiknya. Peluang bisnes ini hanya kisah beberapa peratus sahaja, pokoknya tidak rugi kita merebut peluang untuk kejayaan dunia dan akhirat. HAYYA 'ALAL FALAAH! Marilah menuju kejayaan.

Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.

Wednesday, 18 December 2013

MENEROKA ALAM BARU

Teks     : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Google



 




Assalamualaikum semua,

Hari ini tercatat satu peristiwa baru dalam hidup saya sebagai usahawan tudung yang baru. Sudah lama ingin ke Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) meninjau-ninjau lubuk tudung di sana, baru hari ini Allah izinkan. Alhamdulillah, satu pengalaman baru. Sebelum ini saya hanya berpeluang ke sebuah kedai yang menjual secara borong di tempat lain.

Hari ini suami menjaga anak-anak, saya ke KL bersama adik lelaki saya. Alhamdulillah saya mudah sikit berurusan di KL tanpa anak-anak kecil, jika mereka dibawa pun tentu akan kepenatan nanti. Masa untuk membeli dan meninjau tudung agak terhad kerana saya harus pulang sebelum malam, jadi masa yang ada saya amat hargai, niat untuk meninjau barang peribadi saya tutup 100%. Itu tidak penting buat masa ini. Alhamdulillah dengan sedikit info dari sahabat yang tidak asing dalam ABDR, Tuan Fadzilah Tuan Sulaiman amat membantu saya dengan urusan hari ini. Sahabat saya ini tidak lokek ilmu dan panduan, semoga Allah murahkan rezeki sahabat pemurah ini. Amin.

Jalan TAR yang saya kerap pergi suatu ketika dulu, tidak banyak berubah wajah. Namun oleh kerana lama tidak menjejakkan kaki ke situ, saya agak canggung untuk mencari tempat yang ingin saya tuju. Alhamdulillah, Allah membantu melalui insan-insan yang saya rujuk. 

Kebanyakan penjual-penjual di tempat yang saya tuju menjual barang yang sama sahaja. Kanan, kiri, depan, belakang menjual tudung, kain pasang dan kain batik. Positif sungguh mereka, sungguh lah rezeki itu di tangan Allah, tanpa perlu rasa khianat, dengki atau tidak yakin menjual barang yang sama. Kadangkala berlaku sesetengah peniaga berasa tidak senang apabila ada peniaga lain menjalankan perniagaan yang sama berdekatan mereka. Tidak kurang juga yang menggunakan ilmu tidak sepatutnya untuk menjatuhkan perniagaan orang lain. 

Selayaknya kita yang mengikuti sunnah Nabi dalam berniaga, haruslah turut mengikut etika dan sunnah baginda. Barulah rezeki yang datang bergolek lebih berkat, akan terasa keberkatan dalam segenap kehidupan. Usaha yang luar biasa insya Allah akan membuahkan hasil yang luar biasa.

Jemput ke page Butik Al-Izzah, bayi baru saya, usaha kecil saya dalam dakwah menutup aurat.


Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.



 

Monday, 16 December 2013

BUAT JAHAT JANGAN SEKALI

Teks     : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi


Longgokan sampah

Pokok kelapa sawit di sepanjang jalan


Assalamualaikum semua,

Sejak kebelakangan ini saya agak rajin juga turun padang melihat perkembangan tanah yang sedang dibersihkan. Selain mengambil tahu itu dan ini, dapat juga melihat ketulusan dan keikhlasan 'uncle-uncle' yang buat kerja di situ. Bukan seorang dua malah ramai berpesan agar sentiasa mengambil tahu sebarang perkembangan kerana sudah biasa berlaku 'main tipu'. Alhamdulillah setakat ni memuaskan hati dan mudah-mudahan berterusan begitu.
Ada beberapa perkara yang menarik minat saya di awal-awal kerja menambak tanah ini. Menarik di sini bukanlah bermaksud saya suka budaya itu, tetapi kurang gemar dan gusar. Pokoknya di sini adalah sikap manusia. Kerana sikap itu lah orang lain yang merana. Saya dan suami lah antara orang yang merana itu.
Kedudukan tanah kami ialah di tepi jalan, jalan tersebut laluan utama untuk ke pantai. Seorang hamba Allah telah menanam pokok kelapa sawit secara haram di sepanjang jalan utama ini. Masalah timbul apabila pokok kelapa sawit tersebut menghalang laluan untuk ke tanah kami dan seterusnya menghalang pandangan apabila rumah siap kelak. Mahu tidak mahu kami terpaksa tebang beberapa batang pokok tersebut. Menurut 'uncle' yang meratakan tanah tersebut, kami bernasib baik kerana tidak berlaku kejadian ngeri seperti orang mengamuk atau pun orang menghunus parang kerana marah. Kami fikir, akan datang bagaimana pula untuk menghadapinya, kerana tanah ini kami akan usahakan secara berperingkat sehingga cukup 1 ekar luasnya. 
Selain itu, saya perhatikan beberapa bungkusan sampah telah dilempar di tepi tanah kami. Lebih buruk lagi, sampah-sampah itu bertaburan terkeluar dari karungnya. Pernah juga saya ternampak beberapa pemuda sedang melonggokkan sampah di situ.
Di manakah sifat perikemanusiaan mereka? Apakah yang mereka akan rasa jika mereka di tempat kami? Ya, memang benarlah orang tidak akan faham jika mereka tidak merasainya. Ayuh mari kita menjadi orang yang lebih bertanggungjawab, bertimbang rasa dan impati. Tidak rugi kita menjaga hubungan baik sesama makhluk kerana hasil tuaiannya akan berterusan hingga akhirat.


Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.

 

BUTIK AL-IZZAH

Teks     : Norhafizah Abd Hadi

Gambar : Norhafizah Abd Hadi





Assalamualaikum semua,

Alhamdulillah puji dan syukur saya panjatkan kepada Allah, sumber pertolongan, sumber kekuatan, sumber rezeki dan Dia lah yang Maha Agung. Berkat doa semua, akhirnya lahirlah Butik Al-Izzah. 
Butik ini secara peribadinya adalah salah satu medan dakwah, mengajak dan memberi inspirasi muslimah dalam menutup aurat. Selain itu, butik online ini menyediakan ruang bagi muslimah untuk membeli belah dengan harga menarik dan pilihan terbaik.

Setakat ini Butik Al-Izzah menjual tudung, t-shirt Muslimah dan t-shirt menyusu. Insya Allah pada masa akan datang beberapa produk lain akan dijual. Para pembeli pasti berpuas hati dengan kualiti barangan yang saya jual di butik online ini. Selain itu ada tawaran menarik menanti pelanggan setia, jadi rajin-rajin lah singgah dan beli di butik saya. Tanpa pelanggan, siapalah saya.

Jom ramai-ramai meriahkan Butik Al-Izzah, https://www.facebook.com/butikalizzah

Terima kasih atas sokongan kalian. Hanya Allah yang dapat membalasnya.


Sunday, 15 December 2013

BERKAT LANGIT CERAH

Teks     : Norhafizah Abd Hadi

Gambar : Norhafizah Abd Hadi


Assalamualaikum semua,
Alhamdulillah berkat doa semua, kini kami sekeluarga sihat, cuma tinggal batuk dan selsema yang semakin pulih. Terima kasih atas doa kalian.
Syukur alhamdulillah cuaca sekarang cerah secerahnya, tidak seperti sebelum ini hujan berpanjangan. Rezeki dan peluang yang ada ini saya dan suami gunakan untuk memulakan projek di tanah kami. Niat dan hajat kami ingin membina sebuah rumah kecil untuk dijadikan homestay (inap desa). Mudah-mudahan Allah mudahkan segalanya.

Projek bermula dengan menebang pokok-pokok sawit yang ditanam di tanah tersebut, seterusnya urusan menambak dengan tanah merah. Cuaca baik sekarang ini sangat membantu, cuma beringat-ingat sedikit bekerja di bawah terik mentari, takut demam panas dan memudaratkan diri. 

Projek berfasa ini kami rancang akan berterusan hingga tahun hadapan. Banyak lagi yang perlu kami rancang dan usahakan untuk merealisasikan impian kami. Tidak ketinggalan, ilmu juga perlu ditambah dari semasa ke semasa. Semakin banyak ilmu dipelajari, semakin banyak yang kami tidak tahu. 

Mudah-mudahan Allah memberkati usaha kami ini. Kita merancang, Allah merancang, perancangan Allah jua yang terbaik.

Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.

Thursday, 12 December 2013

CUTI AKHIR TAHUN YANG HEBAT

Teks      : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi
 
 
Anakanda demam
 
 
Assalamualaikum semua,
 
Saya ada berniat untuk marathon menghabiskan 44 entri semasa cuti sekolah akhir tahun ini, namun saya juga harus akur Allah juga merancang sesuatu untuk saya. Saya masih tidak dapat mencapai impian saya yang satu itu dek ujian satu persatu. Namun, saya akan lakukannya walau lambat macam siput sekalipun. He he.

Bermula dengan episod saya demam sebelum ini, bertukar episod anak-anak pula demam. Mungkin kurang rehat kerana menjaga anak-anak, saya sekali lagi demam dan diikuti suami pula. Lahaula wala quwwata illa billah, memang teruji sungguh saat itu. Tiada daya dan kekuatan, hanya berdoa semoga diberi kekuatan oleh Allah. Alhamdulillah kini beransur sihat walaupun belum sepenuhnya.

Sebenarnya bukan keluarga saya sahaja yang demam, malah ibu saya, anak-anak saudara juga turut demam. Semua pada waktu yang sama, kebetulannya begitu. Semoga Allah memberi kesihatan dan maghfirah kepada kami dan anda semua.

Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.

Saturday, 7 December 2013

ASYIK DAN TERUJA

Teks      : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi



Assalamualaikum semua,

Semalam merupakan waktu yang ditunggu-tunggu oleh anak sulung saya. Hannan mula masuk kelas mewarna dan melukis di sebuah pusat pembelajaran berhampiran rumah kami. Dia sangat teruja!

Tenaga pengajar di situ berbangsa Cina dan majoriti pelajar di situ juga berbangsa Cina, anak saya merupakan pelajar tunggal Melayu dalam kelasnya. Keadaan tersebut sedikit pun tidak melunturkan semangat anak saya untuk belajar, malah lebih bersemangat melihat hasil tangannya sendiri dan pelajar lain.

Saya dan suami memilih kelas mewarna untuk Hannan sebagai pengisian cuti sekolah. Malah lebih kepada alternatif supaya anak tidak bergantung kepada televisyen dan gajet. Mewarna dan melukis mampu membuatkannya khayal dalam dunianya dan kami lebih senang begitu berbanding jika dia khayal bermain gajet dan menonton televisyen. Malah, pemikirannya  juga akan lebih fokus dan membina minda kreatif.

Kelas mewarna dan melukis berlangsung selama satu jam setengah dan sekali seminggu. Anak saya tidak dapat terima hakikat itu, dia mahu kelas itu berlangsung setiap hari! Oh anakku.



Monday, 2 December 2013

RUANG DAN PELUANG BISNES

Teks      : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi

 

 


 “Eh dah habis la rempeyek ni, pesan kat tuannya hantar rempeyek lagi ya”, ujar ibu mertua kepada suami.

“Belum sampai lagi lah stok baru, kita bungkus kerepek sendiri lah jom, kita jual”, kata ibu kepada suami beberapa hari kemudian.

Petang itu juga suami saya membeli beberapa jenis kerepek secara borong dan kami terus memulakan proses membungkus dan melabel dibantu oleh anak sulung kami yang sangat teruja ingin membantu. Hingga larut malam mereka bekerjasama. Esoknya bungkusan-bungkusan kerepek selamat disusun di restoran ibu mertua. Kerepek bergandingan dengan rempeyek yang sedia ada, memberi variasi dan tarikan pelanggan. Alhamdulillah sambutan agak menggalakkan.

Kadangkala kita hanya perlu bijak mengambil peluang atas ruang yang ada untuk menjana pendapatan. Peluang tidak selalu datang bergolek, ruang ada harus dimanfaatkan sebaiknya. Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit, kerepek ini meskipun nampak kecil dan sedikit tetapi mampu memberi keuntungan 100%. Usaha kecil-kecilan ini saya dan suami jalankan dari rumah sahaja.

ALAHAI



Teks : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Google

Assalamualaikum semua,
                                                                


Sudah lama saya tidak kemaskini blog, bermula dari masalah internet berlarutan beberapa hari, demam dan akhirnya sibuk dengan urusan perkahwinan saudara terdekat. Alasan banyak ye Puan Norhafizah, nak kena rotan dengan Cikgu Masayu la tu, he he.

Hari ini rumah saya didatangi dua orang pekerja TNB untuk mengganti meter yang rosak. Pada waktu yang sama, suami pula tiada di rumah. Ketukan demi ketukan di pintu minta dijenguk.Usai menyarung jubah dan tudung, saya segera menunjukkan muka. Mereka menyatakan tujuan kedatangan mereka lantas memulakan kerja.

Saya kembali semula menyelesaikan tugasan rumah dan melayan karenah anak. Tidak lama kemudian, pintu kembali diketuk. Ada kecemasan barangkali orang ini getus saya di dalam hati. Semakin kuat ketukan, bagai mahu runtuh pintu rumah saya. Saya agak panas dengan kelakuan begitu lantas melaung “Sekejap ye, nak pakai tudung!”. Serta merta ketukan di pintu terhenti. Mana mungkin saya boleh menerpa membuka pintu, perlu sarung jubah dan tudung dahulu. 

Alahai kaum Adam, sungguh pun kau perlu bersegera, namun jangan kau lupa tanggungjawab kaum Hawa menjaga auratnya. Tidak semudahnya memberi peluang kepada yang bukan mahram untuk melihatnya. Semoga kau beroleh petunjuk dan hidayah Ilahi. Sama-sama mendapat pengajaran pada hari ini.

Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.
DESIGN BY:UMIESUEstudio/2014