Friday, 8 November 2013

MASAM-MASAM MANIS

Teks      : Norhafizah Binti Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Binti Abd Hadi

Assalamualaikum semua,

Alhamdulillah angin petang Jumaat yang sungguh mendamaikan. Teman-teman pembaca di Perlis hinggalah ke Sabah pasti menikmati juga angin ini. Berkongsi nikmat Allah yang tak dapat dilihat tapi dapat dirasa. 

Tika ini terkenang ketenangan hidup di Borneo dulu. Tenang, jauh dari  kesibukan dan hiruk pikuk kota. Waktu yang terluang diisi dengan pelbagai aktiviti bersama teman-teman yang dianggap seperti saudara sedarah. Menikmati makanan laut dengan harga yang murah dan segar. Mula mengenali lauk seperti kijang, rusa, kancil dan landak. Sangat indah untuk dikenang. 

Udang pelbagai saiz
 
Udang kara

Ikan tembaring

Ikan jenahak


Namun suatu masa dulu saya beria-ia mahu segera berpindah ke daerah sendiri. Siksa rasanya melalui kehidupan yang tidak biasa saya lalui sebelum itu. Masalah bekalan air dan elektrik yang sering tergendala, bekalan air kotor dan bertanah, bandar yang jauh. Diibaratkan waktu itu seperti zaman datuk nenek kita dahulu.

Tadah air hujan
 
Aktiviti yang disukai anak-anak, mandi di sekolah ketika terputus bekalan air


Ketika itu, air hujan amat berharga bagi saya. Saya tadah hujan untuk kehidupan seharian, ketika ada gangguan air. Kadangkala saya menumpang bekalan air di rumah orang atau suami mengangkut air sedikit demi sedikit dari tangki sekolahnya dan paling jauh kami mencari air hingga ke bandar sambil membeli keperluan harian. 

Bekalan elektrik di tempat saya dahulu kerap kali terputus. Tidak kira siang atau malam. Memang tidak tahan duduk di rumah kepanasan. Pasti kami dengan teman-teman lain berkumpul di sekolah kerana hanya di situ sahaja ada simpanan tenaga solar. Beberapa tahun kemudian, suami membeli kipas yang boleh dicaj, alhamdulillah lega sedikit kerana waktu itu anak sudah berderet.

Kipas caj kami

Jarak tempat tinggal saya dengan bandar lebih kurang 60km. Itulah bandar yang terdekat. Agak sukar juga jika ingin mencari keperluan, terpaksa mengharungi perjalanan yang jauh. Kedai-kedai kecil ada di sekitar tempat tinggal saya namun kurang lengkap dan harga juga agak tinggi. Keunikan gaya hidup di waktu itu ialah sekiranya ada di antara kami dan teman-teman yang ingin ke bandar, sudah terbiasa adat berkirim. Tetapi hanya kiriman yang tidak menyusahkan tuan diri lah. Hospital dan pejabat-pejabat kerajaan juga jauh di bandar. Sekiranya ada hal mustahak, bermusafirlah kami ke bandar. Menjadi kebiasaan juga sekiranya banyak urusan di bandar, maka terpaksa menginap di hotel. Saat sebelum saya ke hospital untuk melahirkan anak juga saya sempat menginap di hotel. He he.









Jalan untuk ke bandar Tawau

Kini semua itu tinggal kenangan. Jika suatu masa dulu dianggap pahit, perit, tak suka, tetapi itulah yang dikenang-kenang. Bersyukur diberi peluang mengecapi nikmat pengalaman di tempat orang. Hidup harus diteruskan dengan cabaran baru di tempat baru.

Begitulah kita sebagai insan, mengikut aturan yang diaturkan oleh Allah. Belajar bersyukur dalam segala keadaan. Hidup ini umpama roda, adakala kita susah dan adakala kita senang. Lumrah lah hidup ini, di mana pun ada susah senangnya. Yang pasti kemuncak segala kebahagiaan dan kesenangan itu hanya di syurga yang abadi. Dunia hanyalah persinggahan dan ladang untuk kehidupan di akhirat. Kadangkala kita perlu merenung masa lampau agar menjadi pedoman di masa depan dan adakala kita perlu melupakan masa lampau untuk lebih maju ke hadapan. 

Tempat tinggal sekarang, 5 minit dari pantai

Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.






Thursday, 7 November 2013

RAMAH MESRA HUJUNG MINGGU



Teks      : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi

Assalamualaikum semua,


Jemaah haji sudah beransur pulang selepas selesai mengerjakan ibadah rukun islam kelima. Alhamdulillah kakak saya dan suaminya juga selamat pulang disambut penuh kesyukuran seluruh sanak keluarga. Anak-anaknya lah paling teruja lantaran lama terpisah.




Wajah-wajah ceria di KLIA
Keesokan harinya kami adik beradik mengadakan perjumpaan di rumah ibu bapa kami. Separuh daripada ahli keluarga besar kami tidak dapat menyertai perjumpaan ini dengan hal dan urusan masing-masing. Alhamdulillah pertemuan pada malam itu diserikan dengan cerita pengalaman kakak dan suaminya semasa mengerjakan haji untuk pedoman dan motivasi pada kami semua. 


Sessi perjumpaan keluarga besar Abd Hadi
Dalam perjumpaan itu juga kami berbincang beberapa perkara antaranya hari keluarga yang dirancang pada bulan Disember nanti insya Allah. Adik lelaki bongsu akan menjadi ketua program untuk hari keluarga kali ini. Kami semua agak teruja kerana destinasi pilihan kali ini ialah Gold Coast, Morib. 


Pada bulan Disember nanti juga akan diadakan majlis aqiqah ahli baru keluarga besar ini. Insya Allah akhir November ini, bayi comel tersebut akan pulang ke kampung halaman dari Perth, Australia. Adik saya melahirkan cahayamata pertama di sana baru-baru ini.


Perjumpaan keluarga seumpama ini sering diadakan dari semasa ke semasa, berkenaan pelbagai hal dan isu dalam keluarga. Seingat saya, sejak saya sekolah rendah lagi sudah ada perjumpaan keluarga ini. Ketika itu hal yang dibangkitkan dan dibincangkan ialah prestasi setiap anak. Seiring dengan putaran masa, lebih banyak perkara yang dibincangkan dalam setiap perjumpaan ini.


Doa saya semoga keluarga besar ini dilimpahi barakah, kasih sayang, kebahagiaan berpanjangan hingga ke syurga, amin.


Hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.



Teruja menikmati kurma muda (ballah)

Wednesday, 6 November 2013

SUKA-SUKA



Teks     : Norhafizah Binti Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Binti Abd Hadi





Assalamualaikum semua, 


Sudah lama saya menjejak tudung ‘instant’ di pasaran. Agak sukar mencari tudung yang menepati citarasa saya yang cerewet dan harga yang berpatutan. Kadangkala tak puas hati dengan ciri-ciri tudung tersebut, kadang kala harga pula mahal bukan main. Bagi saya seorang ibu dengan 3 permata kecil ini juga agak payah mencari tudung sambil membawa ‘dayang-dayang’ ini.


Menumpang kesabaran seorang suami, saya dapat juga membeli beberapa helai tudung, tetapi masih memerlukan tambahan stok. Dari satu tempat ke satu tempat saya mengintai, suami sabar melayan anak-anak. Sampai satu peringkat, saya dan suami amat berhajat untuk menjual tudung suatu hari nanti. Tudung yang kami maksudkan ialah tudung ‘instant’ yang labuh, tidak melekap, warna yang menjadi pilihan ramai di samping harga yang berpatutan.


Baru-baru ini saya berpeluang ke sebuah kedai menjual pakaian muslimah termasuklah tudung. Cara pembelian secara borong di situ menarik minat saya. Sangat berbaloi harganya. Tetapi ada kurangnya di mata saya, pilihan untuk saya yang cerewet ini masih kurang di situ. Walaupun begitu, saya tetap membeli beberapa helai tudung dan Alhamdulillah tudung-tudung itu sudah ada pembeli. Satu hari nanti saya pasti akan ke situ lagi sambil mengintai-ngintai pemborong tudung labuh di tempat lain. Minat baru saya, bisnes tudung! Semoga Allah memudahkan jalan saya untuk membantu muslimah membeli pakaian menutup aurat dan semoga Allah menemukan saya dengan pemborong tudung yang sangat saya cari. Amin.


Bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.




HADIAH KAKAK

Teks      : Norhafizah Abd Hadi
Gambar : Norhafizah Abd Hadi


Assalamualaikum semua,

Petang tadi tatkala saya sedang menguruskan dapur, suami memberi cadangan untuk makan luar malam ini. Saya setuju saja!

Lokasi kali ini Restoran Makanan Cina Muslim Mohd Chan Abdullah. Belum pernah ke situ, jadi kami ingin mencuba selera makanan cina yang sering menjadi sebutan orang. 

Semasa makan, anak bertanya itu dan ini. Di matanya terasa sesuatu yang istimewa makan di situ. Ayahnya menjawab, itu hadiah sempena kakak dapat nombor satu baru-baru ini. Dia tersenyum gembira dan makan dengan berselera sekali.

Saya berpesan kepada anak, beruntungnya anak dengan nikmat yang ada dan banyakkan bersyukur. Dulu sewaktu kami ibu bapanya masih kecil, tak adelah makan sedap-sedap dan istimewa begitu. Makan apa yang ada sahaja. Waktu itu susah dan adik beradik pula ramai.

Rezeki yang sedikit sama disyukuri, rezeki yang banyak sama dirasai. Alhamdulillah, rezeki anak kali ini dapat hadiah makan istimewa, semoga terus berjaya anak-anak mama dan baba, berjaya dunia dan akhirat. Amin.

Koreksi diri, hiasi peribadi, hingga bertemu lagi di entry seterusnya, wassalam.

DESIGN BY:UMIESUEstudio/2014